SHAH ALAM - Pelaksanaan tujuh inisiatif oleh Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya menaikkan kutipan zakat pendapatan bermula 2018 hingga tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, inisiatif itu membuahkan hasil apabila kutipan zakat pendapatan di PPZ-MAIWP dilaporkan meningkat kepada RM356.6 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022.
Menurut beliau, berlaku peningkatan sebanyak sembilan peratus bagi kutipan zakat berkenaan berbanding tahun 2021 untuk tempoh yang sama.
"Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PPZ-MAIWP mengunjurkan seramai 464,000 penduduk berkeupayaan membayar zakat harta di Wilayah Persekutuan.
"Penduduk yang telah membayar zakat harta pada tahun 2021 adalah seramai 275,000 iaitu sebanyak 59 peratus.
"Meskipun diuji dengan pelbagai dugaan seperti pandemik Covid-19 dan bencana alam seperti banjir, kutipan zakat pendapatan di PPZ-MAIWP meningkat sebanyak lapan peratus iaitu RM553.3 juta untuk tempoh Januari hingga Disember 2021 berbanding RM511.3 juta pada 2020 untuk tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas Abdul Hakim, PPZ-MAIWP dari semasa ke semasa sentiasa cakna dengan kehendak dan nadi pembayar zakat.
Justeru katanya, antara usaha yang sedang dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat Wilayah Persekutuan untuk terus menunaikan tanggungjawab berzakat adalah dengan memperkenalkan inovasi baharu saluran pembayaran zakat seperti Kaunter Zakat Digital (KZD).
"Melalui kaedah ini, mereka boleh membayar secara dalam talian walau di mana sahaja berada dengan mendapat konsultasi daripada pegawai PPZ melalui aplikasi Zoom dan Google Meet.
"Selain itu, PPZ-MAIWP kini giat menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat berkepentingan untuk mengukuh dan melebarkan lagi dakwah zakat dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan.
"Pembayar zakat boleh juga menggunakan aplikasi My Zakat, aplikasi MyWakalah, Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB), Kempen Zakat Emas dan Kempen Prospek Dan Pembayar Baharu Zakat,” tambahnya.
Zakat berpotensi besar bangunkan ekonomi umat Islam
Sementara itu, penganalisis ekonomi berpandangan zakat berpotensi besar dalam membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai bagaimanapun berkata, yang menjadi permasalahan adalah bagaimana mahu mengagihkan kutipan zakat secara efisien bagi memenuhi keperluan semasa umat Islam.
"Bukan sahaja dari segi mematuhi hukum syariah, tetapi pada masa sama kita perlu mereka sistem zakat yang boleh membantu seluruh ummah.
"Sekurang-kurangnya dalam jangka pendek misalnya, wang zakat boleh dilaburkan untuk mendapatkan hasil dan hasil itu boleh digunakan untuk membantu kumpulan memerlukan yang bukan asnaf misalnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Barjoyai turut mencadangkan agar negara ini merujuk kembali kepada hukum Fiqh dalam Mazhab Syafie disebabkan mazhab lain di dunia mempunyai kelonggaran tentang bagaimana mahu menggunakan wang zakat.
"Dan kita perlu mewujudkan satu tabung untuk jangka panjang berkait dengan zakat dan sumbangan lain orang Islam.
"Kalau kita boleh lakukannya, kita boleh mengatur satu sistem perlindungan sosial untuk seluruh umat Islam,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca