FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan mulai 23 Jun lalu telah mengaut hampir RM100 juta (setakat artikel ini ditulis) melalui kutipan di pawagam-pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia mendapat pujian melangit segenap pihak.
Tayangan filem itu di Netflix sejak 16 September lalu terus melonjak menjadikan ia sebagai filem top 10 pilihan di Netflix tempatan.
Walaupun begitu, filem tersebut menerima komen, kritik dan juga kejian daripada mereka yang menontonnya di kediaman masing-masing.
Sementara itu di Indonesia pula, sambutannya hampir suam kerana pelbagai faktor, antaranya Indonesia mempunyai lebih banyak filem kepahlawanan seperti Sang Kiyai (2013), Kartini (2017) dan Sultan Agung (2018). Jadi mereka tidak hairan dengan Mat Kilau.
Filem Mat Kilau ditonton oleh tiga khalayak iaitu penonton filem di pawagam Malaysia, di pawagam Indonesia dan penonton di Netflix. Tiga tempat, tiga jenis khalayak tetapi masing-masing mempunyai persepsi berbeza.
Maka, saya teringat kisah tiga orang buta yang menyentuh seekor gajah. Yang memegang ekor mengatakan gajah itu seperti ular, yang mencuit telinga mengatakan gajah itu seperti kipas, sementara yang memegang kakinya mengatakan gajah itu seperti tiang.
Mereka bertiga berbicara mengenai binatang sama tetapi menurut persepsi yang ditelah melalui sentuhan. Masalahnya, apabila mereka bertiga mati-mati mengatakan gajah itu menurut sudut ‘pandang’ masing-masing. Ketiga-tiganya betul walaupun tidak tepat untuk memperkatakan tentang gajah itu.
Begitu juga penonton filem Mat Kilau. Yang ke pawagam di Malaysia barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Mat Kilau tetapi mereka kenal pelakon Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi.
Dalam panggung yang gelap, dengan kesan audio berdentum-dentam dan kesan reaksi penonton lain yang bertepuk, bersorak serta menangis, filem itu berjaya meruntun emosi mereka.
Sebaliknya, bagi yang menonton di rumah, boleh sahaja menontonnya pada siang hari. Di ruang terang benderang, ada sejambak bunga, kerusi, meja, bingkai gambar, bunyi hon lori ‘paper lama’ yang lalu di depan rumah dan telefon yang sering berdenting-denting, tumpuan pada filem tersebut akan sentiasa terganggu.
Yang menonton di Netflix melanggannya kerana ingin tahu apa bagusnya filem itu. Lagi pula, mereka menonton tetapi tidak memperoleh kesan daripada tontonan itu berbanding bila menatapnya di pawagam. Jadi, mereka ‘rasionalise’ lalu merumus bahawa filem itu berdasarkan tontonan dan bukannya penghayatan.
Bagi penonton filem di Indonesia, filem itu biasa-biasa sahaja kerana mereka tidak kenal siapa Mat Kilau, Adi Putra, Fattah Amin dan Beto Khusyairi. Kerana tidak kenal, minda mereka asyik bekerja untuk ‘berkenalan’ dengan watak-wataknya. Bahasa Melayu juga memerlukan mereka mengerah fikiran untuk memahami dialog sedikit asing buat mereka.
Begitulah juga kita yang sering bercakap mengenai orang, benda dan perkara yang sama tetapi akan punyai persepsi berbeza menurut pengalaman, pengetahuan dan tanggapan kita.
Tetapi kita lebih buruk daripada kisah tiga orang buta itu. Sekurang-kurangnya ada kekurangan yang sama buat mereka kerana berhujah sebagai insan tak nampak.
Sebaliknya, kita yang cukup sifat boleh sahaja membaca, menyelidik dan mengkaji apabila kita menerima maklumat daripada orang lain yang bercanggah dengan apa yang kita percaya.
Setelah meneliti, barulah kena apabila kita memperteguh pendirian yang sama ataupun mengubah persepsi setelah mendapat pengetahuan baharu. Begitu pun, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima pendirian kita meskipun kita mempunyai pandangan yang holistik.
Sekali lagi, kita perlu menerima bahawa ada orang tidak mahu berfikir dan mencari maklumat sesuatu perkara.
Justeru, meskipun kita lebih betul, namun pada banyak ketika, kita perlu biarkan orang lain dengan pandangan tidak tepat. Ini kerana orang itu mempunyai sudut pandang bahawa tidak salah dia berpegang pada maklumat yang salah.
Dalam begitu banyak maklumat tiba kepada kita, untuk apa kita menghabiskan masa bertekak mengenai sesuatu terutama di media sosial?
Jika kita rasa kita seorang keyboard warrior dengan bertonyeh di media sosial, takut-takut kita sebenarnya hanya keyboard ‘worrier’ yang bimbang jika sesuatu pandangan berbeza daripada kita itu adalah malapetaka dunia!
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca