TIDAK dapat dinafikan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligent (Al) sangat mendominasi kehidupan ketika ini. Di Shah Alam dan Kuala Lumpur misalnya, AI diaplikasi pada setiap sudut pekerjaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK dapat dinafikan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligent (Al) sangat mendominasi kehidupan ketika ini.

Di Shah Alam dan Kuala Lumpur misalnya, AI diaplikasi pada setiap sudut pekerjaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk untuk mengetahui tahap permulaan detik banjir kilat akan berlaku.

Justeru, penulis tertarik dengan tulisan Bernard Marr baru-baru ini.

Penulis kelahiran England itu meramalkan AI dan empat teknologi lain yang akan mendominasi dunia dalam tempoh terdekat.

Dalam kolumnya di Forbes.com baru-baru ini, Bernard percaya tentang trend teknologi komersial yang bakal mewarnai kehidupan manusia, syarikat besar, organisasi dan kerajaan.

Marr percaya AI akan lebih berkisar kepada keupayaan ‘pembelajaran mesin’ atau secara ‘pembelajaran mendalam’.

Maksudnya, AI mampu membuat keputusan, menjalankan tugas dan meramal hasil masa depan berdasarkan data tepat.

Penulis percaya AI dan pembelajaran mesin sudah mula berperanan besar dalam kehidupan seharian manusia.

Misalnya AI menguasai Alexa, Siri, cadangan produk Amazon, Netflix dan Spotify, carian Google, semakan keselamatan untuk pembelian kad kredit palsu dan aplikasi janji temu.

Berdasarkan trend terkini, penulis percaya AI sentiasa berkait rapat dengan ‘pancaindera bau’ untuk merevolusikan setiap aspek kehidupan moden.

Stephen Hawking juga pernah menyatakan kejayaan mencipta AI akan menjadi detik peristiwa terbesar dalam sejarah kehidupan manusia sekiranya sanggup belajar bagaimana untuk mengelak dan mengurus risiko.

Lebih-lebih lagi, apabila mesin menjadi lebih pintar dan mampu ambil alih lebih banyak tugas manusia.

Penulis percaya keupayaan manusia seperti kreativiti, empati dan pemikiran kritis, akan menjadi lebih berharga dalam dunia pekerjaan sekiranya dibantu AI.

Seterusnya Marr menyentuh tentang teknologi Gen. Teknologi ini berkait rapat dengan ‘pancaindera sentuhan’ yang merujuk kepada aktiviti ekspresi gen daripada variasi genetik semula jadi bagi mengubah suai gen atau memindah gen lama kepada gen baharu.

Sebagai contoh, genomik iaitu bidang biologi antara disiplin yang memfokus kepada manipulasi asid deoksiribonukleik (DNA) dan genom organisma hidup.

Penyuntingan gen ialah sekumpulan teknologi yang membolehkan kejuruteraan genetik untuk mengubah DNA dan struktur genetik organisma kehidupan yang lebih baik.

Penulis juga percaya bidang bioteknologi kian maju dan mampu mencapai tahap sehingga boleh mengubah DNA untuk dikodkan dalam sel.

Menerusi cara ini, ciri, sifat keturunannya, turut berubah.

Jika dilaksanakan kepada tumbuhan, ia boleh mengubah bilangan daun atau warna.

Ini bermakna teknologi gen berupaya mengubah masyarakat seperti genomik.

Penulis juga rasa tertarik apabila Marr menyentuh tentang Teknologi Perantaramuka Manusia-Mesin.

Teknologi ini sebenarnya sudah menguasai kehidupan seharian manusia. Contoh paling lazim ialah jalur penjejak kecergasan dan jam tangan pintar.

Teknologi ini membolehkan peranti kecil dan mudah dipakai memantau aktiviti harian demi menghasilkan corak kehidupan yang lebih sihat dan lebih produktif.

Teknologi Realiti Lanjutan pula merujuk kepada rangkuman realiti maya, realiti tambahan dan realiti campuran. Ia dicipta bagi menghasilkan pengalaman digital yang lebih mengasyikkan.

XR juga berkait rapat dengan ‘pancaindera pendengaran’. Ia digunakan untuk meningkatkan penglibatan jenama, membenar pelanggan mencuba sebelum membeli, menambah baik perkhidmatan pelanggan dan menjadikan proses pembelajaran di tempat kerja lebih berkesan.

Penulis juga terkesan dengan ulasan Marr tentang Teknologi Percetakan 3-Dimensi. Teknologi ini dikenali sebagai pembuatan aditif.

Penulis meramalkan teknologi ini akan mengubah sepenuhnya proses pembuatan industri termaju dan industri. Dengan menggunakan percetakan 3D, kilang-kilang masa depan boleh mencetak alat ganti dengan cepat secara ‘in-situ’.

Keseluruhan kerja pemasangan boleh digantikan dengan pencetak 3D. Manusia boleh mencetak tisu manusia untuk pemindahan, senjata dan makanan.

Penulis percaya 3D berpotensi untuk menghasilkan produk mengikut kesesuaian peribadi, secara besar-besaran.

Pereka percetakan 3D boleh memenuhi permintaan pelanggan secara khas atau bersesuaian pada bila-bila masa diperlukan.

Sebenarnya, semua lima teknologi yang dibicarakan oleh Marr telahpun disebut ALLAH SWT dalam Surah Surah Al-Nahl ayat [16:77-79]. Surah ini menjelaskan kepentingan lima teknologi ini dalam kehidupan manusia.

Kesimpulannya, lima teknologi yang disebut Marr sebenarnya mengaplikasikan lima pancaindera manusia iaitu deria penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan.

Kita mampu lebih maju jika sanggup mempelajari dan mengaplikasikan lima teknologi berkenaan demi kehidupan lebih selesa.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca