KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda berusia 18 tahun, tidak menyangka seragam pasukan polis yang disarungnya menjadi saksi perjuangan menjaga keselamatan negara sepanjang tempoh Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1962.
Mohd Daud Kalakhan, anak kelahiran Papar, Sabah itu turut berdepan pelbagai rintangan sepanjang konflik tercetus selepas setahun menamatkan latihan sebagai anggota polis.
Anak muda itu yang kini mencecah usia 76 tahun dan telah pun bersara daripada pasukan Sang Saka Biru mengakui, dia pernah menyertai badan beruniform yang dikenali sebagai North Borneo Police Force di bawah British dengan pangkat Konstabel bermula 1 Januari 1962, sebelum dikenali sebagai pasukan polis hutan.
"Saya menjalani latihan selama sembilan bulan di Kapayan, Kota Kinabalu yang ketika itu dikenali sebagai Jesselton.
Cerita Mohd Daud, selesai saja operasi berkenaan mereka kemudian dihantar ke Sandakan untuk memerangi 'mundu' atau lanun pada Disember 1962.
"Di Sandakan, ada serangan daripada mundu yang merompak penduduk di daerah itu. Ramai juga rakan saya terkorban termasuk tiga orang dibunuh dengan kejam oleh mundu," katanya dalam nada sayu.
Berdepan tentera Soekarno
Mohd Daud berkata, selesai insiden mundu di Sandakan, dia kemudian dikerah menentang Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas tercetusnya Konfrontasi Indonesia susulan pembentukan Malaysia.
"Ia bermula awal tahun 1963, apabila Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno tidak bersetuju bahawa Borneo (Sabah) menyertai dalam pembentukan Malaysia bersama Malaya (Tanah Melayu).
"Soekarno yang marah dengan Borneo, bertindak menghantar tenteranya menyusup masuk dari Nunukan untuk ke Tawau. Ketika itu, saya dihantar ke Tawau dengan kapal terbang yang disediakan British," katanya.
Bercerita lanjut, sepanjang tempoh menentang tentera Indonesia banyak kejadian ngeri dan nyawanya ibarat berada di hujung tanduk.
"Ini termasuk ketika konfrontasi semakin menegang, saya dan rakan sepasukan dihantar ke Kalabakan untuk menentang tentera Indonesia.
"Ketika itu, askar Melayu dihantar juga ke Kalabakan sebagai penjaga keselamatan kerana konfrontasi tengah 'panas', di mana Soekarno melancarkan 'ganyang Malaysia'.
"Tentera Indonesia sudah pun masuk di beberapa lokasi di Tawau seperti di Merotai, Apas, Membalua dan beberapa tempat termasuk perisik sudah berada di hutan ketika itu.
"Tiba-tiba, askar Melayu yang bertugas di Kalabakan diserang oleh tentera Indonesia dan berlaku tembak-menembak serta letupan bom tangan menyebabkan lapan anggota tentera mati serta ramai yang cedera dalam kejadian itu," katanya.
Jelas Mohd Daud, susulan itu mereka diberi pula arahan supaya bersedia dan kebetulan, terdapat maklumat bahawa tentera Indonesia melakukan rompakan di kawasan bagang (tempat tangkap ikan) di Sungai Nyamuk.
"Kejadian itu berlaku pada tahun 1963 dan negara belum diisytiharkan sebagai Malaysia.
"Saya bersama dua lagi anggota dipanggil oleh Ketua Polis Daerah Tawau dan kami berempat menaiki bot maritim untuk memintas bot perompak di Sungai Nyamuk.
"Malangnya, kami gagal memasuki kawasan berkenaan kerana paras air yang cetek.
"Saya dan seorang lagi anggota, diarah mengejar tentera berkenaan tetapi kawasan berlumpur sehingga ke paras paha telah menyukarkan pergerakan.
"Sebaik tentera terbabit kembali semula ke kawasan mereka (sempadan), kami diserang.
"Kami dihujani peluru dan bunyi tembakan tidak henti-henti. Saya dan rakan terpaksa bersembunyi di dalam lumpur.
"Dalam masa yang sama, saya balas tembakan dan rakan bertindak menarik perahu untuk pasukan berundur dengan selamat walaupun badan habis bersalut lumpur," katanya.
Tambah Mohd Daud, kejadian itu antara yang paling diingatinya walaupun selepas Sabah merdeka dan membentuk Malaysia.
Terpahat selamanya
"Selepas tamatnya konfrontasi Indonesia-Malaysia, saya meneruskan tugas di pelbagai unit termasuk cawangan khas, jabatan penyiasatan jenayah (CID) dan sebagai pegawai keselamatan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun, selain pernah bertugas di Kuala Lumpur.
"Saya kemudian bersara pada tahun 1999 dan tempat terakhir bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar sebagai Inspektor ketika itu," katanya.
Jelasnya, walaupun kini semakin berusia, dia tetap aktif dalam Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Negeri persatuan itu.
"Jiwa ini masih bersama polis dek kerana minat badan beruniform berikutan melihat bapa yang juga bekas polis British.
"Banyak perbezaan yang saya lihat antara (zaman) sebelum kemerdekaan dan susah payah orang-orang dahulu memperjuangkan negara berbanding kini," katanya.