SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sepatutnya menjadi individu bertanggungjawab menperjelaskan situasi rawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku tahanan penjara di Pusat Rehabilitasi Cheras... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sepatutnya menjadi individu bertanggungjawab menperjelaskan situasi rawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku tahanan penjara di Pusat Rehabilitasi Cheras ( HRC) dan bukannya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Peguam, Yusmadi Yusoff berkata, sejak kebelakangan ini, beliau melihat terdapat kecelaruan kenyataan dikeluarkan Khairy atau lebih dikenali KJ dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status rawatan Najib, sedangkan peraturan penjara adalah di bawah bidang kuasa KDN.

Jelas beliau, aspek peraturan penjara itu termasuklah perkara berkaitan hal ehwal perubatan di bawah Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, KKM sepatutnya harus mematuhi peraturan pemberian rawatan kesihatan di penjara kepada mana-mana tahanan di bawah garis panduan ditetapkan KDN.

YUSMADI


"Jika merujuk isu kemudahan rawatan kepada Najib di HRC, sebagai peguam berpengalaman menguruskan anak guam penting seperti (Pengerusi PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selebriti, pengalaman saya menyaksikan mereka hanya boleh mendapatkan apa-apa keistimewaan berdasarkan peraturan penjara dan bukan berasaskan kehendak mereka.

"Hakikatnya seorang tahanan penjara hanya layak menerima rawatan kesihatan berdasarkan kemudahan perubatan asas disediakan di penjara berkenaan, melainkan ia dibenarkan doktor bertugas di penjara untuk menerima rawatan di hospital kerajaan atas syarat penyakit dihidapi sangat kronik dan kritikal.

"Akhir sekali, saya melihat Menteri Dalam Negeri selaku penerajui KDN sepatutnya menjadi individu bertanggungjawab menjelaskan perkara ini kepada umum, bukan KJ kerana sebarang bentuk peraturan penjara termasuk hal ehwal perubatan dikendalikan KKM adalah di bawah KDN," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

NAJIB


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Pekan tu sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di HRC ketika ini.

Jabatan itu menjelaskan selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

Selain itu, Jabatan Penjara Malaysia turut memberi jaminan akan menghantar semula Najib ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pakar perubatan HRC dan HKL memberikan perlepasan perubatan ke atas beliau.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli membangkitkan persoalan bahawa beberapa hantaran di laman Facebook Najib tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.

LAYANAN ISTIMEWA

Sebaliknya, Najib menurut Rafizi, kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada 'merpati' di penjara sebagaimana tular dalam media sosial baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yusmadi turut menggesa KDN menjelaskan sejauh mana aspek peraturan penjara dipatuhi oleh Najib dan apa alasan konkrit kementerian itu terpaksa memberikan pengecualian atau keistimewaan kepada beliau berbanding tahanan lain, terutama dalam soal kemudahan rawatan kesihatan.

Mengambil contoh kes rawatan Anwar sewaktu di penjara Kajang sebelum ini, Yusmadi menjelaskan Presiden PKR itu tidak mendapat rawatan istimewa daripada pakar perubatan pilihan beliau.

Sebaliknya, Anwar hanya menerima kemudahan rawatan di HRC pada fasa akhir tempoh penahanan beliau, setelah tahap kesihatan bahu dan sakit belakangnya diperakui kronik, katanya.

"Beliau tidak berada di hospital (HRC dan HKL) pada masa lama. Selepas menerima rawatan sepatutnya, beliau terus dihantar pulang ke penjara.

"Saya masih ingat Anwar mengalami sakit bahu amat kronik dalam keadaan bahu beliau berbalut pada tempoh akhir penahanan beliau. Hanya setelah beliau dibebaskan dan menerima pengampunan diraja, barulah Anwar mendapat kemudahan rawatan sewajarnya di Turki," kata Yusmadi lagi.

Profesor Nik Ahmad Kamal


Berhubung persoalan Najib dikatakan mempunyai akses kepada media sosial meskipun berada di penjara, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengakui peraturan penjara tidak membenarkan seseorang banduan memiliki sebarang peranti elektronik yang boleh menyumbang penggunaan media sosial.

Jelasnya, sekiranya perkara itu berlaku dan Najib terbukti mempunyai akses berhubung orang luar melalui aplikasi sosial, KDN dan Jabatan Penjara Malaysia wajar mengambil tindakan tegas terhadap beliau.

"Namun, tiada bukti menunjukkan Najib benar-benar dibekalkan akses media sosial. Bahkan beliau dibenarkan akses kemudahan rawatan di HRC pun atas pertimbangan dan budi bicara Ketua Pengarah Jabatan Penjara yang sudah mengambil kira semua aspek penting.

"Jadi akses kepada media sosial, kalau benar dilakukan Najib menggunakan peranti tidak dibenarkan, maka perkara itu perlu disiasat.

"Namun jika Najib menggunakan perantara yang hadir melawat beliau di penjara, sampaikan mesej kepada perantara berkenaan untuk mereka muat naik perkara itu ke dalam media sosial peribadinya, konteks sebegini tiada masalah kerana itu bukan tindakan langsung beliau," tegas Nik Ahmad Kamal lagi. Klik di sini untuk terus membaca