SUDAH hampir dua minggu Belalang tidak menyentuh papan kekunci komputer dan tidak menghadap apa jua bentuk peralatan dan perkakasan kerja kerana sakit dan dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan di tulang leher bagi membetulkan slip disc yang terkeluar dan ‘mencucuk’ saraf tunjang.
Kesakitan akibat itu tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata. Hanya menerusi pembedahan sahaja sebagai jalan keluar kepada permasalahan tersebut.
Sebelum kejadian yang tidak diduga ini, Belalang tidak pernah tahu kewujudan sakit slip disc di leher. Yang kita pernah dengar dan tahu ialah slip disc di bahagian tulang belakang.
Sejak sekian lama, Belalang hanya alami lenguh-lenguh di belakang leher, bahu dan lengan. Selama ini, disangkakan ia adalah kerana terlalu lama menggunakan komputer iaitu sejak berusia belasan tahun tanpa henti hingga ke hari ini - kurang lebih sudah hampir 40 tahun.
Dalam tempoh itu, Belalang tidak pernah alami sebarang kecederaan di bahagian leher, bahu ataupun belakang atau kejadian yang boleh menjurus kepada insiden slip disc.
Namun, apa yang pasti ialah akhirnya tetap kena slip disc juga - tanpa mengetahui dengan jelas, apa punca dan sebab musababnya. Orang cakap, benda dah nak jadi, apa boleh buat.
Hanya apabila kita jatuh sakit dan terpaksa menjalani proses rawatan yang panjang di hospital, barulah kita sedar dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa kita memerlukan sokongan moral daripada orang di sekeliling kita - daripada ayah dan ibu, isteri dan anak-anak, saudara mara kita jauh dan dekat, jiran tetangga yang prihatin, sahabat-sahabat handai, rakan sekerja dan kakitangan di bawah kita - untuk mengumpul kembali kekuatan yang telah jatuh berkecai kerana sakit.
Sakit sebenarnya merobek jiwa raga kita terlebih dahulu. Fizikal hanya menjadi punca untuk merasa sakit. Ia membawa kepada kemurungan dan rasa terpinggir, tidak bermaya dan hampir putus asa.
Hanya dengan sokongan moral orang yang kita kenali, yang mengembalikan semangat kita untuk melawan sakit dan menyuntik apa jua tonik yang diperlukan untuk segera sembuh, bukan sangat ubat-ubatan yang diberikan.
Ramai yang datang melawat tanpa putus memberikan kata-kata semangat yang diperlukan minda. Yang tidak dapat datang mengirim dan titip pesanan bertanya khabar menerusi pelbagai platform media sosial. Ini belum termasuk teman-teman yang mengirim pelbagai jenis buah tangan sebagai tanda ingatan serta pelbagai lagi bentuk bantuan yang tidak pernah kita sendiri terfikirkan atau terlintas.
Dan sekembalinya Belalang ke rumah, tiada seorang pun jiran terdekat yang tidak datang menziarah. Setiap isi rumah jiran tetangga datang dan menghulurkan kata-kata perangsang dan Belalang berasa sangat tersentuh dan sebak dengan kehadiran dan keprihatinan mereka.
Kepada semua yang telah menziarahi dan mendoakan kesejahteraan Belalang, tiada apa yang mampu Belalang balas melainkan ucapan terima kasih dan doa agar kalian semua diberkati di atas kebaikan yang diberikan dan ditunjukkan. ALLAH jua yang mampu membalasnya.
Dan pengajaran yang paling berharga daripada apa yang Belalang lalui ini ialah hanya apabila kita sakit, barulah kita sedar betapa ramainya orang yang benar-benar menyayangi kita dan mendoakan serta mengharapkan agar kita tiada lain melainkan sembuh segera dan kembali ceria seperti sediakala.
Belalang - Setiap saat mempelajari sesuatu yang berharga....
Klik di sini untuk terus membaca