INDONESIA mendapat perhatian media Israel pada Selasa apabila timbulnya berita di negara berkenaan bahawa Jakarta telah menghantar satu delegasi ke negara haram tersebut dalam satu lawatan yang dilakukan secara rahsia.
Bukan sahaja negara yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia itu didakwa menghantar delegasi tersebut tetapi juga terdapat dakwaan bahawa perwakilan Pakistan turut dikaitkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Israel, Isaac Herzog.
Delegasi Pakistan itu didakwa diketuai mantan menteri negara dalam kerajaan bekas Perdana Menteri, Pervez Musharraf iaitu Nasom Ashraf dan ia diadakan selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Imran Khan yang sebelum ini menjadi Perdana Menteri.
Pada bulan Jun lalu, seorang wartawan sebuah stesen televisyen Pakistan, Ahmed Quraishi dipecat kerana melawat Israel sebulan sebelumnya ketika Islamabad tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu berikutan konflik yang berlaku di Palestin.
Berikutan tersebarnya laporan lawatan ke Israel, terdapat netizen di Pakistan mendakwa kerajaan yang diketuai Pakistan Muslim League (PML-N) yang telah bertindak menghantar delegasi itu kerana ia berhasrat mahu menormalkan hubungan dengan Israel.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa delegasi Pakistan yang melawat Israel itu terdiri daripada warganegara Amerika Syarikat (AS) yang berasal dari negara Asia Selatan tersebut dan ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan Pakistan.
Namun begitu, laporan delegasi kedua yang melawat negara haram yang ditadbir rejim Zionis tersebut mendapat kritikan apabila pemimpin parti politik Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Shireen Mazari telah menuntut Kementerian Luar Negara memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Ini bukan dakwaan yang pertama kali dibuat ke atas Pakistan kerana pada Mei lalu, seorang jurucakap Pejabat Luar negara berkenaan telah menolak berita yang menyatakan terdapat lawatan daripada delegasi Pakistan ke Israel.
Menurut jurucakap itu lagi, tidak ada sebarang perubahan dalam dasar-dasar luar Pakistan yang sebelum ini tidak mengiktiraf Israel.
KONTROVERSI
Kontroversi tersebut bermula apabila beberapa parti politik Pakistan mula menyalah tafsirkan kenyataan Presiden Israel mengenai pertemuan dengan warga Pakistan tetapi sebenarnya beliau menyatakan telah bertemu dengan ekspatriat Pakistan yang tinggal di AS.
Kesemua dakwaan itu berlaku selepas Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Maghribi dan Sudan bersetuju untuk menjalikan hubungan dengan Israel ketika AS berada di bawah pemerintahan Presiden ke-45, Donald Trump.
Sebelum ini iaitu pada bulan Julai lalu, satu delegasi dari Israel dan pihak penganjur lawatan tersebut, Pusat Israel-Asia, dilaporkan berkata, kunjungan tersebut bertujuan untuk meneroka potensi hubungan dua hala melalui pelaburan, usaha niaga permulaan dan inisiatif impak sosial.
Justeru, kedua-dua negara tidak mengekalkan hubungan diplomatik manakala warga Israel pula jarang menerima visa untuk melawat Indonesia menyebabkan delegasi Israel itu terdiri daripada mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan.
Berikutan tersebarnya berita bahawa Jakarta telah menghantar delegasi ke Israel itu beberapa hari lalu, Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia kemudian bertindak membuat penafian selepas media tempatan meminta pengesahan daripada pemerintahnya.
Sehubungan itu, Indonesia menafikan laporan akhbar Jerusalem Post bahawa Jakarta telah menghantar delegasi ke Israel untuk mengadakan satu lawatan rahsia.
Negara di Asia Tenggara itu juga menegaskan bahawa menyebarkan maklumat yang berbentuk penipuan seperti itu adalah cara lama media Israel untuk mendapatkan keuntungan.
Selagi Palestin berada di bawah penjajahan Israel, Indonesia tidak akan membuka hubungan diplomatik dengan Israel, kata Pengarah Timur Tengah Kementerian Luar negara tersebut, Bagus Hendraning Kobarsyih seperti yang dilaporkan oleh majalah Tempo.
Seorang lagi jurucakap kementerian itu, Teuku Faizasyah berkata, beliau tidak tahu siapakah pegawai kanan yang disebut dalam artikel akhbar Israel tersebut dan menegaskan bahawa kedudukan Indonesia tidak berubah dan terus mengemukakan penyelesaian dua negara sebagai cara untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.
Akhbar Israel itu juga juga mendakwa bahawa perkongsian dua hala antara Indonesia dan Israel dalam sektor perdagangan dan pelancongan telah berkembang lebih erat berikutan beberapa siri mesyuarat, kenyataan serta laporan diadakan antara kedua-dua pihak.
Namun, laporan tersebut tidak mendedahkan butiran tentang rundingan dalam lawatan dari delegasi Indonesia ke Israel itu.
Motif laporan berita terbaharu dari Israel itu menimbulkan tanda tanya kerana kedua-dua negara yang dikaitkan dengan lawatan tersebut sebenarnya mempunyai jumlah penduduk Islam yang ramai di dunia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca