SHAH ALAM – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan agar mereka yang terjebak dengan seks songsang melakukan taubat nasuha terlebih dahulu susulan pendedahan kebanyakan individu dijangkiti HIV adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan agar mereka yang terjebak dengan seks songsang melakukan taubat nasuha terlebih dahulu susulan pendedahan kebanyakan individu dijangkiti HIV adalah golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, taubat nasuha merupakan taubat yang ikhlas disertai dengan penyesalan dan keazaman untuk tidak akan kembali melakukan perbuatan itu.

"Ini disusuli dengan pelbagai ibadat dan kebajikan, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sosial, perkhidmatan pendidikan dan kemanusiaan.

"Turut disarankan ialah banyak berdampingan dengan golongan soleh atau orang-orang baik dan beriman di samping menghindari golongan fasik dan jahat.

"Ini sebagaimana diketahui bahawa pergaulan dan persahabatan memang ada pengaruh ke atas peribadi seseorang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Wan Salim dalam masa yang sama turut menasihatkan agar individu itu segera berkahwin jika mempunyai kemampuan daripada sudut kewangan dan fizikal.

"Saya juga meminta pendakwah dan asatizah agar selalu memperingatkan kepada masyarakat tentang bahaya amalan seks songsang ini.

"Selain itu, mereka juga perlu menyeru ibu bapa dan para pendidik agar memberi perhatian dalam mendidik anak-anak supaya tidak terjebak di dalam krisis moral yang serius sehingga terjerumus ke jurang amalan yang keji ini,” tegasnya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pula menasihatkan golongan muda atau pelajar IPT agar menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid.

Menurutnya, dengan hadirnya mereka ke masjid, sekurangnya-kurangnya masa yang digunakan untuk perkara-perkara tidak baik itu dapat dielakkan.

"Seperti universiti dan pusat pengajian tinggi hendaklah mengatur pelajar-pelajar ini apabila masuk waktu sembahyang, mereka sembahyang secara berjemaah (di masjid).

"Di situ (masjid) dia akan mendapat ilmu, dapat menguatkan hubungan silaturahim dan boleh menjauhkan perkara-perkara yang tidak baik.

"Ruang masa yang tidak berfaedah itu ditampung dan digunakan untuk pergi dan keluar masjid. Itu salah satu cara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perkara-perkara ini dapat dilakukan, masalah sosial yang dihadapi akan dapat diatasi.

Klik di sini untuk terus membaca