SHAH ALAM - Sebanyak 73.7 peratus atau 1,088 responden Sinar Harian memilih kadar tiga peratus sebagai permulaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya kerajaan bercadang mengembalikan sistem percukaian itu menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, pada 7 Oktober depan.
Bagi kadar cukai empat peratus, 233 responden atau 15.7 peratus memilih kadar berkenaan manakala selebihnya iaitu 154 individu atau 10.4 peratus memilih cukai enam peratus iaitu sama seperti sebelum cukai berkenaan dihapuskan.
Kaji selidik pada Isnin yang melibatkan jumlah 1,475 responden ini digerakkan di tiga platform media sosial Sinar Harian iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.
Seorang responden di Instagram Sinar Harian, Nizam660916 berkata, tidak kisah sama ada kerajaan bercadang mengenakan kadar tiga peratus atau empat peratus tetapi kerajaan perlu memastikan pungutan cukai dikembalikan kepada rakyat.
Muhammad.safwan pula berkata, kerajaan perlu mengembalikan cukai GST sebanyak enam peratus kerana mendatangkan lebih kebaikan sama seperti yang dilaksanakan oleh Singapura.
"Saya cadang buat kembali enam peratus. Singapura guna GST. Nilai duit mereka lagi mahal daripada Malaysia,” tulisnya.
Suhaimi01 pula berkongsi, kerajaan perlu memperkenalkan kadar GST yang rendah pada peringkat awal supaya tidak mendatangkan beban kepada pengguna.
"Imbangkan dengan jumlah cukai-cukai lain untuk tempoh satu hingga dua tahun pelaksanaan semula GST. Selepas itu baharu naikkan.
"Contoh purata cukai pendapatan dikurangkan dan jumlah yang sama diterapkan untuk permulaan GST. Supaya kesannya tidak terasa dan yang lebih penting adil untuk permulaan. Selepas itu boleh dinaikkan sikit demi sedikit mengikut pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Pun begitu ada juga responden yang tidak bersetuju sekiranya kerajaan memperkenalkan semula GST.
"Potong gaji menteri dan kenakan cukai pada orang yang kaya raya sahaja,” tulis Wantapah.
Untuk rekod GST merupakan cukai penggunaan dan dikenakan terhadap hampir kesemua transaksi dalam proses pengeluaran - terpakai ke atas kira-kira 60 peratus barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna berbanding hanya 38 peratus bawah SST.
Bagaimanapun, GST dimansuhkan oleh kerajaan pada Mei 2008 dan digantikan SST bagi memenuhi janji manifesto PH serta masih berkuat kuasa sehingga kini biarpun PH tumbang pada Mac 2020.
Biarpun cukai GST yang diperkenalkan pada 2015 kurang popular dalam kalangan pengguna dan rakyat namun, ia berjaya menjana RM44 bilion pada 2017.
Manakala, SST pula hanya mampu menjana hasil cukai sekitar RM26.7 bilion pada 2020 dan RM27.9 bilion pada 2021.
KERAJAAN DIMINTA AMBIL KIRA DUA FAKTOR
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan di Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Universiti Taylor's Malaysia, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah berkata, beberapa faktor perlu diambil kira jika kerajaan merasakan sudah tiba masanya GST dikembalikan menggantikan SST.
Pertama katanya, kesediaan peniaga dari segi perisian komputer, kepakaran serta aliran tunai yang mencukupi sedangkan mereka masih mengalami masalah kecairan dana akibat pandemik Covid-19, krisis kekurangan tenaga dan tekanan kenaikan kadar faedah pinjaman dengan institusi kewangan.
"Justeru, sekiranya kecekapan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak meningkat, maka banyak peniaga akan mengalami masalah aliran tunai," katanya kepada Sinar Premium.
Faktor kedua kata Yun Fah adalah persepsi orang ramai terhadap GST juga amat negatif kerana menyebabkan kenaikan mendadak harga barang ketika ia diperkenalkan kerajaan BN pada 2015.
Yun Fah berkata, biarpun tidak boleh dinafikan bahawa GST merupakan sistem percukaian yang lebih efektif dan adil, namun memperkenalkannya semula pada masa ini bukanlah satu langkah yang bijak berdasarkan dua faktor berkenaan.
Pun begitu katanya, jika kerajaan mahu memperkenalkan semula GST menerusi Belanjawan 2023, kadar paling tepat untuk dikenakan kepada rakyat di negara ini sekarang adalah kira-kira empat peratus sahaja.
"Persoalan seperti bagaimana GST dapat mengurangkan beban sara hidup, bagaimana memastikan harga barang tidak naik akibat GST dan sebagainya harus dijelaskan.
"Orang ramai tidak pedulikan berapa cukai tambahan boleh dikutip oleh kerajaan. Namun saya berpandangan kadar GST yang sihat adalah dalam lingkungan empat hingga tujuh peratus namun paling ideal buat masa ini ialah empat peratus," katanya.
Yun Fah menambah, biarpun kerajaan mungkin menyediakan bantuan tunai secara terus, namun ia bukanlah langkah paling berkesan bagi membantu rakyat terkesan akibat pengenalan semula GST.
"Saya rasa bantuan tunai bukanlah cara yang baik, malah tidak berkesan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) yang menerima tempias paling teruk jika kerajaan memperkenalkan semula GST.
"Namun apa yang penting kerajaan harus memperkenalkan bantuan subsidi bersasar dan bertingkat kepada B40 dan M40 bagi membantu meringankan beban kewangan mereka dengan mekanismenya perlu dihalusi," katanya.