SHAH ALAM - Golongan muda yang mengamalkan seks songsang mengakui terdapat 11 aplikasi yang boleh dimuat turun secara dalam talian bagi mencari pasangan untuk melakukan hubungan seks sejenis.
Rata-rata mengakui aplikasi untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan trasngender (LGBT) adalah jalan mudah untuk membuat janji temu dengan mana-mana pasangan sejenis.
Mereka terlebih dahulu akan berkenalan tanpa mendedahkan identiti masing-masing.
Selepas hubungan semakin rapat, barulah masing-masing mendedahkan identiti mereka.
Salah seorang bekas gay yang hanya mahu dikenali sebagai Andy, 28, berkata, dia berjinak-jinak dalam dunia gelap itu sejak menuntut di sebuah universiti.
Menurutnya, ia selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi tersebut pada tahun 2014.
"Saya terpengaruh dengan ajakan rakan untuk mendaftar di aplikasi dating (janji temu) itu. Saya terkejut sebab jumpa ramai rakan dari universiti yang sama dan universiti lain.
"Kebanyakan mereka merupakan pelajar berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun. Ketika itu, saya lebih suka berkenalan dengan seseorang yang lebih berusia atau umur sebaya kerana lebih memahami dan matang berbanding muda.
"Sememangnya aplikasi gay itu memudahkan kami untuk mencari ciri-ciri pasangan yang ingin didekati sehingga membawa perkenalan lebih intim,” katanya kepada Sinar Ahad.
Andy berkata, dia bagaimanapun insaf dan kembali ke pangkal jalan selepas menyedari perbuatan tersebut bukan sahaja sia-sia, tetapi berdosa serta tidak membawa kepada pengakhiran yang baik.
"Saya sedar perbuatan ini adalah salah. Jika difikirkan balik, hubungan ini tidak boleh ke mana pun sebab akhirnya kita tetap akan mengahwini seorang wanita pada suatu hari nanti.
"Perkara ini juga dilarang dalam agama. Saya sudah taubat dan tidak akan sesekali terjebak lagi dalam dunia itu,” ujarnya.
Seorang lagi yang pernah terjebak, Danish, 29, berkata, dia pada awalnya sekadar suka-suka untuk mendaftar aplikasi tersebut sebelum menjadi ‘ketagih’ untuk berkenalan dengan lebih ramai kawan sejenis.
"Semasa saya sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi (IPT), saya sudah mencuba tiga aplikasi gay untuk mendapatkan lebih ramai kenalan. Setakat ini tiga aplikasi yang saya cuba adalah percuma. Ada sesetengah aplikasi dikenakan bayaran untuk beberapa features,” katanya.
Dia yang kini bekerja di sektor swasta berkata, adalah mudah untuk mencari pasangan yang mempunyai minat sama.
"Saya tidak mendedahkan nama sebenar dan hanya dedahkan identiti jika sudah betul-betul rapat dengan seseorang itu,” katanya.
Seorang lagi yang mahu dikenali sebagai Zack, 27, mendedahkan, tidak semua individu yang mendaftar dalam aplikasi itu benar-benar ikhlas dalam menjalinkan sesuatu hubungan.
"Saya hampir ditipu hampir oleh seseorang yang menawarkan janji manis, tapi rupanya dia adalah ‘scammer’ dan mempergunakan saya untuk mendapatkan duit.
"Selain itu ada juga yang berkenalan tetapi hanya sekadar untuk melepaskan nafsu. Disebabkan itu ramai yang lakukan seks bebas mudah dijangkiti HIV,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca