PENGASAS syarikat produk kecantikan tempatan, Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid menyifatkan wanita pada hari ini tidak sama seperti dahulu yang kerjanya hanya duduk di dapur. Mesra disapa Madammu, jutawan muda itu... Klik di sini untuk terus membaca

PENGASAS syarikat produk kecantikan tempatan, Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid menyifatkan wanita pada hari ini tidak sama seperti dahulu yang kerjanya hanya duduk di dapur.

Mesra disapa Madammu, jutawan muda itu menegaskan, wanita mempunyai tenaga tersembunyi yang mampu menggegar dunia.

Memulakan legasi produk kecantikannya sejak tahun 2017, figura berusia 32 tahun itu banyak membuka peluang untuk wanita bangkit dan mengubah nasib hidup melalui perniagaan meskipun tanpa modal yang besar.

Ikuti pelbagai perkongsian oleh wanita berasal dari Terengganu itu dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Daripada mana mulanya Noir Health & Beauty Sdn Bhd?

ERIYCA BAIDURI: Syarikat ini bermula sejak tahun 2017, diinspirasikan oleh saya, seorang wanita dan suri rumah yang dahulunya mempunyai impian yang besar untuk bantu suami. Pada permulaan, saya bermula dari rumah dengan menggunakan apa sahaja yang ada.

Saya mula dengan sebuah telefon pintar. Saya tidak pandai menggunakan telefon pintar dan saya tahu apa yang paling senang ialah buat siaran langsung. Jadi, saya mula buat siaran langsung dan Alhamdulillah (syarikat) membesar sehingga sekarang dengan hanya menggunakan kaedah itu.

Pada masa ini, Noir mempunyai lebih 30,000 ejen dengan pendapatan tahunan melebihi RM40 juta. Pada peringkat awal pembabitan, saya difahamkan bahawa ibu puan ialah seorang ibu tunggal yang merupakan usahawan kecil-kecilan dari Terengganu. Apa yang dipelajari daripada ibu puan?

Ibu saya berkahwin di usia yang sangat muda iaitu 16 tahun dan bercerai ketika berusia 21 tahun dengan tiga orang anak.

Sewaktu saya berumur 14 tahun, ibu saya didapati menghidap kanser limfoma tahap tiga. Saya berada di Kuala Lumpur ketika itu, cuma ada ibu dan adik beradik.

Tiga perkara yang saya nampak ketika itu ialah ibu saya sangat berdikari, kuat dan positif. Tiga perkara ini yang saya lihat telah membawa kepada siapa saya pada hari ini.

Dalam perniagaan, jika anda tidak berdikari, kuat dan positif, anda tidak akan bertahan, ditambah dengan cabaran pandemik Covid-19 dan teknologi hari ini. Jadi, pokok pangkalnya ada dalam diri kita.

Bagaimana puan memilih untuk terlibat dalam bidang produk kecantikan wanita?

Saya sangat obses dengan kecantikan daripada muda lagi walaupun dulu cita-cita saya nak jadi pembaca berita. Tapi Tuhan lorongkan saya kepada bidang yang sangat saya suka.

Hakikatnya, produk wanita sangat kompetitif, bukan sahaja dari Malaysia tetapi turut bersaing dengan produk antarabangsa.

Eriyca Baiduri dalam program berkenaan yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Rabu.

Jadi, apa pendekatan puan untuk memastikan produk Noir boleh bersaing?

Untuk mengeluarkan sesuatu produk, kita kena tahu nilainya. Apabila produk tersebut ada nilai dan kita kongsikannya, insya-ALLAH produk kita akan kekal relevan di Malaysia dan luar negara.

Saya juga menekankan jenama persepsi, kepimpinan dan produk yang mana apabila pengguna menggunakan produk Noir, (bermakna) kita dah menang. Kita tidak perlu pun bersaing sekiranya ada semua aspek itu.

Produk Noir hanya untuk wanita atau ada produk khusus untuk lelaki?Buat masa ini, memang semua wanita. Wanita sokong wanita.

Apa cabaran awal yang dihadapi pada peringkat permulaan?

Sewaktu mula berniaga, saya tidak ada pengalaman. Saya baru habis belajar dan berkahwin. Ibu serta ibu saudara saya ada juga berniaga secara kecil-kecilan, namun cara perniagaan dahulu tidak sama seperti sekarang. Jadi, cabaran yang paling besar dalam menggunakan sistem ejen dan stokis adalah apabila kita nak mengawal manusia.

Ada ketikanya dahulu saya tidak boleh mengawal emosi dan tidak tahu macam mana nak mengurus (ragam manusia). Bila kita tidak tahu bagaimana nak mengawal emosi dan persekitaran dengan baik, sukar untuk kita berurusan dengan ramai orang. Jadi, sepanjang proses ini, saya belajar macam mana nak mengurus dan memahami (manusia) dengan baik. Di mana-mana pun kita akan berdepan dengan cabaran, tetapi kita laluinya secara berperingkat.

Adakah puan mendapat manfaat daripada skim kerajaan?

Setakat ini, tidak pernah.

Pada pandangan puan, apakah cabaran paling utama dihadapi oleh wanita yang berminat untuk menjalankan perniagaan?

Perkara pertama yang kita perlu tahu ialah objektif. Ramai orang hari ini terlalu mengejar kekayaan, bukan untuk memberi manfaat produk atau servis mereka kepada pengguna. Dalam berniaga, kita perlu tahu sama ada produk dan servis yang nak diberikan boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

Selain itu, sikap juga memainkan peranan penting untuk berjaya dan menaikkan sesuatu produk. Ada sesetengah individu yang baru berniaga hari ini, dia jangka esok terus kaya raya. Jika tidak jadi (bisnes) esok, putus asa. Kemudian mulalah tidak mahu teruskan. Itulah sikap-sikap yang perlu dibuang untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan.

Mengapa puan berjaya, tetapi ribuan peniaga yang lain gagal?

Ramai yang berjaya di luar sana. Sebenarnya dalam berniaga, kita kena tahu permainan berniaga. Apabila anda tahu permainan dan cara nak berlawan dalam liga ini, insya-ALLAH anda akan menang. Sebab itu pentingnya peranan jenama persepsi, kepimpinan dan produk. Jenama persepsi bermaksud di manakah kita meletakkan jenama tersebut? Ada segelintir individu yang ingin cepat dikenali sehingga terpaksa merosakkan jenama persepsi itu.

Adakah puan berjumpa dengan semua ejen Noir untuk memotivasikan mereka?

Ya, saya akan berjumpa mereka empat kali sebulan sekiranya jadual tidak padat. Saya akan buat lawatan dari tempat ke tempat dan saya juga akan berjumpa mereka setiap minggu menerusi aplikasi Zoom.

Saya akan beri motivasi dan didik mereka serta kita turut menyediakan modul untuk membantu ejen dan stokis Noir.

Dengan kejayaan domestik hari ini, ke mana puan akan bawa Noir untuk masa akan datang?

Saya juga ingin melahirkan 100,000 usahawan di bawah naungan Noir dalam tempoh dua tahun akan datang. Kita akan capainya melalui kempen yang bakal dilakukan. Sebenarnya di luar sana ramai lagi wanita yang tidak mengenali Noir. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk capai pasaran itu dan sampaikan kepada mereka bahawa kita buka peluang untuk mereka.

Adakah suri rumah berpeluang menjadi ejen Noir?

Sudah semestinya ada (peluang). Sebanyak 70 peratus wanita dalam Noir ialah golongan suri rumah. Ada suri rumah yang sebelum ini hanya menunggu pendapatan daripada suami, tetapi hari ini mereka mampu menjana pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan dengan hanya bermodalkan RM50 sahaja.

Noir pada masa ini tidak lagi dijual di pasar raya atau farmasi. Adakah puan mempunyai perancangan untuk melangkaui sistem ejen dan stokis?

Noir dalam proses untuk ke tawaran awam permulaan (IPO), insya-ALLAH. Sekarang modul bisnes kami adalah dengan menggunakan ejen dan stokis. Kita tidak menghantar produk ke farmasi kerana itu bukan modul bisnes Noir. Kita membela nasib wanita jadi kita membuka peluang (perniagaan). Selain itu, kita guna modul ini kerana jika orang seperti saya tidak membuka peluang kepada wanita di luar sana, siapa lagi?

Penjenamaan adalah penting untuk sesuatu produk dan pada dasarnya, Noir telah membina jenamanya yang tersendiri.

Penjenamaan merupakan salah satu daripada masalah besar bagi peniaga Melayu. Jadi, apa komen puan berkenaan ini?

Isu yang paling jelas sebenarnya mereka tidak sanggup berbelanja untuk bisnes. Mereka hanya sanggup berbelanja untuk gaya hidup. Kita perlu mengeluarkan belanja untuk pemasaran (produk) dan menaikkan jenama. Pemasaran tidak memakan kos yang sedikit, jadi ramai pengasas atau peniaga yang tidak sanggup untuk berbelanja.

Bagaimana kita nak berikan peluang kepada lebih ramai orang untuk menjadi seperti Eriyca Baiduri?

Saya bermula dengan modal yang sangat rendah. Saya kumpul duit dan menguruskan kewangan dengan baik. Sewaktu awal perniagaan, saya tidak mengeluarkan belanja terhadap perkara yang tidak memberi manfaat kepada jenama sebab saya tahu kita perlukan modal untuk berkembang. Tidak mustahil jika perniagaan kecil (berkembang) menjadi lebih besar. Tetapi kena pandai kawal.

Dalam banyak pertemuan bersama orang ramai sama ada secara fizikal atau media sosial, apakah soalan yang paling kerap ditanya?

Macam mana nak berjaya dan jadi macam Madammu? Itulah antara soalan yang sering ditanya. Sebenarnya senang sahaja, kita perlu ada big why dan keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mengubah hidup.

Dulu, big why saya tidak sama seperti hari ini. Sebelum ini saya hanya nak bantu keluarga. Tetapi, apabila perjalanan itu makin panjang, saya bersama dengan wanita, big why dan keinginan saya berubah.

Hari ini, keinginan saya ialah nak lihat mereka yang berada di bawah Noir menjadi seperti saya. Apa yang saya ada, mereka ada.

Apa yang membezakan Eriyca Baiduri dahulu dengan sekarang?

Selain melihat selebriti sebagai ikon, kita juga mahu individu yang berjaya dalam dunia perniagaan sebagai ikon bertujuan untuk menjadi teladan. Apa pandangan puan?

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir akan berada pada tahap ini. Tetapi saya bersyukur kerana dengan rezeki dan usaha, saya boleh berada di sini dan mahu melihat lebih ramai wanita terutamanya orang Melayu berjaya sehingga ke peringkat yang boleh dibanggakan dan dijadikan inspirasi.

Kejayaan dalam dunia perniagaan pastinya dikaitkan dengan kemewahan baharu, keupayaan untuk memiliki dan juga keistimewaan tertentu. Adakah ia juga mengubah puan?

Tidak juga, tetapi apabila kita berjaya, kita ada pilihan. Apa yang banyak berubah ialah saya mempunyai pilihan untuk membantu lebih ramai orang, kalau dulu saya tidak ada pilihan dan kapasiti itu. Hari ini, insya-ALLAH dengan peluang dan kedudukan ini, saya boleh bantu lebih ramai lagi wanita.

Ke mana puan selepas ini?

Saya akan terus dengan perjuangan untuk membantu lebih ramai wanita dan kita mahu menaikkan lagi martabat golongan ini, meningkatkan ekonomi mereka dan secara tidak langsung ekonomi negara.

Boleh puan ceritakan tentang kempen Bangkit Wanita?

Kita menjalankan kempen Bangkit Wanita Berniaga. Saya dibesarkan dalam persekitaran wanita, ibu saya ibu tunggal dan adik beradik semua wanita. Jadi, saya sangat membela nasib kaum ini, sebab itu kempen dan produk kita semuanya melibatkan wanita. Dengan kempen Bangkit Wanita Berniaga, kami ingin mengajak lebih ramai wanita di luar sana berniaga.

Hanya berada di rumah, (mereka) boleh tingkatkan ekonomi keluarga dan bantu suami dalam keadaan pandemik Covid-19 hari ini. Ada kalanya, mereka nak ubah hidup tetapi tidak ada peluang. Jadi, dalam Noir, kita sediakan kempen seperti ini kerana kita mahu membuka peluang kepada wanita yang nak ubah hidup.

Salah satu daripada perkara yang menarik perhatian ialah puan menggariskan beberapa teras untuk wanita bangkit dalam perniagaan, dan salah satunya adalah tentang keperluan untuk kebebasan kewangan wanita. Boleh puan terangkan tentang itu?

Sekarang ini, kalau pergi pasar bawa RM50, dapat apa? Kita tengok banyak rumah tangga runtuh disebabkan ekonomi. Saya sangat menekankan isu kebebasan kewangan kerana kita mahukan kehidupan yang lebih sejahtera.

Mengapa puan yang mengutarakan perkara seperti ini, kenapa tidak kementerian yang melibatkan wanita ataupun yang terlibat dengan keusahawanan yang membangkitkan perkara yang sangat relevan untuk wanita?

Mungkin kerana saya membesar dikelilingi wanita dan saya sangat tahu betapa payahnya ibu membesarkan saya.

Daripada perspektif puan, adakah wanita lebih sukar memulakan perniagaan berbanding lelaki?

Bukan mudah untuk mengawal kaum wanita kerana mereka bermain dengan banyak emosi, fikir anak, suami dan sebagainya. Ada masanya saya juga sukar untuk mengawal lebih 30,000 usahawan wanita, kalau lelaki senang.

Puan bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada suami. Tetapi, bagaimana dengan pihak lain yang merasakan perniagaan adalah bidang yang tidak sesuai untuk wanita dan ada yang beranggapan mereka seharusnya berada di dapur sahaja?

Saya tidak setuju (dengan stigma itu) kerana wanita hari ini bukan lagi seperti dahulu yang hanya duduk di dapur. Hari ini kita tengok ramai wanita yang berjaya, malah lebih berjaya daripada orang lelaki.

Jadi, kalau ada yang mengatakan wanita hanya perlu duduk di rumah, saya tidak setuju. Wanita mempunyai tenaga tersembunyi yang mampu menggoncangkan dunia.

Klik di sini untuk terus membaca