SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengurangkan cukai pendapatan sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula di negara ini. Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Datuk Dr N Marimuthu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengurangkan cukai pendapatan sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula di negara ini.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, pengurangan lain seperti cukai jalan, cukai pintu dan cukai tanah turut digalakkan sebagai usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini.

"Kita tidak boleh memansuhkan cukai kerana ia penting untuk pembangunan negara dan kepentingan banyak pihak.

"Pemansuhan cukai juga berisiko membawa impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi.

"Bagaimanapun, kerajaan boleh membuat inisiatif dengan mengurangkan kadar cukai-cukai tertentu yang dikenakan ke atas rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas mengenai GST, Marimuthu berpandangan, tidak dapat dinafikan cukai tersebut merupakan satu bentuk percukaian yang seimbang dan adil.

Ujarnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan kadar empat peratus sekiranya GST akan dilaksanakan pada masa akan datang.

"Kita mulakan daripada empat peratus, itu kadar yang dilihat sesuai ketika ini. Kalau tidak ada cukai, kerajaan tidak boleh mentadbir dengan baik kerana mereka tidak ada pendapatan.

"Apabila ekonomi semakin kukuh dan stabil dan orang ramai mula mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik, mungkin ketika itu kerajaan boleh pertimbangkan untuk menaikkan kadar GST," katanya.

Sinar Harian pada 14 September lalu, melaporkan Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan cukai jalan bagi meringankan beban rakyat memandangkan sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada ketika ini berkonsepkan ‘cukai atas cukai'.

Jelas Muhammad Zahid, pemilik kenderaan ketika ini berdepan dengan sistem cukai yang berlapis-lapis seperti duti import, cukai eksais, cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta cukai jalan.

Jelas beliau, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik bagi Perdana Menteri menggembirakan rakyat.

Pihaknya juga sedar cadangan tersebut bakal mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan sekitar RM3 bilion setahun, tetapi ia bukanlah satu jumlah yang terlalu besar berbanding manfaat lebih banyak yang bakal diperoleh rakyat serta kerajaan secara keseluruhannya.

Muhammad Zahid berkata lagi, kerajaan boleh belajar daripada United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan pemansuhan cukai tersebut di mana mereka telah menghapuskannya sejak 2015 dan mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan.

Klik di sini untuk terus membaca