SHAH ALAM - Masalah utama yang dihadapi pengusaha bas ekspres ketika ini adalah faktor kewangan sehingga menyebabkan perkhidmatan diberikan kepada pengguna terjejas, kata pakar pengangkutan awam, Dr Rosli Khan. Beliau yang juga Pengarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Masalah utama yang dihadapi pengusaha bas ekspres ketika ini adalah faktor kewangan sehingga menyebabkan perkhidmatan diberikan kepada pengguna terjejas, kata pakar pengangkutan awam, Dr Rosli Khan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan MDS Consultancy Group berkata, memang ada kebenaran bahawa penggunaan bas ekspres pada masa kini agak menurun berbanding tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

"Banyak masalah dialami oleh pengusaha bas ekspres dan salah satunya ialah masa perjalanan agak lama disebabkan oleh kesesakan lalu lintas terutama perkhidmatan jarak jauh atau perkhidmatan antara kota.

"Tetapi ini bukan masalah utama, masalah besar dan paling utama ialah bersangkutan dengan kewangan.

"Kurangnya bantuan kewangan daripada kerajaan kepada pengusaha yang terjejas ketika pandemik Covid-19 termasuk tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada pendapatan selama dua tahun tidak dapat diatasi dalam kalangan mereka sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Rosli berkata, masalah itu perlu mendapat perhatian dan campur tangan daripada pihak kerajaan.

"Kerajaan tidak merumuskan sebarang cadangan bantuan untuk membantu mereka dari segi kewangan.

"Sedangkan pada masa yang sama bayaran ansuran bulanan terpaksa dibayar, gaji pekerja dan kos-kos penyelenggaraan dan sebagainya. Banyak bas-bas tersadai atau ditarik balik pihak bank atau penaja kewangan terdahulu.

"Ini adalah punca utama yang membuatkan perkhidmatan bas ekspres sekarang berkurangan dan banyak yang terjejas,” jelasnya.

Kata Rosli, tiada perkhidmatan bas ekspres bermaksud penumpang dan pengguna terpaksa mencari pengangkutan alternatif.

"Perkhidmatan yang dulunya popular seperti perjalanan ekspres ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari bandar-bandar utama seperti Melaka, Seremban, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang telah banyak ditutup,” katanya.

Menurutnya, perjalanan antara bandar tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

"Banyak bandar-bandar di Perak, Pahang dan Johor yang tidak mempunyai perkhidmatan udara, jauh dari lapangan terbang dan tiada perkhidmatan kereta api.

"Jadi perkhidmatan utama mereka ialah menerusi bas ekspres,” katanya.

Rosli berkata, pihak kerajaan mesti melihat isu ini dari segi ketidakadilan untuk penduduk yang tidak mempunyai kenderaan persendirian dan tidak mempunyai akses kepada pengangkutan awam lain.

"Inilah masalah yang tidak pernah dibincangkan atau dinilai dengan teliti,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca