SEJAK 20 tahun lalu, industri berasaskan kayu Malaysia telah menjadi salah satu penyumbang pendapatan utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, merangkumi pengeluaran kayu gergaji, venir, produk panel termasuklah papan lapis, papan partikel,... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK 20 tahun lalu, industri berasaskan kayu Malaysia telah menjadi salah satu penyumbang pendapatan utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, merangkumi pengeluaran kayu gergaji, venir, produk panel termasuklah papan lapis, papan partikel, papan serpai dan papan gentian serta komponen perabot dan perabot.

Bagi memastikan industri berasaskan kayu dan perabot meningkatkan kedudukan eksportnya, industri perlu memanfaatkan teknologi baharu serta canggih untuk meningkatkan pengeluaran, sekali gus menghasilkan produk lebih baharu dan canggih.

Di sinilah peranan akan dimainkan pasukan penyelidik dan pembangunan (R&D), satu bidang luas yang mempunyai potensi besar.

Sehingga kini boleh dikatakan hampir semua daripada alatan dan sistem yang kita guna pakai adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan yang telah dilakukan sebelumnya.

Menyedari kepentingan R&D, kita semestinya menyokong penyelidikan asas dan gunaan untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing.

Bidang penyelidikan yang berpotensi dan produk teknologi baharu untuk dikomersial tentunya boleh dikenal pasti.

Perolehan teknologi akan mempercepatkan inovasi berorientasi pasaran. Ia menjadi teras peralihan kepada ekonomi diterajui teknologi dan penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing negara.

Perubahan yang berlaku hari ini memerlukan daya inovasi dan daya kreatif sebagai faktor penting mencapai anjakan kepada pertumbuhan.

Sehingga kini ia belum mencapai tahap untuk menjadikan R&D sebagai satu budaya. Walaupun budaya R&D telah mula disemai sedikit demi sedikit tetapi ia belum mencapai ke tahap menjadikannya sebagai suatu budaya yang diamalkan oleh masyarakat kita, khususnya syarikat-syarikat berkaitan dengan pengeluaran produk di negara kita.

Di negara Barat, keutamaan diberikan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan industri dihasilkan berada di depan bagi menguasai produk berkaitan.

Negara Barat sanggup memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang berkenaan agar penguasaan pasaran (market dominan) akan kekal berada dalam tangan mereka.

Justeru, bidang penyelidikan dan pembangunan sangat penting di Eropah, dikenali sebagai penyelidikan dan pembangunan teknologi

(RTD) yang merujuk kepada aktiviti inovatif dijalankan syarikat atau kerajaan dalam membangunkan perkhidmatan atau produk baharu.

TAHAP PERTAMA

Penyelidikan dan pembangunan adalah tahap pertama pembangunan perkhidmatan baharu yang berpotensi atau proses pengeluaran.

Masyarakat tidak akan memperoleh apa-apa pelajaran atau faedah secara berkekalan. Sudah tentu tidak akan ada penyelidikan dan pembangunan yang berterusan berkenaan dengan ilmu dimiliki atau dicipta.

Ia dapat dicapai dengan mengenal pasti dan memanfaatkan keuntungan inovasi melalui penggalakan industri berintensifkan pengetahuan, kemajuan teknikal serta inisiatif reka bentuk dan pembangunan.

Perkembangan itu sepatutnya menjadi dorongan para pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada kreativiti dan inovasi dalam proses pengeluaran mereka, meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai daripada sebagai pengeluar peralatan asal kepada pengeluar reka bentuk asli atau pengeluar jenama sendiri.

Sektor penyelidikan dan pembangunan dalam industri berasaskan sumber alam juga berupaya untuk meningkatkan pendapatan penduduk terutama di kawasan luar bandar.

Melalui R&D, keupayaan industri sumber alam seperti pembalakan dapat memberikan hasil yang optimum kepada masyarakat yang terlibat secara berterusan.

R&D ini merangkumi kerja-kerja kreatif yang dijalankan secara sistematik bagi meningkatkan reka cipta aplikasi baharu, manakala perkembangan dalam R&D memberikan banyak sumbangan pengukuhan hasil keluaran terutama melibatkan persaingan eksport dalam pasaran persaingan yang begitu mencabar ketika ini.

Tidak banyak syarikat yang sanggup meningkatkan perbelanjaan modal bagi pelaburan teknologi penyelidikan kerana melibatkan kos tinggi dan kurangnya keyakinan pulangan output pelaburan.

Saya percaya lebih banyak syarikat tempatan akan menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan memanfaatkan inovatif serta kreativiti, bertujuan meningkatkan kepakaran mereka dalam industri perkayuan.

Sebenarnya tidak banyak pendedahan akan peri pentingnya ditubuhkan R&D untuk jangka masa panjang terutama melibatkan penghasilan dan pemasaran produk di peringkat global.

BERBEZA

Aktiviti R&D berbeza dari institusi ke institusi. Biasanya kajian bagi tujuan membangunkan produk dihasilkan secara langsung melibatkan penyelidikan gunaan dalam bidang sains atau teknologi untuk masa hadapan melalui penemuan baharu yang lebih komersial dan bernilai.

R&D adalah berbeza dari segi pandangan korporatnya kerana ia tidak bertujuan untuk menghasilkan keuntungan serta-merta dan secara amnya membawa risiko lebih besar serta pulangan pelaburan tidak menentu.

Bagaimanapun, R&D penting untuk memperoleh saham lebih besar melalui pemasaran produk baharu. Sebenarnya kita tidak perlu menyembunyikan ilmu yang diperoleh atau yang dicipta kerana sudah ada undang-undang boleh melindungi ciptaan tersebut.

Sebaliknya, kita perlu mengakui bahawa ada kemungkinan orang lain juga mempunyai idea atau pendekatan sama dengan yang kita temui. Yang penting, ciptaan itu tidak harus statik, sebaliknya boleh diperbaiki lagi tanpa had dan kekangan.

Kita harus memahami pentingnya menyemai dan melaksanakan budaya R&D. Tanpanya, kita tidak mungkin maju dalam pembangunan, bukan sahaja dalam penyelidikan dan pembangunan tetapi mendapat hasil dan pulangan setimpal daripadanya.

Justeru, saya melihat program R&D sebagai program perlu diberi perhatian oleh semua pihak berkaitan, khususnya industri perkayuan bagi memastikan hasil keluaran dan perkhidmatan ditawarkan dapat terus tumbuh, mengekalkan persaingan dan menerajui pasaran.

R&D juga bertujuan memastikan sumbangannya untuk pembangunan ekonomi negara kekal mantap dan kukuh.

Bidalan Melayu ada menyebut belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai, maksudnya segala pekerjaan baik dikerjakan dengan pimpinan orang telah berpengalaman.

* Kamaruzaman Othman ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Klik di sini untuk terus membaca