WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) melaksanakan banyak sekatan ke atas beberapa buah negara atas alasan keselamatan kebangsaan atau mengikut dasar-dasar luar yang telah ditetapkan oleh Washington.
Negara Uncle Sam itu sebelum ini mempunyai sejarah melaksanakan pelbagai sekatan ke atas sejumlah negara termasuk Libya, Iraq, Iran, Cuba, Korea Utara dan Syria tetapi tidak sekalipun melakukannya ke atas Israel memandangkan ia adalah sekutu kuat mereka.
Rejim Tel Aviv ‘masih bebas’ dan tidak pernah dikenakan sekatan oleh Washington walaupun ia menduduki wilayah Palestin, Tebing Barat serta Baitulmaqdis secara haram dan Bukit Golan setelah terlibat Perang Enam Hari pada 1967.
Sekatan dilakukan ke atas Afrika Selatan oleh AS pada 1980-an telah berjaya menyebabkan negara itu menamatkan dasar aparteid yang memberikan keistimewaan kepada orang kulit putih dan mendiskriminasikan penduduk kulit hitam.
Pada Februari lalu, Washington bertindak melaksanakan sekatan ke atas Rusia selepas ia menyerang Ukraine dan sehingga kini konflik tersebut masih lagi belum berakhir.
Kesatuan Eropah (EU) dan Britain kemudiannya mengikut jejak langkah AS mengambil tindakan sama menyasarkan sektor ekonomi Moscow.
Bagaimanapun, selepas kira-kira lima bulan, adakah sekatan itu berkesan menjejaskan ekonomi Rusia?
Pada peringkat awal sekatan tersebut dilaksanakan, nilai mata wang Rusia, ruble merosot teruk, namun ia melonjak semula sehingga dinobatkan sebagai mata wang yang menunjukkan prestasi terbaik pada Jun lalu.
Mata wang itu disokong oleh kawalan modal kecemasan yang dilancarkan oleh bank pusat negara tersebut dalam usaha untuk menghentikan penjualan besar-besaran selepas ‘operasi khas’ ke atas Kiev dilancarkan pada 24 Februari lalu.
Beberapa buah negara seperti Turkiye, China dan India bersetuju untuk menggunakan mata wang ruble dalam urusan perdagangan dengan Rusia, sekali gus mengelakkan penggunaan wang dalam dolar AS.
Negara Barat dan syarikat-syarikat besar yang turut terlibat dalam sekatan tersebut cuba meminggirkan Rusia melalui cara tidak berdagang dengan Moscow.
Tetapi, impak daripada tindakan itu telah mengakibatkan harga bahan tenaga dan kos kehidupan meningkat.
Susulan kegagalan sekatan itu, beberapa pegawai tinggi AS menerusi wawancara bersama CNN pada Jumaat turut menzahirkan kekecewaan berikutan ia tidak memberi kesan yang lebih besar kepada ekonomi Rusia.
Mereka meramalkan kesan paling teruk mungkin tidak akan berlaku sehingga awal tahun depan.
Jangkaan meleset
Ekonomi Rusia telah terbukti jauh lebih berdaya tahan daripada jangkaan kebanyakan pegawai di bawah pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.
Kekukuhan ekonomi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil diperoleh Moscow berdasarkan catatan rekod pada musim bunga dan musim panas lalu susulan harga tenaga yang melambung tinggi.
Rusia merupakan pengeluar minyak, gas dan arang batu terbesar dunia.
Menurut Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih Finland, Rusia meraih sebanyak 93 bilion euro (RM422.48 bilion) dengan mengeksport minyak, gas dan arang batu dalam tempoh 100 hari pertama konflik bersama Ukraine.
Bagaimanapun, ekonomi Rusia masih menyusut kira-kira empat peratus antara April dan Jun lalu berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Ia juga tidak menghampiri penurunan sebanyak 15 peratus seperti dijangkakan oleh sesetengah pihak pada awal tahun lalu.
Seorang lagi pegawai di Washington mengakui bahawa walaupun terdapat beberapa kejutan awal yang berlaku dalam ekonomi Rusia, antaranya ketika mata wang Rusia menjunam, namun negara berkenaan berjaya bangkit dengan cepat untuk mengukuhkan semula nilai ruble.
Ramalan ekonomi Rusia akan menderita dengan teruk sama ada daripada kos perang itu sendiri dan tindakan Barat yang memutuskannya daripada perdagangan global jelas tidak berlaku.
Sikap memandang rendah pegawai-pegawai AS terhadap keupayaan Rusia ternyata meleset dan sekatan untuk melumpuhkan ekonomi negara itu juga gagal.
Ia disebabkan tindakan luar jangka seperti kesediaan negara seperti China dan India untuk terus membeli minyak Rusia, selain Arab Saudi telah mula membeli minyak mentah Rusia walaupun pada harga diskaun.
Sehingga kini, ekonomi Rusia masih kukuh dan matlamat negara Barat untuk meminggirkan Moscow nampaknya tidak berjaya mencapai objektif asal.
Klik di sini untuk terus membaca