SHAH ALAM - Bagaikan tidak percaya, dengan hanya membayar RM10 seseorang boleh memiliki rumah berharga RM500,000 di mana-mana lokasi yang dipilih. Tetapi itulah tawaran pakej yang dianggap pelik dibuat oleh seorang individu bergelar Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bagaikan tidak percaya, dengan hanya membayar RM10 seseorang boleh memiliki rumah berharga RM500,000 di mana-mana lokasi yang dipilih.

Tetapi itulah tawaran pakej yang dianggap pelik dibuat oleh seorang individu bergelar Datuk Seri kononnya untuk membantu orang ramai.

Menerusi skim rumah tanpa deposit itu, orang ramai dikatakan hanya perlu membayar RM10, RM100 atau RM10,000 bagi melayakkan mereka memiliki rumah impian di bawah harga RM500,000.

Mengaku sebagai broker jual beli tanah, pihak pemaju tersebut kini dikatakan ligat melakukan promosi kempen bayar RM10 dapat rumah RM500,000 termasuk menggunakan artis-artis sebagai jurucakap kempen.

Kru Rasuah Busters dimaklumkan, sebanyak 1,000 unit kuota rumah yang dilancarkan pada 7 Jun lalu telah ditawarkan kepada penggiat seni menerusi skim tersebut.

Setelah promosi pertama melibatkan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 telah habis, syarikat tersebut membuka pula pakej kedua dengan bayaran sebanyak RM10,000 untuk rumah bernilai RM1 juta.

Skim itu dipercayai dilakukan bersama ahli keluarga yang turut bergiat menjalankan perniagaan hartanah, selain turut dibantu oleh seorang penyanyi yang dipilih sebagai duta dan seorang pelakon untuk mempromosikan projek itu.

Dalam pada itu, peguambela dan peguamcara, Mahmud Abdul Jumaat berkata, kira-kira 100 orang terlibat dalam pakej itu dengan jumlah kerugian pendeposit lebih RM2.3 juta.

Kata Mahmud, pihaknya dimaklumkan bahawa lebih 100 orang pendeposit telah membuat pembayaran untuk memiliki rumah idaman di bawah harga RM500,000 dengan membayar 'RM10 atau RM10,000 sahaja'.

Beliau yang juga Pengarah Advokasi Khidmat Guam berkata, tawaran menarik tersebut menyebabkan orang ramai terpedaya dan sanggup membuat pembayaran bagi memperoleh rumah sendiri di beberapa buah negeri tertentu.

Mahmud berkata, pihak pemaju pakej rumah tanpa deposit tersebut ada menghubungi syarikat guamannya dengan menyatakan program dianjurkan itu bukan projek scammer.

Bagaimanapun katanya, sekiranya program itu bukan projek scammer, kenapa pihak pemaju perlu melenting apabila pihaknya mahu membantu menyelesaikan kes tersebut terutama melibatkan pembayaran serta janji diberikan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, aktivis yang mengangkat kes penipuan itu, Mona Din berkata, pihaknya dan Mahmud telah menerima banyak aduan daripada peserta program rumah tanpa deposit yang dilaksanakan oleh Datuk Seri itu.

Katanya, antara maklumat tersebut disampaikan sendiri bekas pekerja syarikat hartanah berkenaan, wakil pemaju, bekas peguam serta bekas ahli keluarga iaitu mertua Datuk Seri itu sendiri.

Jelasnya, daripada maklumat yang diterima, modus operandi sama iaitu skim rumah murah yang hampir serupa telah dilakukan syarikat yang dipercayai didalangi oleh Datuk Seri tersebut di utara Semenanjung pada 2013 sehingga 2015.

"Pihak kami telah mengumpul sebanyak mungkin laporan polis yang telah dilakukan oleh orang ramai berhubung kes penipuan tersebut sebagai bukti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca