HAKIKATNYA, kita semua pernah melalui alam remaja. Secara prinsipnya, proses perkembangan remaja hari ini, sama seperti kita dahulu, cuma perubahan zaman dan persekitaran menyebabkan akses hubungan sosial mereka semakin luas dan meningkatkan lagi cabaran para ibu bapa untuk memantau mereka. Persoalannya kenapa perlu dipantau?
Sebetulnya, lingkungan umur remaja adalah 13 hingga 19 tahun. Begitu pun, terdapat juga individu yang dikategorikan remaja sewaktu umur 10 tahun kerana telah mencapai kematangan yang lebih awal berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
Pada peringkat ini, berlaku perubahan yang ketara dari segi fizikal, emosi, perkembangan kognitif serta perkembangan seksual. Selain itu, hubungan sosial juga semakin meluas kerana mencari-cari watak dan identiti yang sesuai dengan diri mereka. Malah, mereka juga agak agresif, panas baran, sensitif, sukar ditegur dan sentiasa berasa betul.
Sejajar dengan proses perkembangan remaja yang masih belum matang, terdapat beberapa tindakan di luar kawalan oleh kebanyakan remaja amat merunsingkan kita.
Paling ketara, perkongsian teks serta gambar-gambar berunsur lucah sama ada gambar orang lain dan diri sendiri telah dilakukan tanpa rasa malu dan bersalah.
Berdasarkan beberapa pencarian menerusi internet, terdapat pelbagai bahasa rahsia yang digunakan oleh remaja agar tidak disedari dan diketahui oleh para ibu bapa.
Antara bahasa rahsia tersebut ialah; CTN; tidak boleh bercakap sekarang, HAK; peluk dan cium, PAW; Ibu bapa sedang memerhati, GYPO; Tanggalkan seluar awak, IWSN; saya mahu seks sekarang, KPC; Pastikan ibu bapa tidak tahu, LMIRL; mari kita bertemu dalam kehidupan sebenar, NIFOC; berbogel di hadapan komputer, TDTM; cakap kotor dengan saya, OC; ibu bapa tiada di rumah dan sebagainya lagi.
Berkaitan isu remaja, saya begitu tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh, Megan Land et.al., bertajuk, Social Media and Sexual Behaviour Among Adolescents; Is there a link?, diterbitkan oleh, JMIR Public Health and Surveillance (2017), mendapati remaja yang menghantar lebih 120 khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap hari dan menggunakan media sosial melebih tiga jam sehari mempunyai kecenderungan untuk melakukan sexting (menghantar SMS berbaur seksual). Selain itu, seramai 75.8 peratus remaja tidak mahu para ibu bapa mengetahui kandungan SMS serta gambar-gambar yang dihantar kepada kenalan mereka.
Begitu pun, menerusi kajian yang sama, kecenderungan tingkah laku seksual para remaja semakin menurun dengan adanya pemantauan daripada ibu bapa. Justeru, peranan para ibu bapa sangat penting untuk membanteras tingkah laku tersebut supaya tidak melarat dan berpanjangan.
Selaras dengan itu, Rasulullah SAW bersabda, "Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia 10 tahun, dan pisahkan tempat tidur antara mereka” (Hadis Riwayat Ahmad).
Menurut beberapa pandangan para ulama, pemisahan tempat tidur bermaksud, menuntut para ibu bapa mengawal perkembangan nafsu anak-anak dengan memisahkan tempat tidur mereka sama ada berbeza atau sama jantina bermula seawal 10 tahun.
Pada hemat saya, sudah tiba masanya para ibu bapa perlu meletakkan syarat dan peraturan yang tegas dalam penggunaan gajet oleh anak-anak. Bukan setakat jumlah jam menggunakan gajet perlu ditetapkan, namun kata laluan gajet mereka perlu dikongsi dengan para ibu bapa bagi tujuan pemantauan yang lebih meluas dan ketat.
Begitu pun, penerapan nilai malu, jujur dan menjaga maruah perlu disemai setiap hari agar kesedaran itu datang secara sukarela bukannya dipaksa.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca