SHAH ALAM – Rata-rata rakyat bersedia untuk keluar mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada tahun ini, namun ada syaratnya.
Mereka berpandangan PRU15 perlu berlangsung dalam cuaca yang baik dan tidak berlaku sebarang kejadian banjir pada tempoh tersebut.
Sinar Harian dimaklumkan, adalah tidak menjadi masalah sekiranya PRU15 diadakan segera, namun perlu ambil kira ramalan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebat berterusan sekali gus membawa kepada banjir besar pada penghujung November nanti.
Peniaga, C Muthusamy, 70, berkata, pilihan raya adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik ketika ini, selain mengembalikan mandat rakyat bagi memilih parti dan pemimpin yang lebih baik.
"Kita tengok sekarang ini politik di negara ini tidak stabil dan berpecah-pecah. Jadi sebagai pengundi kita mempunyai hak untuk memilih parti yang mampu memberi kesejahteraan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Saya adalah pengundi Parlimen Shah Alam dan sekiranya cuaca baik serta tidak berlaku banjir, apa salahnya PRU15 diadakan pada tahun ini?
"Lambat atau cepat pun sama sahaja, kita tetap perlu keluar mengundi,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Bagi juruteknik, Ahlan Muhajer, 48, berkata, sekiranya tiada bencana banjir dan situasi berada dalam keadaan terkawal, seeloknya PRU15 diadakan segera bagi membolehkan rakyat menentukan parti yang terbaik untuk memerintah negara ini.
"PRU memang perlu diadakan untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang stabil tetapi apabila ada amaran banjir dikeluarkan MetMalaysia, kalau boleh anjakkan tarikh itu, lebih baik tunda dan jangan diadakan pilihan raya pada bulan yang dijangka berlakunya banjir.
"Jika tiada kejadian banjir, rakyat nak keluar mengundi pun senang dan selesa kerana tidak sibuk untuk membersihkan rumah dan menyelesaikan urusan-urusan lain,” katanya sambil menambah merupakan pengundi Parlimen Kuala Selangor.
Bagi pengundi Parlimen Batu, Amy Abu Bakar, 56, berpendapat sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 pada tahun ini sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, namun tarikh pilihan raya itu perlu diadakan sebelum berlakunya kejadian banjir melanda.
"Nak buat pilihan raya pada tahun ini boleh tapi jangan diadakan semasa berlaku banjir.
"Kalau banjir macam mana kita nak keluar mengundi namun apabila situasi berada dalam keadaan baik dan lancar tidak salah pun adakan PRU15.
"Paling penting tarikh diadakan itu sesuai untuk semua pihak selain tidak susahkan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Afifi Mohd Ali, 33, mencadangkan pilihan raya diadakan pada masa bersesuaian bagi mengambil kira faktor keselamatan rakyat susulan amaran banjir dikeluarkan berlaku pada penghujung November nanti.
"Saya menetap di Shah Alam dan mencari rezeki di sini, namun saya perlu balik ke kampung di Kulim, Kedah untuk mengundi.
"Saya sudah alami pengalaman banjir pada Disember tahun lepas di mana rumah saya terjejas akibat banjir.
"Jika banjir, macam mana nak berniaga dan kalau PRU15 diadakan, bagaimana nak balik ke kampung untuk mengundi.
"Kalau boleh pilihan raya perlu diadakan pada masa bersesuaian dan lebih baik diadakan pada tahun 2023,” jelasnya.
Berbeza pula bagi pengundi Parlimen Klang, Shukor Tajudin, 37, yang berpendapat bahawa PRU15 perlu diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan kerajaan berakhir.
"Biarlah kerajaan sekarang menjalankan tugas dan habiskan penggal.
"PRU15 diadakan pada tahun hadapan pun tidak mengapa dan tidak perlu tergesa-gesa sebab kita tahu hujung tahun ini selalu berlakunya banjir,” tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca