SHAH ALAM - Pilihan raya umum (PRU) tidak sesuai diadakan ketika musim banjir kerana ia berpotensi menjejaskan bukan sahaja peratusan kehadiran pengundi, malah proses melaksanakan PRU itu sendiri.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pelaksanaan PRU semasa musim banjir dilihat bakal memberikan kesan terhadap aspek logistik, perbelanjaan dan kadar penyertaan pengundi.
Menurutnya, pengalaman menguruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2011 iaitu kawasan mengalami banjir semasa tempoh pilihan raya telah menimbulkan beberapa masalah.
"Pengalaman di DUN Tenang, Labis di Johor, saya minta bantuan (mengangkut pengundi untuk pergi mengundi), itu pun mereka tak dapat bantu secukupnya sebab nak mengangkut pengundi kena guna trak besar. Kalau guna kereta tak boleh lalu.
"Jadi, peratusan keluar mengundi memang akan terjejas. Ini pula PRU yang libatkan seluruh negara.
"Memang perbelanjaan besar dan akan meningkat. Bukan belanja SPR sahaja, jabatan lain yang terlibat pun akan terkesan sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Abdul Aziz menjelaskan, situasi yang berlaku ketika itu sememangnya menyukarkan tugas pegawai-pegawai SPR, antaranya melibatkan pe-ngurusan pengangkutan kotak undi dari pusat mengundi ke pusat penjumlahan undi.
"Mereka kena naik bot, sampan dan trak polis untuk melalui jalan berkenaan. Jadi, ia bukan sahaja menyukarkan pengundi, malah pegawai, kakitangan SPR dan anggota keselamatan serta pegawai jabatan lain yang terlibat,” ujarnya.
Pada 2 September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini dan ia bakal membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan tersebut.
Menurut Abdul Aziz, cuaca antara faktor penting diambil kira oleh SPR dalam menetapkan tarikh PRU, selain faktor mengelak pertembungan dengan mana-mana hari perayaan atau sosial masyarakat di Malaysia.
"Ia bagi memastikan tarikh dan masa dipilih itu sesuai serta mudah untuk pengundi tidak kira di kampung, luar bandar, dalam bandar atau pinggir bandar untuk pergi mengundi,” katanya.
'Masalah kepada pengundi, rosakkan perjalanan PRU'
Sementara itu, Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, PRU tidak sepatutnya diadakan pada musim tengkujuh ketika banyak kawasan di dalam negara dijangka berdepan risiko bencana banjir
Katanya, langkah mengadakan PRU ketika tempoh tersebut memberikan masalah bukan sahaja kepada pengundi, malah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan per-jalanan pilihan raya lancar.
"Jika banjir besar dan hujan berjam-jam seperti musim tengkujuh di Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak serta Johor, kita dah tahu pengundi tidak akan dapat keluar mengundi. Urusan SPR untuk hantar petugas di pusat mengundi pun akan sukar.
"Jadi, kenapa kita buat juga perkara yang kita tahu akan merosakkan perjalanan pengurusan pilihan raya,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Wan Ahmad berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini, SPR dijangka mempunyai waktu singkat dalam persediaannya melaksanakan PRU dengan mengambil kira tempoh musim tengkujuh diramal bermula Disember tahun ini.
Menurutnya, paling awal SPR boleh mengadakan pilihan raya adalah sebulan selepas tarikh pembubaran Parlimen dan ia melibatkan urusan pengeluaran watikah pelantikan pegawai SPR, tempoh berkempen sehingga hari mengundi.
Tambah beliau, SPR juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) gerak kerja untuk menangani kemungkinan banjir di sesuatu kawasan pengundian.
"Contohnya, jika bangunan sekolah untuk pusat mengundi ditenggelami air dan pengundi tidak boleh datang serta saluran tempat mengundi juga tidak dapat disediakan, SPR ada kuasa menangguhkan pengundian di tempat mengundi terlibat,” katanya.
GARIS PANDUAN PENETAPAN TARIKH PRU OLEH SPR
- Tidak bertembung dengan tarikh perayaan keagamaan, sambutan nasional atau hari keputeraan.
- Memilih hari yang memudahkan pengundi untuk keluar mengundi.
- Kesiapsiagaan SPR menjalankan PRU dari segi persediaan pegawai, alatan dalam proses pengundian dan perancangan logistik.
* SPR akan menggunakan kuasa budi bicaranya untuk menentukan tarikh PRU berdasarkan kepada garis panduan di atas.
INFO TARIKH PRU BERMULA 1959 SEHINGGA 2018
PRU 1 19 Ogos 1959
PRU 2 25 April 1964
PRU 3 10 Mei 1969
PRU 4 24 Ogos 1974
PRU 5 8 Julai 1978
PRU 6 22 April 1982
PRU 7 3 Ogos 1986
PRU 8 20 dan 21 Oktober 1990
PRU 9 24 dan 25 April 1995
PRU 10 29 November 1999
PRU 11 21 Mac 2004
PRU 12 8 Mac 2008
PRU 13 5 Mei 2013
PRU 14 9 Mei 2018
Klik di sini untuk terus membaca