KAMUS Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur (2020) mentakrifkan istilah ‘mehnah’ sebagai ‘ujian dan cubaan oleh ALLAH kepada seseorang’ ; dan ‘bala’ mempunyai empat makna. Satu daripada empat makna... Klik di sini untuk terus membaca

KAMUS Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur (2020) mentakrifkan istilah ‘mehnah’ sebagai ‘ujian dan cubaan oleh ALLAH kepada seseorang’ ; dan ‘bala’ mempunyai empat makna.

Satu daripada empat makna ini ialah ‘kejadian buruk seperti kemalangan atau penyakit yang menimpa seseorang atau sesuatu’.

Tidak ada manusia yang menjalani kehidupan di dunia ini tanpa mengalami mehnah ujian, cubaan atau bala, tidak kira ringan atau berat.

Walaupun semua orang faham akan makna ujian atau bala, konsep ini boleh membawa erti yang agak berlainan antara individu menurut kefahaman, kepercayaan, dan juga kebingkasan (resilience) diri.

Misalannya, sewaktu peperangan mempertahan negara, seorang tentera mengalami kecederaan yang berat pada tubuhnya tetapi dapat menahan sakit dan ia percaya itulah pengorbanannya kepada negara yang tercinta. Dalam masa yang sama ia dinobatkan sebagai wira negara.

Dalam satu senario yang lain, seorang penjenayah mengalami kecederaan yang berat pada kepala dan dadanya apabila ia ditembak oleh pihak keselamatan. Dia mengalami kemurungan serta perasaan putus asa sewaktu dirawat selama sebulan di hospital, dan didapati beberapa kali cuba mencederakan lagi dirinya yang sudah cedera itu.

Kita boleh mengalami mehnah atau bala pada bila-bila masa saja dalam hayat kita. Jika sesuatu mehnah itu dijangka, maka trauma emosi yang dialami tidak begitu berat.

Sebaliknya jika sesuatu bala itu tidak dijangka-jangka, maka gegaran trauma emosi pada diri boleh dirasa sangat berat hingga ada peribadi mengalami kemurungan, kebimbangan, atau kedua-duanya sekali. Ada juga yang mengalami kecelaruan stres pascatrauma.

Kita lihat maksud ayat al-Quran tentang bala yang baik.

"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi ALLAH yang menyebabkan pembunuhan mereka; dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi ALLAH yang melempar, dan untuk menguji orang-orang yang beriman dengan bala (ujian) yang baik daripada-Nya. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah an-Anfal ayat 17) Hadis berikut membuat kita memikirkan tentang peringkat bala.

Daripada Mus‘ab bin Sa‘d daripada ayahnya Sa‘d bin Abi Waqas, dia berkata: Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling hebat bala ujiannya?” Baginda menjawab: "Para Nabi, kemudian kalangan selanjutnya dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat maka ujiannya pun semakin berat. Jika agamanya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadarnya agamanya. Tidaklah ujian ini akan diangkat daripada seorang hamba hingga Allah membiarkan mereka berjalan di muka bumi dengan tanpa dosa.” (HR Ibnu Majah No: 4013) Sebenarnya Allah SWT tidak membebankan sesuatu jiwa lebih daripada apa yang dapat dipikulnya.

Pada hakikatnya seorang hamba yang bertakwa akan berasa insaf akan bala yang menimpanya hingga pengalaman pahit ini mendekatkan dirinya kepada Tuhannya.

Saya akhiri dengan pengajaran dua buah agama besar.

Menurut Bible, ujian memainkan peranan untuk mengangkat martabat seseorang.

"Berkatlah orang yang istiqamah semasa ujian kerana, setelah menjalani ujian, ia akan menerima mahkota hayat yang dijanjikan tuhan bagi sesiapa yang mengasihinya.” (James Bab 1 ayat 12) Gautama Buddha pula mengajar penganutnya cara bagaimana kebahagiaan boleh bertahan lama.

"Seseorang patut dilatih dalam tiga amalan baik — kemurahan hati, hayat seimbang, pembangunan minda pengasih — yang menghasilkan kebahagiaan yang bertahan lama.” Ini ialah nukilan kenyataan guru tersohor daripada Itivuttika, sebuah kitab Buddha.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca