PADA Ogos lalu, Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan telah terbentuk, sekali gus melakar sejarah kerana inilah Majlis Peguam Syarie pertama wujud di Malaysia. Saya pula telah terpilih sebagai Presiden Majlis Peguam Syarie... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Ogos lalu, Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan telah terbentuk, sekali gus melakar sejarah kerana inilah Majlis Peguam Syarie pertama wujud di Malaysia. Saya pula telah terpilih sebagai Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang pertama.

Peranan peguam sangat penting kepada mahkamah dan masyarakat. Sebenarnya peranan peguam tidak hanya terhad di mahkamah kerana peguam adalah profesion amat dihormati masyarakat. Saranan dan nasihat seorang peguam biasanya diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan di dalam dan luar mahkamah.

Apatah lagi, sekiranya ia melibatkan hal ehwal perundangan. Seorang peguam berusaha memiliki kualiti seperti integriti, sabar, suka mencari ilmu meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai matlamat utama.

Ciri-ciri yang perlu ada pada peguam antaranya ialah:

1. Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.

Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti – bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam.

2. Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.

Sikap itu menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan serta peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

3. Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman.

4. Bersikap baik dan ambil berat.

Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan sahaja mahkamah dan rakan sekerja tetapi semua.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat, janji temu, jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.

5. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan.

Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan peguam melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab, apatah lagi menzalimi lawan.

Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan diperjuangkan.

6. Bersungguh dan tekun.

Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan.

Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam menjalankan tugasan serta mencari hujah perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.

7. Suka berkhidmat dengan hati luhur dan ikhlas.

Peguam tidak wajar terlibat dalam urusan undang-undang sahaja tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.

Matlamat utama prosiding di mahkamah khususnya Mahkamah Syariah adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak.

Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu kita perlu merujuk kepada sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan sunnah.

Bagi tujuan itu, eloklah kita merenung sepotong hadis yang begitu relevan dengan maksud perbincangan.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka."

Jika kita kaji hadis tersebut, ia sangat memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca