SHAH ALAM - Di sebalik memberikan gambaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam masa terdekat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hakikatnya masih berada di persimpangan dilema dalam menentukan tarikh terbaik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik memberikan gambaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam masa terdekat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hakikatnya masih berada di persimpangan dilema dalam menentukan tarikh terbaik untuk kerajaan memohon pembubaran Parlimen.

Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, beliau berpandangan terdapat tiga indikator penting bakal menentukan sama ada Ismail Sabri mampu memenuhi jangkaan pembubaran Parlimen selepas usul pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober ini atau sebaliknya.

Jelas beliau, tiga indikator penting perlu dipertimbangkan Naib Presiden UMNO itu adalah tahap persepsi rakyat terhadap implikasi kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; unjuran bencana banjir pada hujung tahun oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan keberkesanan inisiatif kerajaan melaksanakan transformasi politik dan pentadbiran negara melalui memorandum persefahaman (MoU) kerajaan-Pakatan Harapan (PH).

"Perdana Menteri kini seolah-olah berada di persimpangan dilema disebabkan pucuk kepimpinan UMNO mahukan PRU15 segera, sedangkan majoriti rakyat menuntut kerajaan memfokuskan dahulu usaha memperkukuhkan kembali ekonomi negara yang terkesan teruk sejak pandemik Covid-19.

"Justeru, apabila UMNO konsisten mendesak PRU15 diadakan segera meskipun dalam musim banjir, persepsi rakyat kini melihat tujuan PRU15 mahu dipercepatkan sekadar bertujuan menyelamatkan hayat politik pemimpin-pemimpin kluster mahkamah termasuk Ahmad Zahid.

"Ismail Sabri sedar UMNO-BN tidak boleh mendepani PRU di bawah persepsi negatif parti cuba melindungi pemimpin kluster mahkamah, lebih-lebih lagi pendedahan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) baru-baru ini sedikit sebanyak agak 'mencederakan' imej parti itu," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ismail Sabri bahawa beliau akan bertemu pemimpin Top 5 UMNO dalam masa terdekat bagi membincangkan tarikh pelaksanaan PRU15.

Penjelasan Ahli Parlimen Bera itu dibuat susulan MetMalaysia sebelum ini memberi peringatan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada pertengahan November, kemungkinan bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan parti itu bersedia meredah banjir mahupun hujan lebat sekiranya Perdana Menteri memutuskan PRU15 diadakan tahun ini.

Satu mesyuarat MKT UMNO yang bakal diadakan pada 30 September ini juga dijangka menjadikan agenda penentuan tarikh pelaksanaan PRU15 sebagai fokus perbincangan utama dalam kalangan 56 ahli badan pembuat dasar tertinggi parti berkenaan.

Mengulas lanjut Dr Mazlan menjelaskan, Ismail Sabri juga perlu mengambil kira impak kemungkinan berlaku bencana banjir besar di negeri-negeri berisiko banjir sekiranya PRU15 diadakan pada hujung tahun ini sebagai indikator penting.

Perkara itu turut disokong Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim susulan beliau berpandangan rakyat kini melihat hanya UMNO sahaja yang bersungguh-sungguh mendesak kerajaan melaksanakan PRU15 segera.

Jelas Mohd Yusri, dengan jangkaan negeri-negeri di Pantai Timur bakal terkesan bencana banjir besar secara langsung akibat ancaman angin Monsun Timur Laut aktif, beliau percaya Ismail Sabri dan kerajaan sudah mempertimbangkan faktor ini semasak-masaknya.

"Operasi membantu mangsa yang terjejas dengan banjir tidak akan dapat difokuskan seoptimum mungkin jika pada masa yang sama PRU sedang berjalan.

"Jika PRU diadakan tahun ini dan kebetulan banjir besar melanda pada waktu tersebut, UMNO-BN akan mendapat tempias negatif dan sudah tentu senario sebegini akan mengurangkan populariti dan sokongan rakyat terhadap mereka.

"Dalam pelbagai isu menghimpit UMNO sekarang khususnya isu-isu mahkamah, agak rugi untuk UMNO menambah satu lagi isu banjir sewaktu PRU berlangsung.

"Perdana Menteri juga dilihat sebagai sosok yang meletak rakyat sebagai keutamaan sejak memegang terajui kepimpinan negara. Tidak berbaloi Ismail Sabri mengorbankan imej positif berkenaan semata-mata mahu memenuhi kehendak parti," tegas Mohd Yusri.

Pada masa sama, Dr Mazlan juga tidak menolak kemungkinan Ismail Sabri sedang 'membeli masa' untuk memujuk pucuk kepimpinan UMNO supaya memberi ruang masa secukupnya kepada beliau menjayakan agenda transformasi politik didambakan rakyat.

Justeru, beliau menegaskan tidak hairan timbul pembinaan naratif di mana Ismail Sabri selaku Perdana Menteri perlu memimpin kerajaan dalam baki penggal pentadbiran kerajaan tidak sampai setahun, bagi melengkapkan agenda transformasi politik sebagaimana terkandung dalam MoU kerajaan-PH.

"Mungkin waktu ketika ini adalah tempoh terbaik UMNO untuk menang bergaya pada PRU15. Tetapi bagi jangka masa panjang, senario itu tidak sihat untuk UMNO.

"Ini kerana persepsi rakyat melihat pucuk kepimpinan parti itu masih terdiri daripada mereka yang terpalit kes mahkamah dan memperalatkan kuasa politik demi kepentingan peribadi.

"Namun, sekiranya UMNO memberi ruang kepada Ismail Sabri menjayakan naratif Perdana Menteri daripada parti berkenaan terbukti komited membersihkan politik Malaysia daripada rasuah selain tidak campur tangan dalam kes pemimpin kluster mahkamah, saya percaya rakyat akan lebih teruja mengundi UMNO-BN berimej baharu dan bersih kelak," tegas Mazlan.

Klik di sini untuk terus membaca