PENGALAMAN saya menaiki bas ekspres ini bermacam ragam. Namanya sahaja ekspres tapi sebenarnya tidaklah berapa ekspres. Ketika tahun 2018, berjauhan dengan keluarga terpaksa berulang-alik setiap minggu, sungguh menyeksakan juga. Cuma... Klik di sini untuk terus membaca

PENGALAMAN saya menaiki bas ekspres ini bermacam ragam. Namanya sahaja ekspres tapi sebenarnya tidaklah berapa ekspres.

Ketika tahun 2018, berjauhan dengan keluarga terpaksa berulang-alik setiap minggu, sungguh menyeksakan juga. Cuma sebelum Covid-19 melanda negara, banyak bas yang boleh dipilih. Destinasi ke utara dari Kuala Lumpur, senang untuk mendapat tiket bas.

Melainkan apabila hari perayaan atau cuti panjang, maka terpaksa berebut membeli tiket. Lambat membeli, terlepas untuk balik kampung.

Selepas negara bebas dari kawalan pergerakan, bas ekspres sudah tidak seperti sebelumnya.

Pilihan tidak banyak, berebut untuk membeli tiket. Sekarang setiap minggu bas penuh sehingga tidak cukup bas, kata seorang penjaga kaunter tiket ketika saya bertanya.

"Setiap minggu bang, orang pergi berjalan agaknya. Sebelum ini hujung minggu kosong sahaja bas,” katanya.Saya angguk- angguk hampa ketika terlepas membeli tiket.

Sekarang ini saya masih berjauhan daripada keluarga. Sebelum ini di Lembah Klang, sekarang berulang-alik pula dari selatan.

Hajat untuk berulang setiap minggu sudah tidak ada daya. Kadang-kadang dua minggu sekali, kadang-kadang tiga minggu sekali.

Dari selatan ke utara mengambil masa hampir 13 jam. Setiap minggu jalan sesak. Balik ke utara sesak, balik semula ke selatan sesak juga.

Baru-baru ini menaiki bas ekspres dari utara ke selatan amat mencabar jiwa saya. Bergerak dari utara pada jam 10.30 malam.

Tiket bas sepatutnya jam 9.30 malam sudah terlewat sejam. Apabila bas tiba, saya merasa lega.

Kata pemandu bas, jalan sesak dari Alor Setar. Cuma yang tidak seronoknya menaiki bas ekspres sudah seperti menaiki bas lompat-lompat.

Apa tidaknya, dari Alor Setar singgah di Guar Chempedak. Selepas itu, bergerak ke Sungai Petani pula.

Dari Sungai Petani ke Butterworth untuk mengambil penumpang lagi. Dari Butterworth terus ke Ipoh pula.

Ada yang turun Ipoh, ada yang naik pula di Ipoh. Seorang warga asing yang naik di Ipoh bertanya kepada pemandu bas, "Abang, saya mahu turun Kuala Lumpur."

"Jauh lagi,” kata pemandu bas yang berhenti pula di Hentian Rehat dan Rawat. Katanya hendak membeli air.

Dari Ipoh kebetulan saya yang duduk di depan sekali, terdengar pula perbualan pemandu dengan seseorang melalui telefon.

"Man, teman aku ke TBS (Terminal Bas Bersepadu). Aku belum tidur dari siang tadi. Kau bawa sampai TBS, nanti aku ambil alih pula ke Johor.”Saya sudah berdebar. Rupanya pemandu belum tidur lagi. Entah bagaimana akan dipandunya bas nanti.

Saya tidak jadi untuk tidur. Tidak sedap hati dibuatnya. Bak kata pepatah bagai terpijak tahi hangat.

Sampai di TBS, ramai penumpang yang turun. Berapa ramai, saya pun tidak ingat.

Dari TBS bas ke Alor Gajah, Melaka. Hari pun sudah cerah. Saya pula gelisah kerana jalan sesak dan pada masa yang sama perlu masuk kerja jam 8.30.

Pemandu seperti biasa tenang. Sesekali dibalutnya rokok daun untuk hilangkan mengantuk.

Saya pula kerana tidak tidur, makin mengantuk pula. Dari Alor Gajah ke Stesen Melaka Sentral pula.

Sekali lagi saya mengeluh. Memang saya tidak akan sempat masuk kerja mengikut masa yang ditetapkan.

Dari Melaka Sentral, bas ke Muar. Saya menyumpah di dalam hati. Saya bertanya, "Bang bukan ke nak ke Tangkak dan Segamat?”

"Ke Muar dulu. Ada yang turun Muar.

Selepas tu patah balik.”Sekali lagi saya menyumpah di dalam hati. Hendak sahaja saya menyumpah pemandu bas, tetapi melihatkan badannya yang besar daripada saya dan matanya yang merah menahan mengantuk agaknya, terpaksa saya pendam sahaja.

Sampai Muar, ada tiga orang penumpang turun di Stesen Bas Bentayan. Tiba-tiba seorang warga asing bertanya, "Bang sudah sampai TBS ke?"

"TBS apanya. Sudah sampai Johor. Tadi saya sudah panggil, awak tidak turun kenapa?,” soal pemandu bas.

Maka warga asing turun di Muar untuk membeli tiket bas lain ke Kuala Lumpur. Saya pula makin gelisah.

Jam 11 pagi, akhirnya saya sampai Tangkak. Sekali lagi saya menyumpah di dalam hati.

Saya terus mesej bos, "Bos, saya ambil cuti kecemasan hari ni.

"Kenapa?” tanya bos saya.

"Bas ekspres sudah tidak ekspres lagi,” jawab saya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca