SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu Sungai Rambai di Lukut yang kini diklasifikasikan sebagai sungai paling tercemar di Malaysia. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin... Klik di sini untuk terus membaca

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu Sungai Rambai di Lukut yang kini diklasifikasikan sebagai sungai paling tercemar di Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa memang terdapat penternakan babi secara haram di kawasan Sungai Rambai dan ia adalah pencemaran yang amat mendukacitakan.

Katanya, lantaran itu, kerajaan negeri akan menghantar notis pemakluman menghentikan aktiviti penternakan dan penyembelihan haram di kawasan tersebut.

Malah katanya, kerajaan negeri bersama Exco akan turun padang dalam tempoh seminggu ini untuk menasihati peladang supaya memindahkan semua ternakan yang ada di kawasan tersebut atau berdepan dengan tindakan tegas.

"Saya yakin kalau tindakan diambil pun, itu adalah tanggungjawab kami sebagai kerajaan negeri untuk memastikan permasalahan umum rakyat dapat kita tangani dengan baik.

"Kita bukan mahu terus robohkan ladang-ladang tersebut. Walaupun kami mengikut peraturan, kami juga mengikut semangat kemanusiaan dan kekitaan bersama penduduk. Ini yang harus kami tegaskan,” katanya kepada Sinar Premium selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin mengakui, pihak kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam isu pencemaran Sungai Rambai.

Katanya, sebelum ini memang ada notis pemberhentian aktiviti penternakan dan penyembelihan diserahkan kepada penternak, namun ada juga penduduk yang ingkar.

"Selepas penyakit demam babi Afrika muncul dan babi hilang di kawasan ini, tinjauan Exco mendapati air Sungai Rambai kelihatan lebih bersih ketika itu.

"Namun yang terbaru kita lihat, masih ada lagi penyembelihan haram berlaku.

"Kebanyakan penduduk memang tidak berani membela babi selepas kejadian wabak. Jadi mungkin segelintir masyarakat baharu yang tinggal di Tanah Merah Site A dan membela semula, menyembelih serta menjual daging babi.

"Oleh itu, kami akan mengambil tindakan lebih tegas supaya sungai-sungai kita tidak kotor kerana ia bukan sahaja melibatkan sungai di kampung itu malah sepanjang Sungai Sepang dan airnya akan mengalir ke laut,” katanya.

Pada 12 September lalu, Sinar Harian membuat pendedahan mengenai status Sungai Rambai yang menjadi satu-satunya sungai di Malaysia berada dalam kelas lima atau tercemar di negara ini.

Ujian makmal yang dijalankan sendiri wartawan Sinar Harian bersama pakar air di makmal swasta mendapati memang terdapat DNA babi dalam air di Sungai Rambai.

Lebih mengejutkan, dalam siasatan di kawasan tersebut wartawan Sinar Harian disergah oleh sekumpulan individu, malah kereta wartawan dihimpit sebuah lori bertujuan mengusir kru di lokasi itu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kawasan di Sungai Rambai merupakan sebahagian Projek Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan kerajaan negeri bercadang untuk menubuhkan Pig Farming Area (PFA) selepas ladang-ladang babi ditutup.

"PFA adalah sistem moden yang mana kandangnya tertutup dan sisa kumbahan dan air yang mengalir terus ke sungai itu diproses terlebih dahulu,” katanya.

Perlu lebih agresif, tidak cukup hanya hantar notis

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, usaha membaik pulih Sungai Rambai yang diklasifikasikan sungai paling tercemar dua tahun berturut-turut sejak tahun 2019 perlu menjadi keutamaan segera Kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, tindakan seperti menghantar notis dan berjumpa dengan penduduk yang diambil oleh kerajaan negeri tidak mencukupi bagi menangani isu Sungai Rambai.

"Apa yang penting adalah tindakan segera dan agresif kerajaan negeri di lapangan (di sungai itu sendiri). Ia perlu dibersihkan dan dibaik pulih segera untuk mengelak daripada terus kotor serta tercemar,” kata Damien kepada Sinar Premium pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dalam sidang media di Wisma Negeri pada Rabu bahawa kerajaan negeri ambil maklum isu Sungai Rambai dan tidak berdiam diri.

Menurutnya, kerajaan negeri antara lain telah menghantar pelbagai notis pemakluman penyembelihan secara haram babi di Sungai Rambai serta kerap melakukan pemantauan di lokasi tersebut.

Sementara itu, Damien turut membangkitkan persoalan siapa yang harus dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kos baik pulih dan pembersihan Sungai Rambai.

"Adakah ia perlu ditanggung oleh kerajaan negeri atau kerajaan pusat, adakah duit rakyat juga yang terpaksa dibelanjakan?

"Bukankah sepatutnya pihak yang mencemarkan Sungai Rambai ditangkap sekali gus dipertanggungjawabkan untuk kos baik pulih sungai.

"Kenapa si pelaku masih bebas dan seolah-olah kebal daripada dikenakan sebarang tindakan?” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca