"MUG tu Datuk beli kat Petaling Street kan? Kedai Dotdotdot tu tepat jam 2.37, hari Sabtu, 8 Mei 2010. Harga asalnya RM12 tapi Datuk tawar menawar dapat RM3. Datuk bayar dengan duit RM1 sekeping, selebihnya duit syiling.”
Itu petikan komen yang saya baca dalam mimpi saya baru-baru ini, di bawah hantaran berupa gambar saya sedang minum kopi dengan menggunakan sebiji mug lama. Mujurlah cuma dalam mimpi.
Tetapi saya tahu perkara seperti itu tidak mustahil berlaku di luar mimpi. Malah, ia memang berlaku, setiap masa setiap ketika, cuma setakat ini belum kena batang hidung sendiri.
Kita sedar tetapi mungkin jarang kita pedulikan bahawa kemajuan teknologi komunikasi telah melahirkan ramai perisik (spy) bebas di ruang siber. Jumlahnya sangat banyak dan mereka umumnya lebih hebat daripada James Bond, Sherlock Homes, Dick Tracy, Mike Hammer, Kojak, Mannix dan semua penyiasat lain.
Selalunya sasaran mereka ialah pengguna-pengguna media sosial yang suka flexing. Tetapi bukan semua, hanya jenis flexing yang sekali pandang rasa kagum, dua kali pandang rasa hendak muntah.
Siasatan juga akan dibuat ke atas orang yang mempunyai sebab untuk diragui, disyaki atau dibuli. Penyiasatan juga mungkin kerana hendak menyakat dan mungkin juga kerana dengki, sakit hati atau menyampah. Tidak kurang juga yang melakukannya semata-mata kerana hendak tunjuk hebat.
Dan, apabila siasatan bermula, bersiap sedialah kerana mereka akan korek waima sampai melepasi kerak bumi.
Kecekapan mereka tidak perlu diragui. Jika jam 13:00:00 tengah hari tersebar berita artis A ditahan kerana memukul isterinya, B di rumah kawannya C, tiga saat kemudian mereka akan mula bekerja dan tidak mustahil sebelum jam 13:00:41, mereka sudah bersedia berkongsi jawapan di media sosial tentang siapa A, B dan C. Mungkin lengkap dengan kad pengenalan dan surat beranak ketiga-tiganya.
Siasatan juga selalunya dilakukan ke atas sesuatu tidak jelas tetapi menarik untuk diketahui khalayak. Lindunglah muka dengan guni, rakamkanlah gambar dari jarak jauh sehingga anda hanya kelihatan sebesar kepala jarum peniti, jika mereka mula menyiasat, segala-galanya akan terbongkar juga. Jangan hairan kalau saiz cuping telinga anda pun mereka tahu.
Kenapa mereka sanggup bersusah-payah begitu? Bukankah lebih baik masa yang dihabiskan untuk menyiasat hal orang lain itu digunakan, misalnya untuk mengkaji bagaimana cara hendak menurunkan nilai dolar Amerika Syarikat dan menaikkan nilai ringgit Malaysia?
Tabiat suka menyiasat sebetulnya adalah rentetan daripada budaya suka menggosip yang telah sebati dengan kehidupan manusia sejak era pasca dinosaur lagi.
Ada penyelidik berpendapat budaya itu penting kerana ia menjadi penyebab manusia berkembang. Ahli psikologi evolusi Robin Dunbar yang mempelopori pendapat itu berkata, gosip merupakan satu cara berhubung dan bertukar informasi.(Dunbar:1998)
Gosip juga, kata para pengkaji, berperanan menjaga dan memperbaiki tingkah laku kerana melaluinya akan terbentuk ‘apa yang boleh’ dan ‘apa yang tidak boleh’.
Jadi kalau dilihat secara positif, tabiat suka menyiasat bagi memperoleh maklumat-maklumat yang boleh dijadikan bahan gosip itu memang ada baiknya.
Dalam kes melibatkan penggunaan media sosial misalnya, ia memberi peringatan kepada kita supaya berhati-hati dengan apa yang dimuat naik kerana jika tersilap langkah, tak pasal-pasal orang di Tristan da Cunha pun boleh tahu hal ehwal di dalam kain anda.
Tidak salah kita berkongsi pengalaman, pendapat, minat dan sebagainya dengan orang lain. Tetapi kena faham, ada bezanya antara menunjuk dengan menunjuk-nunjuk, antara ada dengan mengada.
Secara semula jadinya, manusia tidak kisah dengan apa yang ditunjuk tetapi jika sampai ke peringkat menunjuk-nunjuk atau ditunjuk-tunjuk, mereka mula tidak selesa dan akan memberi reaksi balas yang menyebabkan kita pula tidak selesa.
Kesimpulannya, untuk mengelak menjadi sasaran mudah dalam dunia baharu yang banyak juga buruknya itu, janganlah terlalu dedahkan hal-hal peribadi anda. Kena pandai menjaga privacy.
Macam seorang kawan saya, tiada siapa pun tahu apa-apa tentang dirinya kerana dia bukan pengguna media sosial yang aktif. Tetapi dia tahu bermacam perkara tentang ramai orang lain sebab ‘aku jadi CCTV aje’! #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca