[MUKADIMAH] Wujudnya rasa tidak puas hati terhadap peninggalan sejarah adalah hakikat dalam sesebuah gabungan atau federasi terdiri dari wilayah berbeza iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Felo Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata, ia perlu diakui bahawa tidak semua pihak akan berpuas hati mengenai setiap perkara.
Justeru, apa yang penting ialah membentuk dan memperteguh kebersamaan dengan menjadikan gabungan tiga wilayah sama-sama untung, sama-sama menang dengan syarat sama-sama berusaha menjayakannya.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Ahad bersama Abdul Rahman yang juga Penasihat Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional APM dan Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia bagi membahaskan kepentingan memperkukuhkan bangsa Malaysia bersempena ulang tahun Hari Malaysia ke-59.
SINAR AHAD: Selepas 59 tahun pembentukan Malaysia, bagaimana Profesor melihat hubungan sosial antara rakyat di Semenanjung dan Sabah, Sarawak kerana sebelum ini wujud stigma dan persepsi kurang baik antara satu sama lain?
ABDUL RAHMAN: Dari pemerhatian saya, hubungan sosial antara rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sebagai rakan taulan senegara tidak ada masalah besar yang memerlukan intervensi. Rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung gembira berada di sini bercampur gaul bersama rakan-rakan senegara di sini.
Begitu juga rakan-rakan dari Semenanjung yang bekerja di Sabah atau Sarawak. Dari apa yang saya tahu, rakan-rakan yang bekerja di sana seronok dengan suasana keterbukaan dan kehangatan yang dirasai di sana.
Saya sendiri turut merasai kemesraan dan kehangatan setiap kali saya berkunjung ke Sabah atau Sarawak baik untuk bercuti atau semasa menjalankan tugas dahulu. Saya percaya sekarang pun suasananya tentu begitu juga.
Apa yang menjadi masalah ialah hubungan politik dan administratif. Isu keterpinggiran Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan memang menimbulkan ketidakpuasan di sana.
Bayangkan sampai hari ini Sabah dan Sarawak antara dua wilayah yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Isu lantikan pegawai dari Semenanjung untuk jawatan tertentu di sana kadang-kadang menimbulkan rasa tidak senang.
Begitu juga isu imigresen untuk rakyat dari Semenanjung masuk ke sana memang tidak menyenangkan rakyat kita di sini. Ini bukan masalah dari segi hubungan sosial.
Tapi ini satu segi. Seperti saya nyatakan, kisah-kisah mesra dan hubungan begitu erat yang mengharukan pun ada. Apa lagi sebahagian penduduk di sana pula ada hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan dan lain-lain dengan mereka dari Semenanjung.
Ringkasnya, kita perlu sikap saling mengenali, mempelajari, menghormati, menyayangi dan menerima antara satu sama lain tidak kira kita dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Perlu bersikap rendah diri, tertib dan beradab.
Pokoknya kita adalah sama sebagai insan atau makhluk ciptaan yang Maha Kuasa, apa lagi kita juga warga senegara dan sebangsa – bangsa Malaysia.
Bagaimana pula dengan jurang bagi aspek seperti ekonomi, pendidikan, kemudahan kesihatan, liputan internet serta teknologi, pendapatan isi rumah dan sebagainya. Adakah Sabah dan Sarawak masih jauh terbelakang berbanding Semenanjung? Apa jurang paling ketara dan perlu diberi perhatian serius?
Jurang sosioekonomi, pendapatan isi rumah, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, internet, teknologi moden dan lain-lain memang sangat jelas. Data rasmi menunjukkan kadar kemiskinan pada tahun 2021 adalah paling tinggi di Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak.
Tentang kemiskinan tegar pula, Sarawak merekodkan jumlah penduduk miskin tegar tertinggi iaitu sebanyak 62,930 keluarga diikuti Kelantan sebanyak 42,131 keluarga miskin tegar, Sabah (40,938), Kedah (17,928) dan Perak (17,010) mengikut data eKasih Februari 2022.
Seperkara yang penting kita kadang-kadang terlupa atau tidak perasan kepentingan perbezaan geografi Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung. Pengkhususan geografi ini mesti diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan.
Infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, kereta api dan lain-lain sangat penting untuk mendekatkan pelbagai daerah dan komuniti serta memacu pembangunan ekonomi, memajukan pendidikan, menyediakan kemudahan kesihatan dan lain-lain yang diperlukan rakyat. Perkara ini perlu diberi keutamaan di Sabah dan Sarawak.
Kita juga perlu ambil contoh pengurusan pendidikan sekolah masa pandemik Covid-19. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara atas talian boleh dilaksanakan dengan lancar hanya sekiranya ada jaringan internet yang laju dan gajet yang baik. Perkara ini hanya kita dapati di kawasan bandar, bukan di kawasan pedalaman lebih-lebih lagi di Sabah atau Sarawak.
Kita perlu ingat pendidikan adalah hak asasi manusia dan kunci kepada kemajuan sesebuah komuniti serta wilayah. Pendidikan prasekolah, sekolah seterusnya kolej dan universiti mesti diberi keutamaan. Untuk ke depan, kerajaan perlu beri perhatian serius dan keutamaan kepada kemajuan pendidikan di sana.
Penggunaan istilah wilayah Sabah dan Sarawak akan meletakkan kedudukan kedua-dua wilayah itu setaraf dengan Semenanjung Malaysia. Istilah ini selaras dengan konteks penubuhan Malaysia yang menggabungkan tiga wilayah iaitu Semenanjung (Tanah Melayu), Sabah dan Sarawak. Apa pandangan Profesor mengenai perkara ini?
Memang konsep pembentukan Persekutuan Malaysia ialah gabungan tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak (pada awalnya termasuk Singapura tetapi Singapura disingkirkan pada tahun 1965). Tapi untuk satu masa yang lama, konsep ini tidak jelas.
Pengertian untuk satu masa panjang ialah Malaysia terdiri daripada 13 negeri, 11 di Semenanjung, dua di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Sedangkan sepatutnya tiga wilayah sahaja yang setaraf kedudukannya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada pengamatan saya, inilah kelemahan asas masa pembentukannya. Konsep federasi itu tidak jelas khasnya berkaitan kedudukan negeri-negeri di Semenanjung serta wilayah Sabah dan Sarawak.
Daripada segi fakta sejarah, Suruhanjaya Cobbold membuat tinjauan untuk penentuan nasib bangsa sendiri hanya di Sabah dan Sarawak, tidak di Semenanjung seakan-akan rakyat Semenanjung dianggap bersetuju dengan hasrat bergabung dan tentang kesamaan taraf wilayah berkenaan.
Hal ini mungkin kerana pada masa itu tahun 1962-1963, Semenanjung Tanah Melayu sudah merdeka dan ada kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Justeru dalam sistem demokrasi, kerajaan dianggap sebagai mewakili hasrat rakyat.
Sekarang kita sudah membentuk Persekutuan Malaysia selama 59 tahun. Hal lampau sudah menjadi sejarah. Tidak puas hati terhadap peninggalan sejarah atau historical grienvances yang kerap dibicarakan sekarang tetap ada khasnya dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Ini boleh dimengerti. Tetapi kita juga patut akui rasa tidak senang hati ini bukan sebelah pihak. Ia juga berlegar dalam kalangan rakyat Semenanjung.
Tetapi begitulah hakikat sebuah gabungan atau federasi terdiri dari wilayah berbeza. Kita gembira dan senang hati mengenai sejumlah perkara tetapi tidak puas hati dengan beberapa perkara lain. Tidak semua pihak akan berpuas hati mengenai semua perkara.
Apa yang penting ialah membentuk dan memperteguh kebersamaan. Gabungan tiga wilayah dalam sistem persekutuan ini bukan satu zero sum game; ia satu pendekatan sama-sama untung, sama-sama menang dengan syarat kita sama-sama berusaha menjayakannya.
Kita mesti mempunyai pengertian dan pendirian bahawa tiga wilayah ini sama taraf serta harus diterima dalam alam subjektif warganya lebih-lebih lagi mereka di Semenanjung.
Rakyat kita perlu proses sosialisasi politik yang baru dan berterusan. Konsep sama taraf ini harus dimasyarakatkan supaya penerimaannya lebih luas dan tanpa ragu-ragu.
Dasar Perpaduan Negara (DPN) dilancarkan sebagai satu langkah intervensi untuk mengembalikan perpaduan nasional. Adakah pelaksanaan dasar ini berada di landasan tepat selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?
Di sini saya ingin timbulkan dua perkara iaitu kerangka pemikiran DPN dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) serta status Kementerian Perpaduan Negara supaya lebih berupaya atau ‘bertaring’ dalam pelaksanaan dasar dan programnya.
Hubungan DPN yang dilancarkan pada 15 Februari 2021 dengan WKB yang dilancarkan pada 2019 memang erat. WKB merupakan gagasan baharu untuk tempoh 10 tahun sehingga 2030 menggantikan Wawasan 2020 yang tempohnya 30 tahun dan tamat pada 1 Januari 2020. Matlamatnya untuk membangun Malaysia menjadi sebuah negara maju dan makmur.
Cuma satu kemusykilan saya ialah kenapa WKB tidak mahu menggalas cabaran pertama Wawasan 2020 untuk membina Bangsa Malaysia secara terang-terangan sebagai rupa bangsa ke arah 2030 dalam proses menjadi negara maju? Pembinaan bangsa adalah satu proses penyatupaduan warga dengan identiti sepunya.
Kenapa DPN pun tidak menyentuh Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia dalam kerangka besarnya sedangkan Wawasan 2020 sudah menjadi naratif utama negara kita untuk 30 tahun sejak 1991.
DPN menyebut negara bangsa dan identiti nasional tetapi tidak mengaitkannya dengan bangsa Malaysia. Sedangkan bangsa Malaysia sudah diungkapkan oleh Tun Abdul Razak sejak tahun 1967 dan kemudian pada 1971 semasa melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang matlamatnya untuk perpaduan nasional. Dan konsep ini diteruskan lagi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991 semasa melancarkan Wawasan 2020.
Kedua, kerangka pemikiran DPN tentang ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ untuk mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara memang sesuai.
Ia boleh menjadi pembimbing dalam pelaksanaan WKB khasnya berkaitan isu-isu inklusif pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta ketaksamaan dan membina negara supaya bersatu, makmur dan bermaruah.
DPN harus memantau pelaksanaan WKB khususnya supaya dapat memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak serta golongan terpinggir kota dan desa termasuk B40 merentasi kaum dan agama di seluruh negara baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak dapat terbela.
Isunya, status Kementerian Perpaduan Negara perlu lebih utuh dengan legitimasi lebih kuat untuk melaksanakan DPN.
Dengan status dan legitimasi yang lebih kuat, nasihat Kementerian Perpaduan Negara akan lebih dipandang dalam pelbagai isu terutama WKB melalui bidang ekonomi, sosial dan integrasi wilayah supaya dapat dilaksanakan selaras dengan cita-cita perpaduan dan integrasi nasional.
Penggunaan media sosial kian meluas dalam kalangan generasi muda. Banyak hantaran berkaitan hubungan baik antara kaum dikongsikan seperti orang India bantu jiran Melayu dan sebagainya.
Bagaimana Profesor melihat impak media sosial pada generasi akan datang dalam aspek perpaduan nasional?
Zaman sekarang boleh dirujuk sebagai zaman media sosial. Media konvensional walaupun masih sangat berpengaruh khasnya liputan televisyen untuk memberi kesan kepada penonton tentang sesuatu isu itu tidak dapat menandingi media sosial dalam kecepatan menarik perhatian kepada sesuatu isu dalam komuniti dan masyarakat luas yang melibatkan kehidupan rakyat berbilang kaum.
Keberkesanan peranan media sosial ini sangat ketara semasa negara dilanda bencana seperti pandemik Covid-19, banjir dan musibah lain. Jangkauannya sangat luas, pantas dan berpengaruh.
Teknologi media sosial telah melahirkan citizen journalism khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan keterbukaan satu ruang baharu ini, ada segi positif dan negatifnya.
Dari segi negatif, ada berita palsu, fitnah dan lain-lain diputarkan, soal perkauman dan kebencian agama boleh disebarkan sehingga menjejaskan hubungan antara kaum dan agama. Perkara ini sesuatu yang perlu dikawal melalui pendidikan dan undang-undang.
Tetapi aspek positifnya jauh mengatasi aspek negatif. Peranan NGO dan generasi muda di sini sangat penting. Contoh tentang banyak video dengan kisah-kisah mengharukan yang menunjukkan sikap saling menolong antara kaum semasa susah memang baik sekali.
Ia mengharukan dan menyemai perasaan senasib dan kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia walaupun kaum berbeza. Kita tidak akan tahu kisah-kisah ini jika media tidak mengangkatnya dalam televisyen. Mujurlah media sosial dapat mengisi keperluan ini dengan menyebarkannya untuk pengetahuan umum.
Media sosial adalah saluran berita pertama yang akan muncul apabila berlaku musibah, menyalurkan suara mereka dalam kesusahan meminta pertolongan dan lain-lain. Media sosial juga mampu mengatur langkah menyusun bantuan yang perlu dengan pantas.
Masih terdapat pemimpin politik yang membangkitkan isu semasa dan sering mengaitkan ia dengan kaum tertentu. Adakah situasi politik pada hari ini menggugat perpaduan nasional? Apa nasihat Profesor kepada ahli politik?
Memang ada orang politik termasuk ketua parti yang membangkitkan isu dan mengaitkannya dengan kaum tertentu. Ini pencerminan tahap politik negara kita di mana orang-orang politik termasuk mereka yang menganggap dirinya pemimpin masih memainkan sentimen kaum dan agama untuk mendapat sokongan. Ini satu ciri politik negara kita yang berterusan sejak dahulu sehingga sekarang yang patut diwaspada.
Di sisi lain, politik yang lebih matang dan bertanggungjawab juga semakin berkembang. Contoh, semasa Covid-19 dan perlunya kestabilan politik untuk meningkatkan usaha melawan pandemik.
Atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, pemimpin parti politik dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang boleh mengambil sikap mengatasi kepentingan politik berparti masing-masing dan menumpukan perhatian kepada kepentingan negara dengan mengambil langkah gencatan politik melalui perjanjian persefahaman (MoU). Maka wujudlah kestabilan politik, dengan demikian urusan pemerintahan dan pentadbiran dapat dijalankan seperti sepatutnya.
Saya percaya dan mengharapkan proses politik matang dan sihat seperti ini akan terus berkembang dan menjadi arus utama dalam budaya politik di negara kita.
Saya juga percaya dan mengharapkan politik yang berasaskan dasar dan program untuk negara serta rakyat ditonjol dan didebatkan, bukannya politik picisan dan kotor yang memainkan isu kaum dan agama yang meracuni pemikiran rakyat.
Ahli-ahli politik perlu insaf mereka memikul amanah yang amat besar dan berat. Negara kita kini berada di persimpangan untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat.
Begitu juga negara kita perlu dipulihkan daripada segi integriti dan tadbir urus yang baik untuk membanteras rasuah dan penyelewengan. Kita juga perlu membanteras budaya cash is king, politik wang dan lain-lain perbuatan tidak berprinsip.
Beberapa langkah reformasi institusi seperti Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti yang baru diluluskan perlu dilaksanakan. Juga banyak lagi reformasi yang perlu dilakukan.
Prinsip pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman harus dipertahankan. Kita patut bersyukur badan kehakiman kini dapat berfungsi sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan keadilan dan menjunjung undang-undang tanpa gentar dan memihak.
Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ahli politik dan seluruh rakyat untuk menyokong kebebasan badan kehakiman. Mereka tidak harus menyerangnya kerana kepentingan politik peribadi, apa lagi kerana kejahilan.
Apa nasihat Profesor kepada rakyat sempena Hari Malaysia ke-59 tahun ini?
Kita sudah bersetuju untuk hidup bersama dalam sebuah negara bernama Malaysia. Kita sudah lakukan ini selama 59 tahun walaupun terdapat pelbagai masalah yang perlu ditangani.
Rakyat perlu menganggap masalah ini sebagai sebahagian daripada cabaran hidup bernegara dan berusaha menanganinya dalam semangat persefahaman dan kekeluargaan.
Daripada kehidupan bernegara, saya harap rakyat akan terus berusaha mengembangkannya menjadi kehidupan sebangsa dengan suatu identiti nasional sepunya iaitu bangsa Malaysia.
Dengan membina bangsa Malaysia tidak bererti identiti kaum masing-masing akan terhapus. Hak identiti masing-masing terlindung dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Dasar yang dilaksanakan ialah integrasi, bukan asimilasi. Identiti bersifat berlapis. Kita boleh mempunyai beberapa identiti dalam masa yang sama. Kita boleh mengekalkan identiti kaum masing-masing tetapi pada masa sama, identiti ini boleh wujud di bawah payung yang lebih besar iaitu identiti nasional sepunya, bangsa Malaysia.
Saya harap tahun hadapan apabila kita merayakan ulang tahun ke-60 Hari Malaysia, kita akan lebih merasa kebersamaan dan pertautan sebagai bangsa Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca