SHAH ALAM - Sinar Harian melalui Instagram rasminya telah menjalankan undian kepada pelayar-pelayar, adakah mereka bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini yang sinonim dengan musim tengkujuh?
Undian itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin berhubung cadangan supaya agensi media mendapatkan pandangan sama ada rakyat bersedia jika PRU15 diadakan dalam tempoh tersebut.
Melalui undian yang dibuat setakat jam 1 petang Selasa, sebanyak 74 peratus orang ramai tidak bersetuju dengan usul tersebut.
Sebanyak 20 peratus undian bersetuju dan tidak ada masalah dengan pelaksanaannya, manakala selebihnya pula mengundi tidak pasti.
Berdasarkan tinjauan komen di media sosial Sinar Harian, pemilik akaun, @is_lin1997 berpandangan PRU15 lebih sesuai diadakan pada pertengahan tahun hadapan ekoran majoriti rakyat Malaysia ketika ini masih lagi bergelut dengan kesukaran hidup akibat penularan pandemik Covid-19.
Dia dalam masa sama turut mempersoalkan kewajaran untuk PRU15 dijalankan sewaktu musim tengkujuh.
"Musim tengkujuh ini jangan kalut sangat nak buat PRU15. Rakyat masih terkesan dengan kewangan, pertengahan 2023 okey sikit kalau nak buat pun,” katanya menerusi ruangan komen.
Perkara itu disokong oleh pemilik akaun @helmigo yang mahukan kes-kes pemimpin yang terlibat dengan pertuduhan mahkamah diselesaikan terlebih dahulu sebelum pilihan raya diadakan.
"Selesaikan kes-kes di mahkamah dulu. Kami tidak mahu berketuakan ahli-ahli politik yang korup (dan) tidak amanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, ada juga yang beranggapan PRU15 perlu diadakan segera pada tahun ini bertujuan untuk menjamin kestabilan negara bagi mengembalikan kepercayaan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
"Setuju sebab sekarang ringgit jatuh, pelabur tidak yakin dengan kerajaan Malaysia. Kita perlukan kerajaan yang stabil. Ringgit jatuh habis dah sekarang,” kata pengguna media sosial dengan nama @asri_asik.
Klik di sini untuk terus membaca