HUBUNGAN antara Taipei dengan Beijing semakin merosot sejak Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke pulau tersebut pada pada Ogos lalu walaupun China bertindak membantah lawatan seumpama itu dilakukan.
Lawatan tersebut menyebabkan negara komunis itu mengadakan latihan ketenteraan secara besar-besaran melibatkan aset-asetnya di sekeliling pulau berkenaan selama beberapa hari sebagai tindak balas terhadap lawatan Pelosi itu.
Ketegangan diplomatik antara AS dan China kemudian berlaku manakala Washington pula mempertahankan lawatan yang dilakukan oleh ahli politik veteran wanita tersebut ke Taiwan sedangkan China menganggap kunjungan tersebut tidak wajar diadakan.
Ia juga mencetuskan spekulasi sama ada perang antara kedua-dua kuasa besar itu akan berlaku hanya kerana lawatan yang dilakukan oleh seorang pegawai tinggi AS selepas pemegang jawatan yang sama dengan Pelosi iaitu Newt Gingrich melakukan perkara sama pada tahun 1997.
Baru-baru ini, Taiwan mendedahkan sebuah dron peninjau tentera China, BZK-007 memasuki zon pertahanan udaranya sekali gus merupakan pencerobohan terbaharu ketika hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu kekal tegang.
PAKEJ SENJATA
AS juga telah mengumumkan pakej senjata bernilai AS$1.1 bilion (RM4.99 bilion) bagi Taiwan berikrar untuk terus meningkatkan pertahanan pulau itu ketika ketegangan memuncak dengan Beijing yang memberi amaran kepada Washington tentang langkah-langkah tindakan balas selepas isu lawatan tersebut berlaku.
Pakej itu yang terbesar untuk Taiwan diluluskan di bawah pentadbiran Presiden AS, Joe Biden termasuk AS$665 juta (RM3 bilion) untuk sokongan kontraktor bagi menyelenggara dan menaik taraf sistem amaran radar awal Raytheon yang beroperasi sejak tahun 2013 di pulau berkenaan.
Sejak awal tahun ini, Taipei telah menggesa agar sekatan dilakukan ke atas China selepas timbul kebimbangan lain seperti kertas putih pemerintah China yang tidak memasukkan janji sebelum ini untuk tidak menghantar tentera atau pentadbir jika Beijing menguasai Taiwan.
Kesatuan Eropah (EU) juga teragak-agak untuk melaksanakan sekatan terhadap negara komunis itu termasuk atas dakwaan pelanggaran hak-hak asasi manusia kerana pulau tersebut lebih terikat dari segi ekonomi dengan China berbanding Rusia.
Sebarang sekatan yang dilakukan oleh EU memerlukan kelulusan daripada semua anggotanya yang terdiri daripada 27 buah negara anggota dan persetujuan itu sukar untuk diperoleh.
Jerman yang sering dikenali sebagai enjin ekonomi EU dikatakan bertindak berhati-hati untuk mengenakan sekatan ke atas China kerana ia bergantung padanya untuk mendapatkan bahan mentah, bateri dan semikonduktor.
Sehubungan itu, menurut Reuters AS sedang mempertimbangkan pakej sekatan untuk menghalang China daripada menyerang Taiwan manakala Taipei dan Washington sedang menekan EU untuk mengikuti langkah yang dilakukannya.
CEROBOH TAIWAN
Menurut CNBC yang memetik sumber, Washington dan Taipei sedang melobi dengan utusan EU pada peringkat awal selepas terdapat kebimbangan yang semakin meningkat bahawa China akan menceroboh Taiwan.
Bagaimanapun, sumber itu tidak memberikan sebarang butiran tentang perkara yang sedang dipertimbangkan itu.
Rundingan AS mengenai sekatan ke atas China sebenarnya bermula selepas Rusia menyerang Ukraine pada Februari lalu tetapi ia kemudian mengambil tindakan segera selepas reaksi China terhadap lawatan Pelosi, kata sumber.
Sebelum ini, Washington mengambil pendekatan yang sama seperti yang dilakukan ke atas Rusia sebelum negara tersebut melaksanakan operasi ketenteraan khas dengan menceroboh Ukraine bagaimanapun ia gagal menghalang Moscow daripada menggunakan kekuatan tenteraannya ke atas Kiev.
Menyatukan semula Taiwan dengan China telah lama menjadi matlamat negara komunis itu sejak ia terpisah sejak tahun 1940-an lagi.
Kerajaan AS juga secara rasmi menyokong penyatuan semula itu dan mengiktiraf dasar satu China walaupun Washington menekankan bahawa ia harus dilakukan melalui cara yang aman dan bukannya melalui pencerobohan tentera.
Pada Julai lalu, Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns mendakwa bahawa Jinping masih bertekad untuk melaksanakan kawalan ke atas Taiwan tetapi kesukaran yang dihadapi Rusia dalam perang Ukraine mungkin telah mendorong Beijing untuk menunggu terlebih dahulu dan memastikan ia akan mempunyai kelebihan ketenteraan yang luar biasa ke atas Taiwan.
Sehubungan itu, setakat ini belum ada sekatan dilakukan oleh AS ke atas China manakala tindakan yang sama dilakukan Washington dan sekutu-sekutunya terhadap Rusia tidak memberikan kesan besar sebaliknya ia menyebabkan penduduk di negara-negara Barat terpaksa berdepan dengan kenaikan kos kehidupan.
Justeru, persoalan yang timbul kini adakah Beijing bersedia untuk menghadapi sekatan tersebut atau ia sudah melakukan persediaan untuk menghadapinya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca