PADA Rabu lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan sebahagian anggota-anggota tenteranya dan berikrar untuk menggunakan 'semua cara yang ada' bagi melindungi wilayah Rusia selepas empat wilayah Ukraine membuat keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Rabu lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan sebahagian anggota-anggota tenteranya dan berikrar untuk menggunakan 'semua cara yang ada' bagi melindungi wilayah Rusia selepas empat wilayah Ukraine membuat keputusan secara tiba-tiba.

Empat wilayah yang dikuasai oleh Moscow mengumumkan pungutan suara sama ada penduduk bersetuju tentang peluasan kuasa Rusia ke atas wilayah-wilayah tersebut.

Namun, pungutan suara itu telah dikecam oleh Ukraine dan Barat sebagai 'palsu' dan jika keputusannya memihak kepada Rusia, ia akan meningkatkan kepentingan negara tersebut dalam perang di Ukarine yang sudah berlanjutan lebih enam bulan.

Jika pungutan suara tersebut memberikan keputusan yang memihak Rusia, ia juga akan memberikan Moscow keupayaan untuk menuduh tentera Ukraine telah menyerang wilayah Rusia.

Empat wilayah Ukraine yang dijajah Rusia itu ialah Donetsk dan Lugansk di timur manakala Kherson serta Zaporizhzhia di selatan Ukraine.

Pungutan suara akan diadakan selama lima hari mulai Jumaat.

Dalam ucapan yang dirakam kepada negara awal Rabu lalu, Putin menuduh Barat cuba 'memusnahkan' negaranya melalui sokongan Ukraine dan berkata Rusia perlu menyokong wilayah-wilayah tersebut di Ukraine yang mahu menentukan masa depannya.

Pemimpin Rusia itu juga mengumumkan pengerahan sebahagian tentera dengan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu memberitahu televisyen kerajaan bahawa kira-kira 300,000 anggota pasukan simpanan akan dipanggil dalam melaksanakan misi melindungi wilayah-wilayah tersebut.

"Apabila integriti wilayah negara kita terancam, kita pasti akan menggunakan semua cara yang ada untuk melindungi Rusia dan rakyat kita. Ini bukan tipu muslihat," kata Putin seperti dilaporkan oleh agensi berita AFP.

Wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia akan melaksanakan pungitan suara pada Jumaat. - Foto AFP

Jerman menyifatkan panggilan penggunaan anggota-anggota simpanan tentera Rusia itu sebagai langkah yang salah manakala pengkritik Moscow yang dipenjarakan, Alexei Navalny berkata, ia akan mengakibatkan 'tragedi besar' dengan jumlah kematian yang ramai.

Putin berkata bahawa melalui sokongan Barat kepada Ukraine, negara-negara sekutu Amerika Syarikat itu cuba melemahkan, memecahbelahkan dan akhirnya memusnahkan Rusia,

Penggunaan angota-anggota simpanan tentera Moscow itu berlaku selepas tentera Ukraine mendapat pujian dari negara-negara Barat kerana taktik serangan balas Ukraine berjaya menunjukkan kejayaan.

MENAWAN SEMULA

Serangan balas tentera Ukraine yang meluas dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah menyaksikan tentera negara berkenaan mampu menawan semula ratusan bandar dan kampung yang telah dikuasai oleh Rusia dalam tempoh berbulan-bulan lalu.

Dalam pengakuan yang jarang berlaku tentang kehilangan tentera, Shoigu yang mengetuai Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada Rabu bahawa seramai 5,937 askar negaranya telah terkorban di Ukraine sejak pencerobohan berlaku pada Februari lalu.

Pungutan suara itu akan dilakukan mengikut corak yang pertama kali dilaksnakan pada tahun 2014 apabila Rusia meluaskan penguasaannya di Semenanjung Crimea sekali gus memperolehnya dari Ukraine selepas undian ke atas penduduk dilakukan.

Seperti pada yahun 2014, Washington, Berlin dan Paris mengecam referendum terbaharu itu dan menyatakan bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan sekali-kali mengiktiraf keputusan itu yang telah dibuat oleh keempat-empat wilayah berkenaan.

Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata bahawa pungutan suara tersebut adalah 'palsu' manakala Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan menyatatakan Rusia menghina prinsip kedaulatan dan integriti wilayah.

Bagaimanapun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyokong tindakan negara-negara yang mengecam tindakan melaksanakan pungutan suara di empat wilayah tersebut.

"Saya berterima kasih kepada semua rakan dan rakan kongsi Ukraine atas kutukan besar-besaran dan tegas terhadap hasrat Rusia untuk menganjurkan lebih banyak referendum palsu," katanya sebagai tindakan balas berhubung pelaksanaan pungutan suara tersebut.

Seorang penganalisis politik, Tatiana Stanovaya berkata, pelaksanaan pungutan suara itu adalah kesan daripada kejayaan serangan balas tentera Ukraine di bahagian timur negara itu.

"Putin tidak mahu memenangi perang ini di medan perang. Putin mahu memaksa Ukraine menyerah tanpa perlawanan," katanya seperti dilaporkan AFP.

Sehubugan itu, Perang Ukraine memasuki fasa baharu apabila empat wilayah di negara tersebut akan membuat pungutan suara sekali gus keputusannya mungkin menyebabkan ia tidak lagi akan menjadi milik Kiev, - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca