SHAH ALAM - Peratusan pemilih yang keluar mengundi dijangka rendah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir. Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, parti kerajaan juga diramal berdepan kekalahan kerana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peratusan pemilih yang keluar mengundi dijangka rendah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, parti kerajaan juga diramal berdepan kekalahan kerana keputusan mengadakan PRU15 ketika Monsun Timur Laut seolah-olah menunjukkan pemerintah tidak memikirkan soal keselamatan dan nyawa rakyat.

DR MAZLAN ALI

"Bagaimana rakyat nak pergi mengundi kalau mereka berdepan dengan bencana banjir?

"Jadi, selain peratusan keluar mengundi akan rendah, rakyat juga akan marah kepada kerajaan kerana pilihan raya dibuat tidak kena ‘masa’,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah amat jelas dan nyata.

Mazlan yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan, tindakan mengadakan PRU15 tidak kena masa itu juga pastinya akan dimainkan pembangkang sebagai modal kempen yang akhirnya boleh mengakibatkan parti pemerintah utama seperti UMNO dan Pas kalah.

Malah, menurutnya, jika sesebuah kawasan dilanda banjir teruk, mungkin pusat pengundian di kawasan berkenaan juga terpaksa ditutup, sekali gus menyebabkan proses pengundian tidak dapat diadakan dengan lancar.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, situasi banjir itu mungkin tidak memberi masalah kepada UMNO untuk membantu pengundi keluar mengundi, selain pengundi tegar sesebuah parti yang dilihat akan tetap keluar mengundi.

Jelas beliau, UMNO mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membawa pengundi yang ditempatkan di PPS ke pusat mengundi.

"Kalau nak angkut pengundi tegar, mereka mungkin akan ikut tetapi saya yakin pengundi atas pagar tidak akan turun mengundi.

"Tidak boleh dibayangkan dalam keadaan rakyat perlu berdepan dengan bencana banjir, mereka juga perlu melaksanakan tugas sebagai pengundi. Semestinya tumpuan mereka pada banjir,” ujarnya.

Menurut Mazlan, tumpuan kerajaan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan juga terjejas kerana pada masa sama sedang menguruskan pilihan raya.

"Perlu diingat selepas Parlimen dibubarkan, kerajaan yang ada akan jadi kerajaan interim, jadi kalau nak keluarkan bajet bagi membantu mangsa banjir, ia akan timbulkan masalah,” katanya.

Bersih 2.0 bimbang kerajaan tidak dapat mandat kukuh

Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir kerana dikhuatiri kerajaan yang wujud tidak akan mendapat mandat kukuh.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, oleh itu pilihan raya perlu diadakan ketika majoriti pengundi boleh keluar membuang undi.

THOMAS FANN

"Perkara asas yang penting sekarang adalah kita mahu satu pilihan raya yang berjaya tarik peratusan keluar mengundi tinggi.

"Ini kerana cabaran utama waktu ini ialah Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang berkemungkinan menyebabkan peratusan keluar mengundi akan menurun.

"Jadi, tidak kira bila tarikh PRU15, ia mesti sesuai supaya ramai yang boleh keluar mengundi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Thomas menegaskan, kerajaan yang kuat tidak dapat dibentuk jika peratusan keluar mengundi rendah.

"Bahkan, kalau satu-satu kerajaan menang PRU15 dengan peratusan rendah, ia bermakna mandatnya kurang, sekali gus ketidakstabilan politik di negara ini juga akan berterusan,” jelasnya.

Menurut Thomas, dengan mandat lemah, kerajaan juga sukar melaksanakan sesuatu dasar atau polisi yang tidak popular tetapi penting untuk negara.

"Dasar atau polisi yang mahu dibuat tidak akan dapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Jadi, kerajaan yang lemah ini tidak akan berani buat perubahan yang negara kita perlukan,” tegas beliau.

Justeru, Thomas berkata, Bersih 2.0 berpendirian waktu sesuai untuk PRU15 diadakan ialah sehingga penggal Parlimen tamat iaitu pada tahun depan.

Menurutnya, dalam baki masa yang ada ketika ini, kerajaan perlu memberi tumpuan mereformasi Parlimen dan undang-undang seperti terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

"Semua reformasi ini termasuk akta pendanaan politik yang akan dibawa ke Parlimen nanti sudah pasti mampu menambah baik sistem politik kita,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca