SHAH ALAM - Gelombang penolakan rasuah perlu dipertingkatkan lagi dalam usaha menjadikan Malaysia bebas daripada amalan tersebut sekali gus mengelakkan terjerumus sebagai sebuah negara yang gagal.
Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa berkata, masih banyak usaha perlu dilakukan dalam menjayakan agenda berkenaan kerana gelombang yang ada kini masih belum cukup meluas.
Beliau berkata, meskipun gelombang penolakan rasuah itu sudah ada termasuk kempen #MalaysiaTanpa Rasuah tetapi ia tidak menyeluruh kerana ia bersifat ‘berkelompok’.
"Apa yang saya bimbangkan ada peringkat jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mungkin tidak dapat merasa keseriusan apa yang berlaku sekarang.
"Banyak lagi permasalahan ini di jabatan kerajaan, peringkat GLC dan lain-lain, terlepasnya pemantauan terhadap kakitangan awam dan GLC dari gelombang ini menyebabkan masih ada yang ‘longgar’ dan perlu diperbetulkan,” katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Mohd Nizam berkata, besar harapan YARM agar gelombang ini dapat digemakan lagi bagi mencapai matlamat Malaysia bebas rasuah.
"Saya amat berharap agar dapat melihat gelombang tolak rasuah ini diteruskan momentumnya. Tidak hanya tertumpu kepada kumpulan politik tetapi juga semua peringkat GLC, jabatan kerajaan dan di semua organisasi yang melibatkan kerajaan juga perlu.
"Harapan saya juga agar kepercayaan rakyat selama ini dapat dikembalikan setelah melihat pelbagai isu dan penyalahgunaan wang rakyat bukan berjuta tetapi telah sampai berbilion ringgit,” tegasnya.
Tambah beliau, dalam menjayakan agenda berkenaan, YARM akan terus memainkan peranannya bagi menzahirkan keseriusan menolak penularan virus rasuah dalam masa yang sama bertindak sebagai pihak yang tidak berkepentingan.
"Gelombang ini perlu diteruskan bagi rakyat memilih pemimpin yang baik dan berintegriti, tidak sekadar melihat keturunan atau pemimpin itu lama di dalam negara ini.
"Semoga Malaysia berjaya mencapai suatu budaya yang menolak rasuah yang telah seakan menjadi pandemik. Dan vaksin yang berkesan untuk memastikan ia kembali stabil adalah rakyat sendiri,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca