NAMPAK semakin jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang mempersiapkan diri untuk menjadi ahli politik sepenuh masa. Beliau makin kerap membuat kenyataan berbentuk politik mengenai kewangan dan ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

NAMPAK semakin jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang mempersiapkan diri untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

Beliau makin kerap membuat kenyataan berbentuk politik mengenai kewangan dan ekonomi negara. Kenyataan ditujukan kepada orang ramai yang kurang atau tidak faham mengenai ekonomi dan kewangan.

Misalnya, baru-baru ini beliau dilaporkan berkata bahawa kerajaan tidak akan ‘terlalu fokus’ kepada prestasi ringgit, sebaliknya akan terus memberikan tumpuan kepada prestasi ekonomi jangka masa sederhana dan panjang.

Bagaimana beliau boleh berkata seolah-olah duit tidak penting, sedangkan duit adalah ukuran nilai segala-gala yang kita hasilkan dan gunakan.

Ramai orang sudah tahu beberapa langkah kerajaan termasuk melalui Bank Negara telah gagal atau belum berjaya menampakkan hasil yang diharapkan.

Langkah Bank Negara menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak tiga kali mulai Mei lalu gagal membantu mengukuhkan kadar tukaran ringgit.

Sebaliknya, kadar tukaran ringgit terus jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah dan pada masa sama, kita diberitahu nilai dolar naik kerana kerajaan Amerika menaikkan kadar faedah.

Dari segi teori, apabila Bank Negara menaikkan kadar faedah, kadar tukaran ringgit akan turut naik setara dengannya seperti berlaku kepada dolar tetapi sebaliknya berlaku. Kadar faedah naik, kadar tukaran ringgit jatuh.

NILAI RINGGIT

Dolar Amerika penting kepada kita, sebab boleh dikatakan semua jual beli antarabangsa kita menggunakan mata wang itu sebagai perantara.

Dahulu semasa ringgit kuat, ia digunakan dengan luas di wilayah Indonesia dan Thailand tetapi sejak nilai ringgit mula jatuh pada 2013, penggunaannya sama ada berkurangan atau tidak diterima lagi.

Jadi, jelaslah langkah menaikkan kadar faedah oleh Bank Negara gagal mengukuhkan kadar tukaran ringgit, sebaliknya ringgit menjadi lebih lemah.

Ringgit yang murah sepatutnya menarik minat pelabur asing kerana dengan dolar yang mahal itu, mereka boleh mendapat lebih banyak ringgit.

Tetapi itu pun tidak berlaku jika dilihat daripada sambutan terhadap saham-saham di Bursa Malaysia. Pelabur asing lebih banyak menjual daripada membeli.

Jika kita lihat tahun ini sahaja apabila ekonomi kita semakin pulih, indeks komposit yang sepatutnya naik telah jatuh daripada 1,543.11 mata pada 3 Januari lalu kepada 1,467.31, Khamis lalu. Nampak seperti ada masalah kurang minat dan keyakinan.

Di sini kita terpaksa juga tanya mengenai keberkesanan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bursa Malaysia sejak Mei 2020.

Di pihak lain pula, langkah menaikkan kadar faedah bertujuan meredakan kadar inflasi dan menggalakkan penabungan.

Tetapi kadar faedah lebih tinggi boleh menyebabkan inflasi naik, apatah lagi apabila nilai ringgit merosot. Kemerosotan nilai ringgit akan secara automatik menyebabkan inflasi yang diimport meningkat.

Pastilah apabila kadar faedah naik, kos pinjam pun naik juga, misalnya Maybank mengumumkan pada 8 September lalu bahawa kadar asas pinjaman (BLR) telah dinaikkan daripada 5.90 peratus setahun kepada 6.15 peratus.

Ia tentunya akan membebankan peminjam, tidak kiralah sama ada untuk membeli rumah, berniaga, membeli saham amanah atau belajar.

Apatah lagi dalam suasana pasaran saham yang lesu dan pulangan saham amanah semakin menurun.

Kesimpulannya, kenyataan Tengku Zafrul semakin berbau politik sejak mula menceburi politik melalui UMNO dan dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Ia bukanlah petunjuk yang boleh meyakinkan orang yang faham ekonomi dan kewangan.

Kita harus memperingatkan Tengku Zafrul bahawa beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan bukan atas landasan politik tetapi kerana kedudukannya sebagai tokoh korporat.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca