PADA Jumaat lalu, seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun terbunuh dan sekurang-kurangnya enam lagi cedera apabila peluru mortar yang dilepaskan dari Myanmar mendarat di sempadan Bangladesh sekali gus meningkatkan lagi... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Jumaat lalu, seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun terbunuh dan sekurang-kurangnya enam lagi cedera apabila peluru mortar yang dilepaskan dari Myanmar mendarat di sempadan Bangladesh sekali gus meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara kedua-dua negara.

Ketika kejadian, kira-kira 4,000 pelarian etnik itu tinggal di dalam kawasan Bangladesh dan mereka kini tinggal dalam ketakutan ketika tentera Myanmar menggempur anggota-anggota kumpulan pemisah dikenali sebagai Tentera Arakan di negeri Rakhine sejak akhir-akhir ini.

Negeri Rakhine pula mempunyai sempadan dengan Bangladesh dan negara itu telah menjadi tempat perlindungan kepada kira-kira lebih sejuta Rohingya yang beragama Islam yang melarikan diri daripada apa yang dianggap mereka sebagai kekejaman tentera Myanmar.

Tembakan mortar ke arah Bangladesh itu sudah berlaku beberapa kali dan Dhaka juga telah membuat protes tentang kejadian tersebut tetapi insiden sehingga menyebabkan sehingga seorang etnik Muslim tersebut terbunuh adalah kali pertama berlaku di negara tersebut.

Apa yang dibimbangi kini ialah proses penghantaran pulang Rohingya yang dijangka bermula pada akhir tahun ini akan terjejas selepas berlaku pertempuran antara tentera Myanmar dan tentera Arakan tersebut sekali gus mewujudkan situasi yang tidak selamat untuk etnik itu kembali ke Myanmar.

TAKUT

Pertempuran yang berlaku antara Tentera Arakan dengan Tentera Myanmar sejak Jun lalu itu telah menyebabkan penduduk tempatan di kawasan perbandaran Maungdaw, Rathedaung, Buthidaung dan Mrauk-U di Rakhine serta Paletwa di Negeri Chin, takut akan terbunuh dalam kejadian itu.

Menurut akhbar Daily Star, terdapat sejumlah etnik Rohingya yang mendarat di daerah sempadan Lawngtlai di Mizoram, India dan ada yang menyeberangi Sungai Naf dan menyelinap masuk ke Bangladesh dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Seorang etnik itu, Abu Wada, 40, bersama 11 yang lain dari Buthidaung telah mendapat perlindungan di kem-1 Madurchora, Cox's Bazar, Bangladesh sejak 10 September lalu selepas berasa amat tidak selamat dalam pertempuran sengit antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan, lapor akhbar berkenaan.

Tiga lagi keluarga Rohingya telah memasuki Bangladesh dalam tempoh beberapa minggu lepas dari Buthidaung dan telah berteduh di rumah saudara mereka di kem pelarian tersebut di Cox's Bazar dan ada dalam kalangan etnik tersebut mendakwa terpaksa meninggalkan rumah berikutan permintaan daripada askar Myanmar.

Seorang pegawai pemerintah Batalion Polis Bersenjata (APBn-8) di Cox's Bazar, Amir Jafor dilaporkan berkata bahawa pihaknya mendapat maklumat bahawa satu keluarga berjaya memasuki Bangladesh tetapi keluarga tersebut gagal mengesan kehadirannya.

Menurut M Gafur Uddin Chowdhury iaitu Pengerusi Kesatuan Palongkhali Ukhiya baru-baru ini, beberapa keluarga Rohingya telah berkumpul di kawasan Sahabbazar di Rakhine yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Bangladesh.

Ketika Chowdhury membuat kenyataan itu, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada etnik tersebut sudah menyeberangi sempadan Myanmar dan memasuki Bangladesh.

PENCABULAN

Pada awal bulan ini, Dhaka menyatakan kebimbangan mendalamnya berikutan peluru-peluru mortar yang jatuh di dalam wilayah Bangladesh setelah ditembak dari ruang udara Myanmar di kawasan sempadan dan ia juga merupakan pencabulan dari tentera negara tersebut.

Ribuan pelarian Rohingya kini tinggal di sempadan Bangladesh dengan Mynmar. Foto AFP

Sehubungan itu, Kementerian Luar Bangladesh telah memanggil utusan Myanmar di Dhaka sebanyak tiga kali dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini untuk menyampaikan kebimbangan besar negara itu terhadap peluru-peluru mortar tersebut.

Menurut Daily Star, sumber kem Rohingya menyatakan bahawa ramai keluarga menunggu di sepanjang kawasan sempadan bertentangan dengan Shah Porir Dweep di Teknaf untuk menyeberang masuk ke Bangladesh.

Etnik Rohingya itu juga boleh menggunakan laluan biasa terutamanya melalui mata Chowdhury Para, Leda Bazar, Lombabil, Jadimura dan Borotoli untuk memasuki Bangladesh.

Bagaimanapun, sehingga kini Myanmar belum membuat permohonan maaf berikutan insiden peluru motar tersebut dan tembakan itu telah menyebabkan timbulnya dua spekulasi kenapakah kejadian tersebut boleh berlaku.

Menurut TGP Geopolitics iaitu portal hubungan antarabangsa, spekulasi pertama yang timbul itu adalah ia mahu mencipta senario menakutkan di sempadan Bangladesh dan kemungkinan perang saudara akan berlaku di Myanmar sekali gus akan menangguhkan penghantaran pulang Rohingya dari Bangladesh.

Keduanya ialah Myanmar secara tidak langsung mahu 'menjemput' Bangladesh berperang dan mahu mengalihkan perhatian dunia daripada kekejaman tenteranya yang merampas kuasa daripada pemerintahan awam pada Februari tahun lalu.

Namun, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina baru-baru ini menyatakan bahawa negaranya tidak mahu berperang dengan jiran-jirannya dan sebaliknya mahukan keamanan selain menyebut walaupun pelarian Rohingya satu bebanan kepada negaranya, mereka juga ialah manusia menyebabkan etnik tersebut tidak boleh diusir keluar oleh Dhaka.

Sehubungan itu, ketika ini ramai keluarga Rohingya sedang berusaha untuk memasuki Bangladesh berikutan situasi di negara Myanmar disebabkan tindakan tenteranya menggempur Tentera Arakan di Rakhine yang mahu menuntut diberikan autonomi pemerintahan sendiri di negeri itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca