UMNO dan BN lebih beruntung memuktamadkan keputusan menolak kerjasama Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding meneruskannya bersama Pas, sekiranya agenda itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

UMNO dan BN lebih beruntung memuktamadkan keputusan menolak kerjasama Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding meneruskannya bersama Pas, sekiranya agenda itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 30 September ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, jika melihat kepada data, UMNO perlu menolak MN kerana impak pertembungan tiga penjuru atau lebih yang mungkin berlaku pada PRU15 di antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), sama sekali tidak sama dengan dinamik pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

Jelas beliau, senario berbeza berlaku pada PRU14 apabila pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, Pas dan PH sama sekali merugikan UMNO-BN, namun memberi manfaat besar kepada Pas susulan mereka berjaya memenangi 18 kerusi Parlimen - jumlah terbanyak dalam sejarah parti itu.

"Senario pertembungan tiga penjuru pada PRU14 berlaku pada asalnya bertujuan untuk Pas memecahkan undi penyokong rasional dan atas pagar kaum Melayu yang diperoleh PH, secara tidak langsung memberi laluan kepada BN menang selesa di kerusi-kerusi marginal dan deposit tetap mereka.

"Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila Pas menerima manfaat daripada undi protes sebahagian penyokong UMNO yang kecewa dengan kerajaan BN pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun pada masa mereka sama enggan memberikan undi kepada PH.

"Atas faktor itu, Pas mencipta kejutan dengan memenangi sebahagian besar daripada 18 kerusi Parlimen di negeri-negeri di mana mereka mempunyai pengaruh kuat, seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah spekulasi mesyuarat MKT UMNO yang bakal diadakan pada hujung bulan September ini, bakal menjadi medan parti itu memuktamadkan status hubungan kerjasama MN dengan Pas, sama ada bakal ditamatkan atau sebaliknya.

Selain agenda kerjasama MN, perbincangan mengenai penetapan tarikh bersesuaian untuk diadakan PRU15 juga dijangka menjadi fokus utama mesyuarat badan tertinggi UMNO itu, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan perkara itu akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin Top 5 UMNO.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama).

Lebih menarik, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki pernah mencadangkan UMNO dan Pas memeterai sekurang-kurangnya satu persefahaman MN secara tidak rasmi.

Bagi Mohd Zuhdi, hal ini penting bagi mengelakkan sejumlah 27 kerusi MN, yang dikenal pasti pihaknya, akan hilang ke tangan PH pada PRU15.

Ahmad Zahid dan Abdul Hadi berpelukan selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

PENYOKONG TEGAR

Mengulas lanjut, Hisommudin menjelaskan senario pertembungan tiga penjuru pada PRU15 dijangka memberi manfaat besar kepada UMNO disebabkan sokongan penyokong tegar parti itu sudah pulih dan 100 peratus kembali kepada mereka.

Situasi ini dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini apabila UMNO-BN menang selesa dan berjaya meraih jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi dua pertiga.

Berikutan itu, Hisommudin menjangkakan UMNO-BN bukan sahaja akan kembali dominan di negeri-negeri dikuasai mereka, bahkan mampu merampas kembali sebahagian besar daripada 18 kerusi Parlimen dimiliki Pas sekiranya situasi pertembungan tiga penjuru atau lebih menjadi realiti.

"Satu lagi alasan mengapa UMNO perlu memuktamadkan keputusan menolak kerjasama MN pada PRU15 dalam mesyuarat MKT kali ini adalah parti itu berisiko melepaskan sejumlah besar kerusi mampu menang kepada Pas, termasuk di kawasan Pantai Barat semenanjung kelak sekiranya kerjasama itu diteruskan.

"Ini amat merugikan UMNO-BN, sedangkan saya yakin pasukan penyelidik mereka pastinya sudah mempunyai data mengunjurkan parti berkenaan berada di kedudukan terbaik untuk mendominasi kerusi-kerusi segmen lebih ramai pengundi Melayu.

"Satu lagi keperluan MKT UMNO perlu memuktamadkan segera keputusan kerjasama MN adalah disebabkan parti itu sukar untuk menonjolkan tokoh pemimpin yang boleh dijadikan calon Menteri Besar berwibawa di negeri-negeri dikuasai Pas.

"Jika UMNO Pusat masih flip-flop dalam menentukan status kerjasama MN, kepimpinan UMNO di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah akan menjadi berbelah bahagi dalam menonjolkan pengaruh parti, sekali gus memberi gambaran bahawa parti itu tidak mampu alternatif terbaik menggantikan kerajaan PN selepas PRU15," tegas Hisommudin lagi.

KEPUTUSAN TERAKHIR

Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias senada dengan pandangan Hisommudin apabila beliau mengharapkan mesyuarat MKT UMNO pada 30 September ini bakal menjadi medan parti membuat keputusan akhir mengenai status kerjasama MN.

Hal ini kerana Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu berpandangan keputusan akhir MKT UMNO itu bakal membantu jentera parti di peringkat akar umbi untuk melaksanakan persiapan akhir bagi menghadapi PRU15 yang semakin hampir.

"Saya sudah sebut sebelum ini, sama ada kemungkinan kerjasama MN akan diteruskan dalam bentuk gabungan rasmi, tidak rasmi atau dibatalkan, segalanya perlu ditentukan MKT dan pucuk kepimpinan parti menerusi mesyuarat hujung bulan ini.

"Satu keputusan akhir mesti diputuskan segera bagi memudahkan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi membuat persiapan jentera pilihan raya pada fasa akhir.

"Sama ada mahu putus atau teruskan MN, kita lebih baik ambil sikap tunggu dan lihat. Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu, perwakilan parti sudah beri mandat kepada MKT untuk membuat keputusan terbaik. Jadi usah kita buat spekulasi tanpa mengambil kira pandangan majoriti ahli MKT," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca