SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan meningkatkan pemantauan secara lebih ketat terhadap semua perisian yang didapati mempunyai unsur seks songsang daripada masuk ke negara ini.
Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, semua aplikasi yang boleh membuka ruang kepada perilaku seks songsang perlu ditutup dan disekat dari diakses oleh mana-mana individu terutama golongan muda.
"Kita nyatakan kebimbangan terhadap gejala seks songsang sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Ahad.
"Kita turut gesa bahagian siasatan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih proaktif menangani krisis kecelaruan sosial terutama menggunakan aplikasi media sosial.
"Kerajaan diminta tegaskan pendirian berkaitan isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi memastikan perkara-perkara seperti ini tidak terus berleluasa dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Ahad.
Sinar Ahad melaporkan golongan muda yang mengamalkan seks songsang mengakui terdapat 11 aplikasi boleh dimuat turun secara dalam talian bagi mencari pasangan untuk melakukan hubungan seks sejenis.
Rata-rata mengakui aplikasi untuk golongan LGBT adalah jalan mudah untuk membuat janji temu dengan mana-mana pasangan sejenis.
Dalam pada itu, Ahmad Farhan menambah, sekiranya perkara itu tidak dicegah dari awal ia dikhuatiri memberi impak yang buruk terhadap masyarakat dan negara terutama penyebaran penyakit seperti HIV.
"Institusi keluarga akan terjejas kerana dibimbangi melebarkan isu-isu penceraian dan peningkatan pesakit HIV yang berpunca daripada amalan seks bebas sesama jenis.
"LGBT mengganggu norma kehidupan masyarakat Malaysia sekali gus akan menimbulkan keresahan dalam komuniti setempat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca