SHAH ALAM - Kerajaan perlu pertimbangkan kadar antara tiga hingga empat peratus jika bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam pembentangan Bajet 2023 di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu pertimbangkan kadar antara tiga hingga empat peratus jika bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, 7 Oktober depan.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, pengenalan semula GST pada kadar berkenaan juga dijangka tidak memberi kesan besar kepada rakyat.

Beliau berkata, sistem GST adalah lebih adil dalam kutipan cukai, terutamanya ke atas industri tidak formal dan boleh menjadi pendekatan terbaik untuk mengesan pihak yang cuba lari daripada pelaporan serta bayaran cukai berbanding SST.

Bagaimanapun Mohd Fairuz berkata, biarpun sistem percukaian GST dikatakan jauh lebih baik, kerajaan sekarang dijangka tidak akan mengambil langkah drastik dengan menghidupkan semula sistem percukaian yang menjadi punca kemarahan rakyat yang membawa kepada kejatuhan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apatah lagi PRU15 semakin hampir.

"Proses pengenalan semula GST juga mungkin akan mengambil masa yang panjang kerana Akta GST yang lama telah dimansuhkan, bukan digantung pelaksanaannya.

"Tambahan pula, kebiasaannya proses penggubalan hingga pembentangan dan kelulusan sesuatu akta di Parlimen, sebelum diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong juga mengambil masa masa agak lama," katanya kepada Sinar Premium.

GST merupakan cukai penggunaan dan dikenakan terhadap hampir kesemua transaksi dalam proses pengeluaran - terpakai ke atas kira-kira 60 peratus barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna berbanding hanya 38 peratus di bawah SST.

Bagaimanapun, GST dimansuhkan oleh kerajaan pada Jun 2018 dan digantikan SST bagi memenuhi janji manifesto PH serta masih berkuat kuasa sehingga kini biarpun PH tumbang pada Mac 2020.

GST yang diperkenalkan pada 2015 berjaya menjana RM44 bilion pada 2017. SST pula hanya mampu menjana hasil cukai sekitar RM26.7 bilion pada 2020 dan RM27.9 bilion pada 2021.

Mohd Fairuz menambah, dengan pengenalan semula GST ini, negara dijangkakan menjana hasil sekitar RM25 bilion pada tahun pertama dan akan meningkat dari tahun ke tahun.

Tambahnya, pelaksanaan semula GST itu juga menjadikan negara melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan berkesan.

"Dalam pelaksanaan GST sebelum ini, cukai korporat dan cukai individu beberapa kali dapat diturunkan ke paras lebih kompetitif dan progresif," katanya.

Jadi tidak hairanlah jika Mohd Fairuz merumuskan bahawa pelaksanaan sistem GST dikatakan lebih berkesan dan menyeluruh kerana setiap peringkat akan di pantau oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

BAYARAN BALIK

Beliau berkata, ini kerana semua syarikat perlu mendaftarkan entiti perniagaan mereka bagi tujuan menuntut bayaran balik cukai GST yang dikenakan kerajaan.

"Cukai GST tidak dikenakan ke atas kos, tetapi nilai tambah kepada barangan tersebut. Cukai GST tidak akan dimasukkan ke dalam harga atau kos keseluruhan berbanding cukai SST.

"Barangan keperluan asas seperti makanan, ubatan, pendidikan dan lain-lain pula tidak akan dikenakan cukai atau sifar GST sekali gus meringankan beban golongan B40 dan M40," katanya.

Tidak keterlaluan ujarnya, dengan peratusan cukai GST yang rendah juga boleh menurunkan harga barangan.

"Sistem GST lebih telus sebab setiap pihak dalam rantaian bekalan nak tuntut balik cukai yang dibayar.

"Dengan SST, mana-mana pihak (yang bukan pengilang) boleh naikkan harga sesuka hati, malah pengilang boleh berpakat dengan syarikat-syarikat lain untuk mengelak membayar cukai," katanya.

Cuma Mohd Fairuz berkata, pelaksanaan GST sebelum ini mempunyai kelemahan tersendiri termasuklah ramai peniaga atau syarikat terpaksa menunggu tempoh lama untuk mendapatkan semula tuntutan bayaran balik cukai terbabit.

"Peniaga kena tunggu berbulan-bulan untuk tuntutan GST dan tiada pemantauan terhadap peniaga yang sesuka hati menaikkan harga dengan alasan GST," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fairuz berkata, SST pula adalah sistem percukaian lama dan mempunyai banyak kelemahan antaranya mewujudkan kesan cukai berganda sekali gus menyebabkan peningkatan harga barang dan senang dimanipulasi peniaga untuk mengelak daripada membayar cukai kepada kerajaan.

"Cukai SST ini selalunya dimasukkan ke dalam kos barangan atau harga barangan tersebut telah ditingkatkan bersama dengan cukai SST tersebut.

"Kos ini bertambah dan meningkat mengikut peringkat pembuatan sebelum sampai kepada pengguna dan kita telah membayar cukai keseluruhan 10 peratus atau 6 peratus untuk harga barangan tersebut.

"Lebih banyak peringkat pemprosesan, lebih banyaklah cukai yang akan dimasukkan ke dalam harga barangan," jelasnya.


KADAR GST DI LUAR NEGARA

Thailand - 7 peratus

Singapura - 7 peratus

Filipina - 12 peratus

Vietnam - 10 peratus

Kemboja - 10 peratus

Laos - 10 peratus

Indonesia - 11 peratus

India - 12.5 peratus

China - 17 peratus

MALAYSIA - 6 peratus (sebelum dimansuhkan pada 1 Jun 2018)


Klik di sini untuk terus membaca