SHAH ALAM - Sebarang maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya didedahkan secara terbuka di media sosial kerana tindakan seumpama itu menyalahi undang-undang. Peguam Mohamed Haniff... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebarang maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya didedahkan secara terbuka di media sosial kerana tindakan seumpama itu menyalahi undang-undang.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sebaiknya segala maklumat yang diperoleh melibatkan dua isu berkepentingan tersebut perlu dibuat laporan kepada pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, biarpun ada pihak yang tidak mempercayai kredibiliti atau ketelusan SPRM melaksanakan tugasnya, namun sebagai rakyat berpegang kepada undang-undang adalah menjadi tanggungjawab untuk mematuhi ketetapan yang telah digariskan oleh perlembagaan.

"Prosesnya kita kena ikut. Tidak boleh pula hendak kata sebab kita tidak percaya dengan SPRM, maka kita dedahkan perkara itu kepada semua iaitu pihak akhbar atau didedahkan dalam media sosial, seterusnya membiarkan rakyat membuat ‘keputusan’.

"Perkara melibatkan kedaulatan undang-undang walau jelas mana sekali pun pada pandangan kasar ada pihak yang bersalah, namun ia tidak boleh diputuskan menerusi komen daripada pihak netizen di media sosial. Kita kena juga patuh dengan konsep kedaulatan undang-undang,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, setelah membuat pengaduan kepada pihak berkuasa sama ada SPRM atau Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan menerima salinan laporan, maka selepas itu baru sesuai untuk dimaklumkan serba sedikit kepada umum tentang apa yang telah dilaporkan.

Malah, katanya, setelah tempoh masa tertentu atau sewajarnya telah diberikan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan, pihak yang membuat laporan atau masyarakat umum boleh bertanyakan sejauh mana siasatan dan apakah tindakan lanjut telah dilakukan ke atas kes dilaporkan.

Jelas beliau, sekiranya pihak berkuasa masih tidak membuat siasatan dalam tempoh yang diberikan daripada segi undang-undang, tindakan lanjut boleh dilakukan dengan menulis laporan kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan diberikan juga kepada Peguam Negara (AG).

Beliau menambah, laporan kepada KPN dan AG itu juga harus meminta kedua-duanya menyelesaikan kepincangan pihak berkuasa yang terlibat dalam mengendalikan siasatan, selain kedua-dua pemimpin tertinggi itu membentangkan kepada umum tentang laporan rasmi secara berkala.

"Tetapi sekiranya kita tidak melakukan prosedur-prosedur seumpama itu atau memilih untuk mendedahkannya di dalam media sosial, kita sebenarnya telah menimbulkan satu situasi yang lebih kucar kacir kepada rakyat.

"Sebab semua tindakan kita menyebarkan di media sosial, rakyat akan tertanya-tanya dengan persoalan yang berbangkit kerana mereka mahukan keyakinan fakta disebarkan sama ada sahih atau sebaliknya.

"Maka siapa yang telah menyumbang kepada kecelaruan ini? Tidak lain tidak bukan adalah mereka yang mendedahkan isu-isu sensitif demi retorik orang politik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca