SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Sembilan bersama pemaju bercadang untuk mengambil semula tanah di sekitar kawasan Sungai Rambai, Lukut, Port Dickson yang sebelum ini diusahakan sebagai kawasan penternakan babi. Exco Kesihatan, Alam Sekitar,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Sembilan bersama pemaju bercadang untuk mengambil semula tanah di sekitar kawasan Sungai Rambai, Lukut, Port Dickson yang sebelum ini diusahakan sebagai kawasan penternakan babi.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, mereka bercadang membeli tanah itu kerana sebahagian daripada kawasan tersebut merupakan Projek Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

"Tanah itu pada asalnya diberikan kepada penduduk bagi penternakan babi dan mereka tidak boleh mengusahakan tanah tersebut untuk tanaman lain.

"Selepas kemunculan virus Nipah dan wabak babi Afrika, kerajaan negeri telah mengambil tindakan untuk menghentikan sebarang aktiviti penternakan di kawasan tersebut tetapi masih ada penduduk yang menternak babi secara haram,” katanya kepada Sinar Premium.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Tampin itu berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membeli tanah daripada penduduk sebagai inisiatif bagi membangunkan kawasan berkenaan selain daripada penternakan babi.

"Selepas diamati lokasi tersebut, ia tidak lagi sesuai dijadikan kawasan penternakan babi. Kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan tuan tanah di sana untuk mewujudkan penternakan babi secara moden tetapi ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan hampir 80 peratus penduduk bersetuju menjual tanah tersebut kepada pihak lain untuk pembangunan,” ujarnya.

Veerapan turut mengakui, kawasan di sekitar Sungai Rambai memang terkenal dengan penternakan babi secara haram dan membuang sisa kumbahan ke dalam sungai.

"Oleh itu, kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah Exco Peratnian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir untuk memulihkan keadaan. Setakat ini pemantauan sentiasa dijalankan secara berterusan dan kualiti air sungai sebenarnya bertambah baik berbanding tahun 2019,” jelas beliau.

Sebelum ini, Sungai Rambai dilaporkan sebagai sungai paling tercemar di Malaysia dan merupakan satu-satunya sungai yang berada di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada 2019 dan 2020.

Sungai Rambai berada pada kedudukan pertama sungai tercemar di Malaysia.

Lebih mengejutkan, sungai paling tercemar itu juga mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi selepas disahkan oleh laporan analisis makmal setelah sampel air dihantar walaupun ujian tersebut belum diakreditasi mengikut keperluan ISO 17025.

Veerapan bagaimanapun menafikan dakwaan pihak berkuasa seolah-olah sambil lewa dalam mengambil tindakan, sebaliknya menegaskan mereka peka hal tersebut.

"Dakwaan itu tidak benar. Pihak berkuasa sedar dan tahu bahawa sungai berkenaan tercemar, namun setakat bidang kuasa alam sekitar, kami cuma boleh menasihatkan jabatan-jabatan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.

"Exco pertanian yang bertanggungjawab dan saya difahamkan mereka telah memberi notis kepada peladang-peladang sejak tahun lalu lagi.

"Jabatan Alam Sekitar juga boleh mengambil tindakan jika pencemaran berlaku akibat sisa toksik, radioaktif atau sebarang bahan kimia dibuang ke dalam sungai,” jelas beliau.

Penemuan longkang yang mengalirkan air berwarna merah dipercayai darah babi masuk ke dalam Sungai Rambai.

Klik di sini untuk terus membaca