SHAH ALAM - Rata-rata pengguna mengakui perkhidmatan bas ekspres masih diperlukan di negara ini kerana berupaya meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan selain tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk memulakan perjalanan jauh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna mengakui perkhidmatan bas ekspres masih diperlukan di negara ini kerana berupaya meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan selain tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk memulakan perjalanan jauh ke sesuatu tempat.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan perkhidmatan bas kini semakin tidak berkualiti seperti isu kelewatan, jadual perjalanan tidak mengikut masa ditetapkan, tukar bas di pertengahan jalan dan sebagainya namun pengguna terpaksa menghadapinya disebabkan tiada pilihan lain.

Pelajar universiti tempatan, Rohaiza Ayuni Hamidun, 21, berkata, harga tiket yang ditawarkan masih berpatutan dan jauh lebih murah berbanding pengangkutan awam lain seperti kapal terbang.

"Bas ekspres memudahkan individu yang tidak berkemampuan untuk menaiki kapal terbang untuk pergi ke tempat yang jauh.

"Saya pernah menggunakan bas ekspres pergi dan balik dari Selangor ke Kelantan dan jumlah yang dikenakan hanya RM80 berbanding harga tiket penerbangan yang mencecah ratusan ringgit,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

"Namun kini perjalanan bas ekspres tidak lagi secepat dahulu kerana kerap berhenti di beberapa lokasi di negeri lain untuk mengambil penumpang sekali gus menyebabkan perjalanan menjadi lebih lama,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Siti Faizierah Zohare, 28, bukan semua rakyat mampu memiliki kenderaan sendiri untuk pergi ke destinasi yang lebih jauh selain perlu memikirkan kos-kos lain seperti minyak, penyelenggaraan, tol dan sebagainya.

"Cuma kita tahu pada cuti perayaan memang jalan akan sesak dan mengambil masa yang lama di atas jalan, tapi apa pilihan kita ada jika tak mampu menaiki kapal terbang.

"Setiap bulan saya akan balik ke kampung di Negeri Sembilan menaiki bas ekspres kerana harga tambang lebih murah selain mahu jimat tenaga dan tidak mahu memandu terlalu jauh ke sesuatu tempat,” katanya.

Sementara itu, pensyarah, Aishah Nadirah Mohamed Alauddin, 36, berkata, untuk perjalanan yang jauh, dia lebih selesa menggunakan perkhidmatan bas ekspres berbanding memandu kereta.

"Saya kerap menaiki bas ekspres jika perlu melakukan perjalanan jauh dan paling jauh saya pernah pergi menaiki bas ekspres ialah ke Terengganu dan Perlis.

"Badan kita pun kurang letih jika dibandingkan dengan memandu sendiri kereta, cuma perjalanan itu menjadi lama jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca