MERIAH dan luar biasa. Itu antara frasa menggambarkan kejayaan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos lalu. Tekad dan bersatu hati memanifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh... Klik di sini untuk terus membaca

MERIAH dan luar biasa. Itu antara frasa menggambarkan kejayaan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos lalu.

Tekad dan bersatu hati memanifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ terlihat jelas dalam keterujaan ribuan pengunjung membanjiri lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal 4.30 pagi lagi.

Ia juga membuktikan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan kekal utuh dalam jiwa Keluarga Malaysia.

Namun begitu, persoalannya, adakah semangat ini sudah memadai?

Memetik kenyataan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, pihaknya mengalami kerugian sehingga RM700,000 selepas pokok-pokok yang ditanam sebagai landskap di sekitar Ibu negara rosak dipijak para pengunjung ketika sambutan

Hari Kebangsaan tersebut. Kenapa kita sebagai rakyat Malaysia masih kurang cakna tentang pengamalan integriti dalam kehidupan seharian kita.

Integriti menggambarkan amalan berpegang teguh kepada prinsip kebaikan dan nilai kejujuran. Amalan ini perlu diterjemahkan dalam semua aspek kehidupan merentasi segenap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, peranan Institut Integriti Malaysia (IIM) amat penting untuk terus berusaha menerapkan penghayatan nilai integriti di semua kumpulan sasar, bukan sahaja di sektor awam, sektor swasta dan komuniti, malah turut memfokuskan kepada generasi muda.

Pelbagai program dan inisiatif baharu juga telah dibangunkan IIM bagi menyemarakkan pembudayaan integriti di semua peringkat dalam kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, IIM telah memperkenalkan inisiatif Program Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) di empat residensi terpilih di Sarawak.

Ia sebagai usaha menyebar luas kepentingan membina sebuah komuniti yang berintegriti melibatkan komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menerusi program ini, jawatankuasa penduduk yang terlibat akan menjadi ‘pemantau’ mengguna pakai sistem yang dibangunkan oleh IIM bagi kerja-kerja pengurusan setempat seperti pengutipan sampah atau pembersihan perparitan.

Ia secara langsung membantu memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kerjasama antara PBT dan komuniti melalui amalan berintegriti.

Amatlah diharapkan program CIB ini seterusnya dapat diperluaskan keseluruh Sarawak serta lain-lain negeri mulai tahun hadapan.

IIM percaya bahawa pengamalan dan pembudayaan nilai integriti akan dapat dipertingkatkan dengan keterlibatan erat organisasi awam dan swasta sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’.

Selari dengan itu, IIM telah melaksanakan siri bengkel seperti konsultasi pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) kepada organisasi awam dan swasta.

Selain itu, IIM bersama-sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membangunkan Program Sijil Profesional Kepimpinan Integriti (SPKI) yang akan ditawarkan mulai awal tahun hadapan.

Program ini bertujuan untuk menjadi peneraju amalan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah dalam organisasi swasta dan awam khususnya kepada generasi muda yang bakal mengemudi pentadbiran negara.

Namun kesemua usaha ini memerlukan gandingan erat Keluarga Malaysia dan komitmen padu semua lapisan masyarakat demi memanifestasikan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Tidak terlambat untuk kita menzahirkan rasa cinta kepada negara pada sambutan Hari Malaysia, 16 September lalu terutama sekali sekiranya kita rakyat Malaysia menghayati nilai integriti dalam kehidupan seharian umpama ‘melakukan sesuatu yang baik, walaupun tiada orang melihatnya’.

* Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca