SHAH ALAM - Pakar perundangan berpandangan pindaan Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengatasi kesamaran berhubung seseorang pesalah jenayah dalam kalangan Ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman penjara dan denda tetapi masih boleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar perundangan berpandangan pindaan Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengatasi kesamaran berhubung seseorang pesalah jenayah dalam kalangan Ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman penjara dan denda tetapi masih boleh mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat.

Malah, jika pindaan berkenaan dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibahaskan di Parlimen sekali pun, usul itu sukar diluluskan kerana ramai dalam kalangan wakil rakyat terutama daripada UMNO tidak akan menyokongnya.

Ini kerana pindaan berkenaan akan memberikan impak besar dan menjejaskan peluang sebahagian besar pemimpin tertinggi UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini dibicarakan di mahkamah atas 47 pertuduhan menyeleweng dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi (YAB).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pindaan kepada Perkara 48 berkenaan sukar dilaksanakan sekarang kerana kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Justeru itu, Haniff Khatri berkata, sehingga kerajaan berjaya memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen daripada blok penyokong dan pembangkang maka pindaan berkenaan hanya akan tinggal 'harapan dan angan-angan' sahaja.

"Semestinya dalam keadaan kerajaan rapuh dan hanya tinggal tidak sampai setahun penggal Parlimen ke-14 untuk matang, saya melihat kita tidak akan berjaya untuk meminda Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan ini.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

"Kita hanya boleh berharap kerajaan baharu dibentuk menerusi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan membentangkan usul untuk meminda Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan nanti.

"Bagaimanapun, saya tidak nafikan bahawa satu-satu cara untuk memastikan mana-mana pemimpin politik yang mengkhianati negara dari sudut kewangan dihukum secara adil, maka kita perlu lakukan pindaan terhadap Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. Namun saya tidak nampak ia mampu dilaksanakan dalam tempoh kurang setahun kerajaan pimpinan Ismail Sabri memerintah sehingga Julai 2023," katanya kepada Sinar Premium.

Haniff Khatri berkata demikian mengulas kenyataan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, bahawa kerajaan perlu meneliti semula Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan apabila wujud kelompongan dan kesamaran membabitkan seseorang pesalah jenayah dalam kalangan ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman penjara dan denda tetapi masih boleh mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat.

Rais berkata, disebabkan ketidakjelasan tersebut bermakna selagi Lembaga Pengampunan tidak memutuskan petisyen berkenaan, selama itulah status ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman masih boleh kekal.

Pada 23 Ogos lalu, Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, mengekalkan sabitan dan hukuman hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Berikutan keputusan itu, Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, manakala tempatnya sebagai calon BN di Parlimen dijangka digantikan oleh anak sulungnya Datuk Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan.

Berbeza dengan Akta Anti Lompat parti yang mendapat sokongan hampir semua ahli Parlimen, pindaan akta berkaitan kehilangan status ahli Parlimen mungkin sukar diluluskan dua pertiga ahli dewan.

NAJIB TIDAK BOLEH BERTANDING

Dalam pada itu, Haniff Khatri menjelaskan Najib tetap tidak boleh bertanding jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana tertakluk kepada Perkara 48 Fasal 5, Perlembagaan Persekutuan.

"Sekarang Najib hanya diberikan pengeculian penggantungan pengosongan kerusi Pekan tetapi jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat kerusi semua orang akan tergugur secara automatik. Jadi pengeculian di bawah Perkara 48, Fasal 4(a) Perlembagaan Persekutuan tidak akan terpakai jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

"Najib hanya boleh bertanding PRU15 jika beliau membuat permohonan baharu di mahkamah untuk menggantung sabitan hukuman penjara dan denda ke atasnya sehingga selesai proses semakan kehakiman dan penggampunan diraja, namun perkara itu hampir mustahil untuk diperoleh," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca