DALAM perkongsian di Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia kesembilan pada 6-7 September lalu, saya telah berbicara tentang dua kluster cabaran yang membentuk orde dunia (world order) kontemporari, iaitu, pertama, ‘kuasa-kuasa besar’, dan kedua, ‘perkembangan-perkembangan utama semasa’.
Kedua-dua kluster ini bersifat fundamental, berjangka panjang, perubah kehidupan dan saling berkaitan antara satu dengan yang lain.
Keberkaitan itu menyumbang kepada tercetusnya sebilangan besar daripada masalah-masalah antarabangsa yang lain, atau menyerlahkan kelemahan-kelemahan dan jurang-jurang yang wujud dalam pelbagai sektor, yang berlaku akibat kedua-kedua kluster itu.
Kluster cabaran pertama, iaitu kuasa-kuasa besar, merujuk tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar di pentas antarabangsa. Setiap satu daripada lima kuasa besar tersebut mempunyai tabiat dan perlakuan yang tersendiri. Ada yang seolah-olah berdiam dan adakalanya seakan-akan menjadi suara yang mewakili kelompok negara-negara bukan kuasa besar.
Ada yang berkawan rapat dengan kuasa besar yang lebih kuat daripadanya dan menjadi penyokong kuatnya. Ada yang sanggup berbuat apa saja, termasuk berperang, tetapi hanya bagi mempertahankan wilayah pengaruhnya.
Ada yang berminat menguasai negara lain, termasuk yang jauh, contohnya bagi menukar kerajaan, kerana ingin membentuk negara-negara lain mengikut acuannya, dan kelihatan suka berperang.
Dan ada yang melakukan pelbagai inisiatif, tetapi tidak ingin berperang, untuk meraih tempat atau pengaruh yang dikira selayaknya.
Peperangan dan konflik yang berlaku sejak sekian lama, sama ada yang berlaku di dalam sesebuah rantau, antara dua buah negara, atau dalam sesebuah negara, lazimnya tercetus, atau jadi berpanjangan, atau proses penyelesaiannya terganggu, adalah akibat matlamat atau pengaruh tabiat dan perlakuan tersebut.
Tabiat dan perlakuan tersebut meluas dan melewati bidang politik dan keselamatan, iaitu menjerkah dan menerjah bidang-bidang kewangan, perdagangan, ekonomi, sosio-budaya, serta perkembangan-perkembangan utama semasa, iaitu perubahan iklim, teknologi dan arkitektur antarabangsa.
Bagi negara kecil seperti Malaysia, tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar ini sering menggusarkan negara dan rantau ini, yang ingin kita teruskan sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, serta rantau yang aman, bebas dan berkecuali.
Malaysia akan meneruskan dasar berkecuali dan tidak memihak atau menyertai mana-mana blok. Kita harus bijaksana, termasuk berjaringan dengan negara-negara yang sependirian, dalam mengharungi pukulan badai yang belum berpantaian ini.
Kluster cabaran kedua, iaitu ‘perkembangan utama semasa’, ialah perubahan iklim akibat perbuatan manusia, kemajuan teknologi yang bermanfaat besar tetapi turut melibatkan isu-isu manusiawi, dan arkitektur-arkitektur antarabangsa yang tidak adil. Ia akan dibicarakan dalam kolum ini pada minggu depan.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca