ISU berkaitan keselamatan sering dikaitkan dengan topik pertahanan serta kedaulatan negara daripada diancam oleh kuasa luar yang terpaksa dihadapi dengan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun begitu, terdapat ancaman sebenar... Klik di sini untuk terus membaca

ISU berkaitan keselamatan sering dikaitkan dengan topik pertahanan serta kedaulatan negara daripada diancam oleh kuasa luar yang terpaksa dihadapi dengan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Namun begitu, terdapat ancaman sebenar terhadap keselamatan rakyat negara ini yang berlaku saban tahun dengan kepastian tinggi. Ia bakal mengakibatkan kemusnahan harta benda, infrastruktur serta kehilangan nyawa yang bukan sedikit.

Ancaman ini akan datang saban tahun ‘melanggar’ sempadan negara tanpa mengira secanggih mana pun sistem radar, pesawat tempur atau kereta kebal yang wujud milik ATM.

Ia dengan mudah ‘mengalahkan’ aset-aset tersebut menyebabkan rakyat terpaksa menjadi pelarian meninggalkan tempat tinggal secara tergesa-gesa.

Pada Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menyatakan bahawa anggaran kerugian akibat dilanggar musuh ini pada tahun 2021 ialah sekitar RM5.3 hingga RM6.5 bilion.

Daripada 160 daerah yang wujud dalam negara, 50 daerah atau sepertiga berjaya diserang musuh.

Menerusi kajian sebuah agensi kerajaan pada tahun 2012, kawasan yang berisiko diserang musuh sama ialah sebanyak 10.1 peratus iaitu 33,298 kilometer persegi (km2) daripada 330,436km2 keluasan keseluruhan Malaysia, melibatkan seramai 5.7 juta penduduk.

Anggaran kerugian akibat kemusnahan pula ialah RM1.15 bilion setahun sekiranya serangan dahsyat tidak berlaku.

Musuh yang saban tahun melakukan serangan ini datangnya dari pada alam sendiri, iaitu bahana banjir.

Baru-baru ini, media elektronik dan cetak agak gempar dengan kenyataan seorang presiden sebuah parti politik negara yang memaklumkan bahawa beliau dan jentera parti sanggup merendah banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Seorang pensyarah sebuah universiti tempatan di utara negara menyokong saranan tersebut serta beranggapan PRU15 perlu diadakan walaupun negara dijangka berdepan bencana alam.

Beliau menegaskan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia lebih awal memikirkan cara terbaik dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khas jika PRU 15 diadakan ketika banjir.

Kenyataan dan sokongan mahu mengadakan PRU15 apabila mengetahui ‘musuh’ bakal melanda negara adalah sesuatu yang amat menjengkelkan.

Apa yang berlaku ketika banjir kilat yang melanda pada penghujung tahun 2020 sepatutnya cukup memberi pengajaran kepada semua, bahawa jika musuh banjir melanda, tiada gencatan senjata atau rundingan damai yang mampu menghentikannya.

Banjir ketika itu menyebabkan lebih 40,000 orang penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan turut meragut korban nyawa, menyebabkan hampir semua jenis pengangkutan darat di kawasan terlibat banjir, terputus.

Dalam keadaan banjir, semestinya ATM, polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan awam dikerah untuk melaksanakan pelbagai operasi, dari memindahkan mangsa ke tempat selamat, menghantar keperluan makanan, melakukan operasi mencari dan menyelamat dan pelbagai lagi.

Adalah tidak masuk akal jika mahu mengikut kata orang politik atau ‘bijak pandai’ untuk terus mengadakan pilihan raya ketika banjir dan mendesak agar SPR mengeluarkan SOP baharu.

Apa bakal berlaku jika pusat pengundian ditenggelami air, jalan ke pusat pengundian ditutup, kotak berisi undi dihanyutkan air? Bagaimana pula nyawa anggota SPR yang ‘dipaksa’ meredah banjir ke kawasan pendalaman?

Bagi pihak ATM dan bomba, mereka mungkin perlu menyelamatkan konco-konco ahli politik tegar yang memasuki kawasan banjir untuk berkempen dan kemudian mendapati mereka dikepung air.

Ini menambahkan pembaziran penggunaan aset logistik yang tentunya pada ketika itu mencapai tahap kritikal.

Kita perlu memahami Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 (DKN 2021-2025) yang merupakan panduan dan rujukan utama kementerian-kementerian dan agensi di setiap peringkat pentadbiran kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah di dalam tadbir urus keselamatan negara secara menyeluruh.

DKN 2021-2025 dalam Perkara 12 berjudul Landskap Keselamatan: Isu, Cabaran & Ancaman Keselamatan Negara ada menyentuh mengenai budaya politik tidak sihat dengan ketaasuban dan tingkah laku fanatik ahli, penyokong dan peminat politik kepartian yang boleh menyebabkan berlaku kegelisahan dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Budaya politik berlebih-lebihan inilah kadangkala menyebabkan kita gagal menilai manakah yang lebih penting apabila banjir besar melanda, menyelamatkan diri dan keluarga atau menyelamatkan nyawa ahli politik dan parti mereka?

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca