SEBAGAI individu yang telah lama berkhidmat dalam dunia akademik khususnya bidang perolehan, saya rasa terpanggil untuk melontarkan pandangan berhubung isu perolehan kerajaan termasuk isu yang masih hangat diperkatakan sekarang iaitu... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI individu yang telah lama berkhidmat dalam dunia akademik khususnya bidang perolehan, saya rasa terpanggil untuk melontarkan pandangan berhubung isu perolehan kerajaan termasuk isu yang masih hangat diperkatakan sekarang iaitu perolehan pertahanan.

Perolehan pertahanan terbahagi kepada beberapa kategori, antaranya untuk kegunaan asas dan umum seperti kemudahan tempat tinggal, pangkalan atau kem dan logistik keperluan anggota.

Ada juga perolehan pertahanan yang bersifat sulit dan terhad seperti peralatan keperluan pertahanan dan peperangan untuk tiga perkhidmatan tentera iaitu Darat, Laut dan Udara. Ada kalanya keperluan tiga turus Angkatan Tentera Malaysia ini berbeza dari segi keperluan dan perkhidmatan.

Perolehan pertahanan yang sulit dan terhad ini memerlukan pelaksanaan perolehannya secara khusus dan tertutup bagi tujuan keselamatan dan kerahsiaan terutamanya tentang fakta-fakta teknikal dan spesifikasinya.

Pun begitu, pendekatan untuk pelaksanaan jenis ini perlulah dinilai, dikawal selia dan dipantau oleh sebuah badan atau agensi khas bagi menjamin tiada sebarang ketirisan dan salah guna prosedur berlaku semasa proses perolehannya dirancang dan dilaksanakan.

Sebagai contoh, pembelian jet pejuang, kapal perang atau kereta kebal perlulah melalui satu proses saringan nilai semak dan imbang oleh sebuah badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang-bidang khusus sama ada daripada tentera mahupun daripada kakitangan awam yang terpilih.

Badan atau agensi itu juga haruslah bertanggungjawab dan telus dalam menilai, menganalisis dan menyemak apa jua unjuran perancangan perolehan ketenteraan yang telah dikenal pasti. Hasil daripada penyelidikan dan kajian oleh badan tersebut, satu laporan akan dipersembahkan terus kepada Parlimen untuk mendapatkan pengesahan atau persetujuan.

Di negara-negara maju, agensi perolehan pertahanan (APP) bukanlah suatu yang baru diperkenalkan. Walaupun nama badan atau agensi ini mungkin nampak berbeza dari satu negara ke negara yang lain, namun fungsi dan peranan mereka hampir sama.

Di United Kingdom umpamanya, mereka menggunakan nama Agensi Perolehan Pertahanan (DPA) di mana antara fungsi utamanya adalah menjalankan kajian dan penilaian kos dan masa, serta risiko aset-aset ketenteraan.

Ditubuhkan pada April 1999, DPA berfungsi dalam menasihati pihak ketenteraan tentang keputusan dan kesesuaian pelaburan atau perolehan, kos aset, spesifikasi, jenis kontrak dan kaedah pelaksanaan kontrak yang sesuai, serta pemantauan pengurusan projek bersama-sama pakar pelbagai disiplin.

Mereka juga berfungsi sebagai perantara profesional yang bertindak secara telus, berintegriti dan tanpa ada dorongan kepentingan, misalnya oleh Kementerian Pertahanan atau Kementerian Kewangan.

Apa yang tidak kurang pentingnya ialah mereka bertanggungjawab terus kepada parlimen. Ini bagi menjamin ketelusan dan kesesuaian sebarang perolehan pertahanan adalah yang terbaik, tanpa dorongan mana-mana pihak dan memenuhi kriteria nilai yang ditetapkan.

Australia menamakan agensi perolehan ketenteraan mereka sebagai Reviu Perolehan Pertahanan (DPR) yang berfungsi sama seperti di UK.

Sementara itu, Perancis menamakan agensi mereka sebagai Agensi Perolehan Pertahanan Perancis (DGA) yang telah melangkah terkedepan dengan menekankan penggunaan aplikasi digital peroleh dan pengurusan projek bersepadu, selain meningkatkan kolaboratif antara pemegang taruh dan pihak kerajaan bagi menghasilkan situasi menang-menang.

Amerika Syarikat pula tersohor dengan saiz besar dan peranan Agensi Pengurusan Kontrak Pertahanan (DCMA) yang berperanan bukan sahaja dalam pengurusan kontrak pertahanan yang pelbagai, daripada membeli dan memulihara jet pejuang sehinggalah kepada apa sahaja keperluan pertahanan untuk semua perkhidmatan ketenteraan.

Suka saya ingatkan, tiada satu kaedah perolehan pun yang kalis gagal walaupun setelah penilaian dan pemilihan kaedah yang paling sesuai dibuat.

Namun bagi perolehan pertahanan yang sulit dan terhad, ia perlu dikaji, dinilai dan dipersetujui oleh bukan hanya satu pihak pemegang taruh tetapi sekumpulan panel bebas lain dalam badan yang tiada kepentingan dalam projek pertahanan yang dicadangkan.

Telah sampai masanya sebuah badan seumpama agensi perolehan pertahanan diwujudkan di negara kita untuk menangani kemungkinan berlakunya isu perolehan pertahanan yang telah menjadi duri dalam daging di negara kita untuk sekian lama.

* Profesor Madya Dr Mohammad Fadhil Mohammad ialah pensyarah kanan bidang ukur bahan di UiTM, Shah Alam. Beliau juga pernah berkhidmat dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM dengan pangkat leftenan.

Klik di sini untuk terus membaca