PERLUKAH Pakatan Harapan (PH) terima Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai komponen kelima gabungan tersebut? Isu ini hangat diperkatakan selepas Persidangan Pilihan Raya Muda sebulat suara memutuskan bersetuju untuk menyertai PH pada awal September.
Agak menarik ini berlaku ketika PH giat mengumpul kekuatan dan persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas idea khemah besar pembangkang dilihat semakin malap. Malah reaksi berbelah bahagi pimpinan PH terhadap permohonan Muda itu menimbulkan pelbagai spekulasi.
Namun isu sebenarnya sudah tentulah perlu atau tidak PH menerima Muda. Umum mengetahui dalam politik punya ramai sekutu lebih baik daripada ramai seteru. Tambahan pula Muda mempunyai ideologi, prinsip dan matlamat yang sama dengan PH. Maka tiada masalah kalau mereka mahu bergandingan.
Cumanya diperhatikan, penyertaan Muda ke dalam PH lebih banyak menimbulkan tentangan berbanding sokongan. Jelas persamaan yang serupa nampaknya masih belum cukup untuk Muda diterima.
Tentangan ini dilihat datang daripada pimpinan Muda dan akar umbi PH sendiri. Kenyataan-kenyataan pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pemimpin-pemimpin muda PH yang lain sepanjang dua minggu isu ini timbul mungkin cukup menjelaskannya. Paling merisaukan sudah tentulah reaksi negatif akar umbi.
Apakah isunya sampai jadi begitu? Walaupun secara peribadi melihat Muda yang mahu menyaksikan penyatuan pembangkang dalam pilihan raya dilihat munasabah, ia masih belum kuat dan agak klise. Tambahan pula, ia timbul ketika PRU15 makin mendekat.
Maka sudah tentulah umum dapat menjangkakan alasan tersebut separa masak.PH terutamanya PKR yang paling kuat menentang melihat kemasukan Muda dari perspektif pengajaran lalu.
Kerjasama sahaja tidak cukup kalau ia tidak datang dengan kejujuran dan setia kawan, bukan sekadar menerima atau menumpang kekuatan parti masing-masing.
Ada beberapa perkara yang dilihat kontra kepada PH. Pertama kemasukan Muda dalam PH mungkin akan membesarkan saiz pakatan. Namun ia masih belum cukup untuk menguatkan apatah lagi meyakinkan pengundi. Pengundi kadang-kadang memilih berdasarkan sentimen dan persepsi berbanding rasionaliti dan penelitian.
Sasaran Muda lebih kepada pengundi urban (atau semi urban) yang boleh dilakukan oleh PKR dan DAP. Jadi Muda ada atau tidak, ia masih tidak menjejaskan base sokongan kelompok itu kepada PH. Adalah tidak bijak kalau PH menerima Muda hanya untuk menarik undi orang muda semata-mata.
Tambahan pula, yang kritikal buat PH adalah komponen parti Melayu yang lompang selepas ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mungkin parti Pejuang Tanahair (Pejuang), apatah lagi melalui pakatannya, Gerakan Tanah Air (GTA) lebih sesuai diajak bergabung walaupun ia lebih mustahil dilakukan berbanding bergabung dengan Muda.
Kedua reaksi berbelah bahagi PH dalam kes Muda ini mungkin akan memecahkan integriti dan solidariti parti – sesuatu yang harus dielakkan ketika PH kembali mendapat momentum selepas pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak, pendedahan skandal penyelewengan dan perkembangan kes-kes mahkamah pemimpin UMNO.
Ketiga, penerimaan Muda akan menimbulkan persepsi bahawa PH parti yang tidak kuat sehingga sanggup menerima Muda dan kembali dengan formula khemah besar.
Yang nampak beruntung dalam hal ini hanyalah Muda, namun PH sebaliknya. Itu belum timbul soal 15 kerusi yang ditandingi Muda? Komponen PH mana yang sudi berkorban?
Keempat, penggabungan Muda-PH hanya memperlihatkan kerjasama strategik jangka pendek – mahu bergerak dalam sebuah pakatan pembangkang yang besar dan stabil bagi menghalang BN berkuasa – masih belum cukup kuat. Kalaupun Muda menyertai PH, pembangkang masih lagi terpecah dan kali ini ia lebih parah berbanding PRU14.
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan hujahan ini, namun terpulang kepada masing-masing kerana akhirnya hanya PH sahaja yang dapat memutuskan sama ada PH bersama Muda atau tidak dalam PRU15.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca