SHAH ALAM - Pusat pungutan zakat di seluruh negara menunjukkan prestasi cemerlang apabila statistik jumlah kutipan zakat setiap negeri secara purata mencatatkan peningkatan sejak enam tahun lalu. Jumlah kutipan tersebut juga direkodkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pusat pungutan zakat di seluruh negara menunjukkan prestasi cemerlang apabila statistik jumlah kutipan zakat setiap negeri secara purata mencatatkan peningkatan sejak enam tahun lalu.

Jumlah kutipan tersebut juga direkodkan tidak mengalami penyusutan meskipun negara dilanda pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pendapatan rakyat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, tahap kesedaran terhadap zakat dan penjanaan pendapatan yang lebih baik dalam kalangan umat Islam merupakan antara faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah kutipan zakat di negara ini.

Ujar beliau, selain itu, insentif-insentif pusat zakat dalam memudahkan urusan pemberian dan pembayaran zakat kepada orang ramai juga mendorong kepada pertambahan jumlah bantuan berkenaan.

"Saya rasa (faktor peningkatan gaji) itu betul walaupun tidak sebanyak mana, tetapi kesedaran yang tinggi itu juga membantu (kepada peningkatan zakat).

"Penzahiran aktiviti-aktiviti pengagihan zakat dibuat hampir setiap minggu, jadi ada sahaja berita-berita MAIWP memberikan zakat kepada anak-anak yatim, usahawan, orang yang berhutang, tertekan dari segi kewangan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan program-program melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Jadi promosi kegiatan aktiviti hari ini lebih mudah melalui penggunaan media sosial dan berita-berita seperti ini boleh sampai lebih cepat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn Bhd. - Foto FB Dr Mohd Daud Bakar

Ulas Mohd Daud, pakej zakat wakalah antara inisiatif yang diperkenalkan melalui agensi pusat zakat turut membantu dalam aspek meningkatkan kesedaran umat Islam.

"Zakat wakalah di mana kita agensi zakat mewakilkan kepada pembayar zakat untuk mereka membahagikan sendiri jumlah tertentu kepada orang miskin sama ada ahli keluarga, kenalan di kampung, masjid, atau tempat asal mereka dengan syarat mereka memberikan laporan pengagihan zakat itu kepada kita.

"Pengalaman kami apabila pergi membuat ceramah zakat semasa kuliah Zohor dan memberi penerangan di program agensi kerajaan, banyak orang yang bercakap mudahnya boleh bayar zakat melalui pemotongan gaji, secara dalam talian dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, zakat pendapatan merupakan zakat yang paling tinggi dibayar oleh masyarakat umat Islam di negara ini.

"Perkara ini berdasarkan kepada kekuatan orang Islam, kebanyakan umat Islam di negara ini banyak makan gaji jadi sumber pendapatan utama adalah melalui gaji yang diterima setiap bulan.

"Jadi berdasarkan data yang ada, zakat yang paling tinggi ialah pendapatan iaitu gaji,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, jumlah permohonan zakat dalam kalangan masyarakat pada masa kini dilihat semakin meningkat termasuk di kawasan Wilayah Persekutuan.

"Sebab peluang pekerjaan yang agak terhad dan kita melihat dengan gaji minimum sebanyak RM1,500 itu pun bukan kadar yang sepatutnya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

"Kita melihat ada dalam kalangan M40 pun telah berubah kepada B40, sebab itu kita kena buat unjuran sebanyak mungkin. Kalau boleh peningkatan jumlah kutipan zakat sebanyak 10 peratus setiap tahun.

"Jadi kalau dapat peningkatan 10 peratus itu, alhamdulillah kita dapat terus menyantuni permohonan-permohonan yang baharu,” jelasnya.


INFO KUTIPAN ZAKAT


Jumlah kutipan zakat setiap negeri bagi tahun 2019 hingga 2021:

2019

Johor - RM311.7 juta

Kedah - RM206 juta

Kelantan - RM195.1 juta

Melaka - RM98.8 juta

Negeri Sembilan - RM141.5 juta

Pahang - RM167.2 juta

Pulau Pinang - RM121.4 juta

Perak - RM207.1 jutaSelangor - RM855.1 juta

Terengganu - RM178.6 juta

Sabah - RM88.9 juta

Sarawak - RM105.9 juta

Wilayah Persekutuan - RM688.4 juta


2020

Johor - RM300.8 juta

Kedah - RM217.9 juta

Kelantan - RM202.6 juta

Melaka - RM100.7 juta

Negeri Sembilan - RM157.1 juta

Pahang - RM136.7 juta

Pulau Pinang - RM130.8 juta

Perak - RM191.6 juta

Selangor - RM911.6 juta

Terengganu - RM185.1 juta

Sabah - RM101.7 juta

Sarawak - RM110.3 juta

Wilayah Persekutuan - RM758 juta


2021

Johor - RM333.4 juta

Kedah - RM232.7 juta

Kelantan - RM210 juta

Melaka - RM106 juta

Negeri Sembilan - RM147 juta

Pahang - RM179.2 juta

Pulau Pinang - RM147.2 juta

Perak - RM197 juta

Selangor - RM 992.9 juta

Terengganu - RM205 juta

Sabah - RM122.4 juta

Sarawak - RM90.4 juta

Wilayah Persekutuan - RM821.7 juta

Klik di sini untuk terus membaca