HARI Malaysia yang kita sambut Jumaat lalu tidak lebih daripada sekadar acara rasmi yang telah hilang semangat integrasi nasional. Telah lebih sedekad negara berdepan krisis identiti dan perpecahan kerana kempen politik kecurigaan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

HARI Malaysia yang kita sambut Jumaat lalu tidak lebih daripada sekadar acara rasmi yang telah hilang semangat integrasi nasional.

Telah lebih sedekad negara berdepan krisis identiti dan perpecahan kerana kempen politik kecurigaan dalam kalangan rakyat berdasarkan faktor geografi.

Kini terdapat usaha untuk menjarakkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung (Malaya). Segala-galanya mahu kembali kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Rasa curiga diwujudkan seolah-olah Sabah dan Sarawak telah menjadi mangsa Malaya.

MA63 digubal bukan kerana ia terbaik dalam pembentukan sebuah negara bangsa, namun lebih kepada mahu menjaga kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak yang baru merdeka berbanding rakan di Semenanjung.

Satu faktor lagi adalah untuk mengurangkan penentangan kumpulan tertentu di Sarawak semasa pembentukan Malaysia.

Perbahasan untuk mengembalikan keseluruhan MA63 harus dilihat secara lebih berhemah dan berkonsepkan kita ini satu negara yang telah lebih 60 tahun bersama.

Kebersamaan dengan Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963 bukan sekadar atas MA63.

Pada awal pembentukan Malaysia, infrastruktur kedua-dua negeri sangat daif. Kerajaan Persekutuan yang ketika itu dikuasai ramai orang Semenanjung mengadakan pelbagai program untuk memajukan kedua-dua negeri itu.

Ia termasuk membawa ramai pelajar dari dua negeri itu mendapat pendidikan di Semenanjung tanpa sebarang prejudis.

Guru, anggota pasukan keselamatan dan doktor dari Semenanjung dihantar sehingga ke pedalaman Sabah serta Sarawak. Mereka meninggalkan keluarga bertahun-tahun lamanya dengan tujuan membangunkan anak bangsa di Sabah dan Sarawak.

Malangnya sejak sedekad lalu, usaha untuk menjatuhkan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud daripada jawatan Ketua Menteri Sarawak menggunakan strategi serampang dua mata iaitu isu rasuah dan Abdul Taib adalah alat kepada Persekutuan yang menghakis hak serta kepentingan rakyat Sarawak.

60 TAHUN BERSAMA

Kempen itu begitu kuat sehingga menimbulkan kemungkinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) akan kalah pada Pilihan Raya Negeri. Akhirnya Abdul Taib mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 2014 dan diganti oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Pemimpin politik Barisan Nasional (BN) di Sarawak memilih untuk turut sama menyertai ‘bandwagon’ menuntut hak-hak Sabah dan Sarawak yang dikatakan telah dirampas Semenanjung atau mereka akan tewas kepada DAP serta PKR.

Pada tahun sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (ketika itu) selepas bertemu dengan Adenan mengisytiharkan sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos tidak lagi akan meletakkan angka ulang tahun kemerdekaan.

Pada 2015, berlaku krisis politik di Semenanjung berikutan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia menyebabkan usaha mengukuhkan integrasi nasional terencat dan kepimpinan Persekutuan lebih berminat mencari sokongan di Sabah dan Sarawak termasuk memberi ruang perbahasan lebih meluas mengenai MA63.

Selepas lebih 60 tahun hidup bersama, setelah ramai dari Sabah dan Sarawak telah menjadi menteri Persekutuan, memegang jawatan penting di Persekutuan, apakah kita masih mahu mengungkap soal perbezaan sehingga menukar nama Ketua Menteri kepada Premier dan menolak bahasa Melayu?

Hari ini walaupun satu negara dan satu pasport, penduduk di Semenanjung masih perlu melalui prosedur imigresen jika melancong dan perlu mendapatkan permit kerja jika mahu bekerja di sana.

Pada masa sama, ratusan ribu penduduk Sabah dan Sarawak bekerja di Semenanjung tanpa halangan, prejudis imigresen mahu pun sebarang keperluan permit kerja.

Adalah sangat menyedihkan selepas puluhan tahun hidup bersama dan saling berkorban, hari ini pemimpin politik serta generasi muda memilih untuk berbalah dan berbeza.

Soalnya, masih adakah sebarang makna kehidupan kita dalam sebuah negara bernama Malaysia jika segala-galanya soal wilayah dan kenegerian?

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca