CUACA di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya bermula akhir bulan Mei hingga September, dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac.
Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutama ke negeri di Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak, sementara Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca lebih kering.
Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.
Perubahan iklim terutama suhu mempengaruhi sistem cuaca monsun yang mengawal taburan hujan.
Ini bermakna, perubahan iklim menyebabkan taburan hujan semakin sukar diramalkan.
Mungkin datang dalam jumlah besar hingga menyebabkan banjir di satu-satu kawasan, dan tiada hujan dalam tempoh lebih lama di tempat lain sehingga menyebabkan kemarau.
Keadaan cuaca lebih ekstrem dikaitkan dengan perubahan iklim, suhu lebih tinggi menjurus kepada peningkatan kelajuan angin.
Simulasi bagi tekanan pusat pada tahap maksimum ribut untuk masa akan datang menunjukkan Malaysia mungkin berdepan siklon tropika lebih hebat dalam masa terdekat, malah gelombang haba yang mempunyai tempoh ulangan 10 tahun menjadi lebih kerap berlaku, iaitu pada kadar tiga tahun sekali.
Apabila lebih banyak penyejatan wap ke atmosfera, ia menjadi haba untuk ribut lebih kencang berlaku.
Lebih banyak haba di atmosfera dan suhu permukaan laut yang tinggi menjurus kepada peningkatan kelajuan angin dalam ribut tropika.
Natijahnya, keragaman cuaca akibat perubahan iklim antara punca krisis bencana alam di Malaysia seperti peningkatan kekerapan bencana banjir dan ribut kuat.
Lantaran itu, Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG2030) menyatakan ‘Tindakan Iklim’ adalah matlamat pembangunan lestari ke-13 yang menyarankan tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya.
Bagi mengatasi masalah tersebut, usaha menangani perubahan iklim perlu dilakukan secara lebih agresif.
IPCC mencadangkan, antaranya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 daripada tahap yang direkodkan pada 2010.
Ternyata, impak negatif perubahan iklim tidak dapat dielakkan lagi sehingga beberapa dekad akan datang.
Tindakan mitigasi diambil hanyalah bertujuan untuk mengurangkan impak fenomena tersebut.
Bagaimanapun, sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan, sistem semula jadi bumi tidak akan mampu menyesuaikan kesan perubahan iklim, menyebabkan sebarang tindakan adaptasi yang diambil akan melibatkan kos sosial dan ekonomi amat tinggi.
Program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) membabitkan semua peringkat masyarakat perlu diperkukuh untuk meningkatkan kesedaran, adaptasi dan mitigasi bencana serta pemuliharaan sumber asli dalam menebat bencana.
Pengetahuan dan kesedaran lebih baik kalangan komuniti akan membawa kepada perubahan pemikiran, tingkah laku dan tabiat.
Tambahan pula, faktor pengetahuan dan kesedaran terhadap sesuatu aspek bencana menjadi asas dalam membentuk tindakan adaptasi komuniti terhadap sesuatu bencana.
Hal ini disebabkan pengetahuan dan kesedaran akan membentuk sikap serta membawa kepada tindakan untuk beradaptasi ketika berhadapan dengan bencana.
Kerajaan pula disarankan bertindak sebagai pemudah cara memperkasa komuniti berhadapan dengan risiko bencana.
Aktiviti mengurangkan risiko kalangan komuniti berhadapan bencana perlu diutamakan yang mana, pihak berkuasa tempatan (PBT) misalnya boleh merangka program capacity building memberi penekanan serta meningkatkan latihan dan pengetahuan berhubung pelan pembangunan dan pelan pengurusan risiko bencana kepada masyarakat setempat.
Individu dan komuniti menjadi asas dalam menjaga harta benda serta keselamatan masing-masing ketika bencana melanda.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca