SESI ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 77) dibuka pada 13 September lalu. UNGA akan dihadiri oleh 193 perwakilan negara anggota. Hari pertama perbahasan umum peringkat tinggi akan diadakan pada 20 September ini.... Klik di sini untuk terus membaca

SESI ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 77) dibuka pada 13 September lalu.

UNGA akan dihadiri oleh 193 perwakilan negara anggota. Hari pertama perbahasan umum peringkat tinggi akan diadakan pada 20 September ini.

Perhimpunan tersebut diadakan secara fizikal selepas dua sesi sebelum ini berlangsung secara atas talian akibat pandemik Covid-19.

UNGA 77 juga istimewa bagi Malaysia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menyampaikan ucapan beliau dalam bahasa Melayu – kali pertama seorang Perdana Menteri memberi ucapan di UNGA dalam bahasa Melayu. Ia adalah sebahagian usaha Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Selain Perdana Menteri, ramai pemimpin dunia telah berucap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, antaranya Presiden Indonesia, Joko Widodo; Presiden Xi Jinping dari China dan Perdana Menteri Narendra Modi dari India.

Terdapat empat isu yang menjadi tumpuan utama UNGA 77. Pertama, cabaran keselamatan tradisional yang melibatkan isu peperangan dan pencerobohan Rusia di Ukraine yang telah berlangsung lebih enam bulan.

Peperangan tersebut telah memberi impak serius kepada seluruh dunia kerana rantaian bekalan atau supply chain telah tergendala termasuk kenaikan harga minyak dan gas asli kepada Eropah.

Selain itu, berlaku kekurangan bekalan makanan seperti gandum dan jagung akibat sekatan ekonomi terhadap Rusia.

Buat masa kini tidak ada satu jawapan yang muktamad kerana yang jelas setelah lebih enam bulan, tentera Rusia dan Ukraine masih berada dalam keadaan buntu.

Kedua, cabaran bukan tradisional merangkumi isu-isu perubahan iklim, bencana alam, usaha memerangi penularan wabak penyakit seperti Covid-19 dengan varian baharu, cacar monyet, isu keselamatan makanan, hak wanita, kebuluran dan kemiskinan.

UNGA 77 diadakan ketika saat amat kritikal – dunia sedang berdepan krisis iklim, misalnya pemanasan global, gelombang haba yang memecahkan rekod di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta banjir teruk melanda Pakistan.

Masyarakat antarabangsa, khasnya PBB perlu bertindak segera kerana masa semakin suntuk untuk mengelak kesan bencana iklim.

Ketiga, penilaian terhadap pe-laksanaan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), terdiri daripada matlamat global yang saling berkait untuk membawa keamanan dan kemakmuran sejagat.

Terdapat 17 matlamat dalam SDG, antaranya tiada kemiskinan, sifar kebuluran, kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan berkualiti, kesaksamaan jantina, air bersih dan sanitasi, pertumbuhan ekonomi, industri, inovasi dan infrastruktur, keamanan, keadilan, pemeliharaan iklim, kehidupan di daratan serta air.

PENAMBAHBAIKAN

SDG telah diisytiharkan semasa UNGA ke-70 pada 2015 dan bertujuan untuk dicapai menjelang 2030. Seiring dengan itu, ia juga digelar sebagai Agenda 2030.

Oleh demikian, setelah tujuh tahun, UNGA tahun ini merupakan masa pertengahan bagi menilai sejauh mana SDG telah tercapai dan apakah usaha penambahbaikan yang harus dipergiatkan bagi mencapai SDG menjelang 2030.

Perkara keempat adalah hala tuju generasi akan datang, khususnya remaja dan pelajar. Golongan remaja di bawah umur 30 tahun membentuk hampir separuh populasi dunia dan dianggarkan 10.9 bilion orang dijangka dilahirkan pada abad ini.

Golongan remaja sedang bergelut akibat pandemik Covid-19, ditambah pula dengan konflik dan krisis iklim yang mengancam aktiviti pendidikan serta kehidupan harian.

Jadi, Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan diadakan bersama dengan UNGA 77. Ia juga bagi menyelesaikan kebuntuan dan memulihkan kualiti pendidikan akibat pandemik, selain menggalakkan transformasi pendidikan selaras dengan cabaran serta perkembangan semasa.

Pada masa sama, tidak dinafikan UNGA mempunyai batasan dan kelemahan, antaranya ia sering dikritik sebagai badan untuk berdebat serta berbincang tanpa ada kuasa penentuan.

Kuasa-kuasa besar khasnya negara ahli tetap Majlis Keselamatan PBB masih mempunyai kuasa pembatal. UNGA telah bersidang sejak penubuhan PBB, 77 tahun lalu dan kini situasinya amat berbeza.

Justeru, perlu ada usaha bersepadu bagi memastikan reformasi PBB supaya UNGA terus relevan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca