SETELAH genap setahun Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawat Menteri Kesihatan, beliau bakal membentangkan pindaan rang undang-undang yang paling penting dan drastik dalam kerjayanya sebagai seorang ahli politik – akta yang melarang... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH genap setahun Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawat Menteri Kesihatan, beliau bakal membentangkan pindaan rang undang-undang yang paling penting dan drastik dalam kerjayanya sebagai seorang ahli politik – akta yang melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2007, atau Generational End Game (GEG).

Banyak pihak yang menyokong tindakan Khairy ini terutamanya pegawai-pegawai kesihatan awam. Terdapat juga ahli politik seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membangkitkan kesan akta ini terhadap kebebasan individu, peniaga runcit yang menjual rokok dan sindiket penyeludupan rokok yang mampu menggagalkan usaha GEG.

Kopitiam Kita bersetuju dengan hujah-hujah Ahli Parlimen Muar itu. Hakikatnya aktiviti merokok memudaratkan kesihatan. Malah perokok-perokok tahu risiko penyakit-penyakit yang mereka hadapi, tetapi kenapa mereka masih tegar merokok? Jawapan lazim adalah merokok mengurangkan tekanan emosi atau stres.

Mengikut kajian saintifik, nikotin melepaskan bahan kimia yang merangsangkan saraf dalam para perokok untuk satu tempoh masa yang singkat; kesan sampingan nikotin adalah sindrom ketagihan kepada rokok.

Oleh itu, isu yang harus menjadi perhatian ramai bukan soal merokok, tetapi kesan bahan nikotin terhadap kesihatan tubuh manusia.

Apabila nikotin disebatikan dengan bahan bakar rokok, ia membahayakan kesihatan. Tetapi, jika nikotin ditukar kepada bentuk patch atau plaster yang ditampalkan atas kulit manusia, ancaman nikotin terhadap kesihatan manusia dipercayai berkurang dan penggunaan patch nikotin tidak memerlukan preskripsi doktor atau ahli farmasi.

Inilah hujah utama sesetengah ahli sains yang menyatakan bahawa yang mengancam nyawa perokok bukan rokok tetapi bahan tar dalam rokok.

Dengan tahap kesedaran yang kian meningkat mengenai risiko kesihatan tabiat merokok, alat rokok elektronik atau vape telah diperkenalkan sebagai alternatif dan dipromosikan oleh sesetengah negara seperti United Kingdom sebagai alat yang boleh membantu perokok tegar untuk berhenti merokok.

Hakikatnya, ada contoh-contoh perokok yang berjaya berhenti merokok setelah bertukar tabiat kepada hisap vape. Hal ini demikian kerana rokok dan vape memberi kesan rangsangan saraf yang sama kerana kelajuan penerapan nikotin ke dalam tubuh badan manusia hampir sama.

Akta GEG melarang aktiviti merokok untuk generasi muda, tetapi apakah dasar untuk melindungi perokok dewasa kini?

Pada masa ini, tidak ada undang-undang di Malaysia yang mengawal penjualan vape. Vape boleh dijual di mana-mana kedai tepi jalan dan kandungan di dalam vape tidak diselia pihak kerajaan. Pengawalan vape telah dilaksanakan di negara China dan Amerika Syarikat yang mempunyai lebih daripada 300 juta perokok secara keseluruhan.

Syarikat-syarikat vape wajib memberikan butiran mengenai kandungan dan jumlah dos bahan-bahan yang digunakan, amaran pada bungkusan dan cara menggunakan vape kepada pengguna-pengguna. Proses ini meningkatkan kos penghasilan tetapi penting untuk pengetahuan dan keselamatan pengguna.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan pernah mencadangkan penurunan kandungan nikotin dalam rokok dari 1.5 miligram (mg) ke 1.3mg. Ini adalah langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam menggubal undang-undang untuk kawal selia vape.

New Zealand yang sering disebut sebagai negara contoh turut menggubal undang-undang yang mengawal selia vape yang selaras dengan rangka kerja Smokefree 2025.

Kerajaan harus mempertimbangkan langkah-langkah sebegini kerana kempen berhenti merokok akan gagal sekiranya rokok haram yang murah senang dibeli.

Pada tahun 2019, anggaran rokok haram yang dijual di Malaysia mencecah 62 peratus daripada keseluruhan rokok pasaran.

Sekiranya kerajaan bertekad untuk melaksanakan dasar GEG, ia harus diperkasakan dengan peningkatan penguatkuasaan kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok haram.

Jika tidak, rang undang-undang baharu ini tidak berkesan malah membahayakan orang muda yang suka mencuba bahan baharu dan terutamanya bahan yang dilarang.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca